PENARIK KERETA SAMSENG DAKWA PENGADU Seorang peniaga jualan langsung melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penarik kereta kerana cuba berlagak samseng dengan mengejar dan melanggar kereta yang dinaikinya di Taman Saujana, Kota Tinggi, di sini, baru-baru ini.
Surihana Prayitno Thum, 31, mendakwa, akibat terlalu ingin mendapatkan kereta Perodua Kancil milik abangnya itu, penarik kereta terbabit menghalang kereta yang dinaiki bersama adiknya di Jalan Niaga 3, Kota Tinggi.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang hari berkenaan ketika dia ke Kota Tinggi bagi menjalankan perniagaannya sebelum cuba dihalang sebuah kenderaan.
“Namun, saya tidak menghiraukan kereta yang menghalang dan berlalu pergi menghala ke Ulu Tiram. Secara tiba-tiba kereta saya dikejar tiga kenderaan termasuk kenderaan yang menghalang saya tadi.
“Ketika kami tiba di lampu isyarat Taman Saujana, tiba-tiba cermin saya diketuk dari arah kiri dan kanan oleh penarik kereta berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pusat Aduan Rakyat di sini, semalam.
Menurutnya, dia dan adiknya dipaksa keluar kerana penarik kereta itu berkeras ingin mengambil kereta berkenaan.
“Ketika diarah untuk menunjukkan dokumen yang sah dan lesen yang dibenarkan, penarik kereta itu gagal membuktikan. Jadi, saya terus memecut kereta saya kerana bimbang kejadian yang lebih buruk berlaku.
“Malangnya kereta saya masih lagi diekori tiga kenderaan terbabit dan melanggar kereta yang dinaiki,” katanya
Sehubungan itu, Surihana membuat laporan polis berkenaan kejadian berkenaan.
“Saya mengakui kesalahan tidak melunaskan pembayaran tunggakan bulanan tersebut tetapi penarik kereta itu tidak perlu bertindak demikian dan perlu menunjukkan dokumen yang sah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan