Merakyat,Apa Benda ?

Saya ingin menegur kecenderungan dan keghairahan media kita melabel segelintir pemimpin sebagai berjiwa rakyat atau merakyat. Label merakyat atau berjiwa rakyat ini amat 'sacred' dan sungguh luhur sekali.Tiada pemimpin dari mana-mana kumpulan pun setakat ini berhak disematkan dengan label sedemikian bagus.

4. Sekiranya pemimpin tersebut berjalan kaki 3 kilometer (sekali), atau turun minum (sekali) di Puduraya, atau naik lrt/monorel dari stesen KL Sentral (sekali) ke mana-mana destinasi, ia belum dapat dinilai sebagai merakyat, atau berjiwa rakyat.

5. Contoh terbaik merakyat ialah Rasulullah saw. Kemudian, jika kita membaca buku sejarah, seperti Khilafah wal Mulk karangan Abu Ala al Maududi; antara khulafa ar rasyidin pun yang benar-benar merakyat hanyalah pemerintahan Saidina Ali. Amat sedikit contoh dapat dibuat dari pemimpin-pemimpin Islam atau ummah setelah itu kerana sejak Islam ditadbir secara monarki, istilah merakyat hanya digunakan sebagai propaganda politik. Yang ada hanyalah meraja. Seperti yang telah diperlihatkan secara buruknya oleh Muawiyah dan raja-raja seterusnya. Hatta pemerintahan Turki Othmaniyyah yang diwarwar sebagai pemerintahan Islam terakhir pun tidak merakyat. Sila kunjungi istana-istana sultan tersebut yang masih boleh dikunjungi hari ini.

6. Di zaman moden, pemimpin seperti Mahatma Gandhi layak diberi gelar kudus tersebut, iaitu merakyat. Saya kira belum ada lagi pemimpin dari mana-mana parti politik di Malaysia setaraf dengan Mahatma Gandhi; mencontohi Rasulullah saw atau Saidina Ali, Omar mahupun Abu Bakar jauh sekali.

7. Ini bermakna kempen istilah 'merakyat' yang digunakan oleh sesetengah media hanyalah satu retorik kosong.

8. Pada saya, sekadar satu contoh; pemimpin kita hanya boleh dianggap merakyat jika ikut sama terperangkap dalam kemacetan lalu lintas dari Senawang ke Sungai Besi (di lebuhraya Utara-Selatan) dan turut merasai bagaimana kejang letihnya kaki menukar gear kenderaan, atau merasai bagaimana halnya mahu terkincit atau terkencing ketika kereta hanya bergerak-gerak manja sedangkan tiada kemalangan di hadapan. Rasailah bingung dan geram ini seperti mana rakyat rasai. Gejala ini misalnya kerap berlaku ketika musim perayaan atau cuti panjang. Ia misalnya turut berlaku semalam di lebuhraya Utara-Selatan.

9. Itu hanyalah satu contoh murni dari saya. Saudara mungkin ada contoh lain.

10. Saudara dipelawa mencatat contoh-contoh merakyat yang boleh dicuba oleh pemimpin kita seperti 1) memanjat flat dua puluh tingkat ekoran kerosakan lif sejak berbulan-bulan kerana tidak dibaiki pentadbir, atau contoh lain ialah 2) pemimpin hanya dapat dianggap merakyat apabila setiap hari menggunakan komuter dari Rawang ke Bank Negara seraya terpeleot dengan muka terpenyek di cermin jendela komuter, sambil terpaksa mencium bau bacin ketiak pendatang asing. 3) mengharung banjir kilat yang amat menyeksakan. Atau ya...banyak lagi contoh-contoh merakyat yang kita ini rakyat lalui hari-hari.

11. Saya ulangi, kalimah merakyat itu suci, jangan menggunakannya sesuka hati. Kerana ia mungkin akan makan diri. Kita yang benar-benar rakyat ini, silap haribulan boleh naik meluat!

http://tehranifaisal.blogspot.com/

Kesilapan masyhur dalam sembahyang

SEMBAHYANG adalah hubungan paling kuat antara makhluk manusia dengan tuhan pencipta alam semesta. Sembahyang seolah-olahnya satu perhubungan secara langsung, bertutur, memuji, meminta dan apa sahaja hajat dapat dikemukakan oleh hamba Allah yang soleh kepada Allah SWT, tuhan yang mentadbirkan alam ini.


Jika seseorang hamba Allah, mengerjakan sembahyang dengan kehendak-kehendaknya yang sebenar, sembahyang dapat memberikan kesan positif yang mendalam dan motivasi yang kuat ke dalam dirinya.

Sembahyang yang sempurna dapat mencegah orang yang mengerjakannya daripada melakukan maksiat dan perkara mungkar, serta menggalakkan seseorang itu mengerjakan perkara makruf dan perkara kebaikan.

Sembahyang adalah berat untuk dilaksanakan, tetapi bagi mereka yang telah mengasuh anggota zahirnya dan hatinya untuk tunduk dan patuh kepada tuhan pemberi segala nikmat dan rahmat, sembahyang akan dianggap sedikit demi sedikit sebagai ringan dan akhirnya sebagai suatu keperluan asasi setiap manusia.

Sembahyang kalau ditunaikan dengan cara yang diajarkan oleh syarak, dengan menyempurnakan adab-adab, mustahab-mustahabnya, syarat-syarat dan rukun-rukunnya, sudah pasti akan membuahkan bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi akan terpancar juga menyimbahi kepada orang lain ibarat minyak wangi tersebar serata tempat.

Ubat penyakit rohani

Alhamdulillah, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan sembahyang sebagai tiang agama, pegangan kuat keyakinan, ketua segala amalan taqarrub, kemuncak ketaatan. Benar sabda Nabi Muhammad tatkala menyebutkan, sembahyang telah dijadikan untuk ku sebagai penyejuk jiwaku.

Perlunya sifat takwa dipupuk dalam diri seseorang muslim kerana sesetengah manusia pada kebiasaannya tenggelam dan hanyut dalam keduniaan mereka.

Dunia adalah seperti kalau diberikan satu padang emas akan diminta satu padang emas lagi. Kalau kita kejar dunia, dunia akan menjadi lebih laju daripada kita. Kesannya menyebabkan hati menjadi rapuh, jiwa menjadi longgar, percakapan menjadi celaru, mata menjadi liar, mulut terkumat-kamit benda remeh-temeh.

Kenapa berlaku assabiah? Tidakkah kerana kejar dunia? Kenapa berlaku pergolakan politik yang tidak berkesudahan. Kenapa kita tidak tinggalkan kepentingan sendiri untuk kebaikan semua. Tidakkah kerana kejar dunia? Kenapa berlaku lemah semangat, celaru fikiran?

Natijahnya tidaklah pelik kalau berlaku rasukan, kacau pertimbangan, rosak pegangan dan longgar tawakal.

Bolehkah ubat-ubatan menyembuhkan penyakit-penyakit ini? Sudah tentu tidak. Maka Islam datang untuk menyelesaikan masalah penyakit ini dengan membawa sembahyang sebagai ubat paling mujarab.

Lihatlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 45, yang bermaksud: dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, apabila Rasulullah ada sesuatu masalah, Rasulullah akan bersegera tunaikan sembahyang. (riwayat Ahmad, Abu Daud daripada Huzaufah).

Ayat-ayat dan hadis di atas membuktikan bahawa sembahyang adalah hubungan paling mesra antara hamba dan Allah. Ini kerana sembahyang memberikan kesan paling baik memperbaiki diri seseorang manusiadan juga masyarakat.

Persoalannya, solat yang bagaimanakah dapat mengesankan ke dalam diri seseorang manusia? Yang dapat menghindarinya daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat? Yang dapat menolongnya menyelesaikan masalah-masalah dunia dan akhiratnya.

Sembahyang yang sepatutnya

Setiap sembahyang yang kita lakukan, sebelumnya dan di dalamnya ada syarat-syarat sembahyang dan rukun-rukun sembahyang, ada adab-adab sembahyang dan ada wajib-wajib sembahyang.

Setiap satunya mestilah disempurnakan dengan selayak yang mungkin. Selain itu, ada juga kesilapan-kesilapan yang boleh merosakkan sembahyang, yang berhajat setiap orang Islam mengambil berat dengannya dan dapat menjauhkan diri daripada melakukannya.

Dalam musnad Imam Ahmad, Nabi Muhammad ada bersabda, yang bermaksud, Sesungguhnya pencuri yang paling keji sekali ialah pencuri yang mencuri di dalam sembahyangnya. Hadis ini memaksudkan bahawa mereka tidak menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan tidak khusyuk dalam sembahyangnya.

Dalam hadis yang lain, yang bermaksud, sesungguhnya ada orang yang sembahyang, apabila dia selesai menunaikan sembahyang, malaikat menulis pahala sembahyangnya hanya satu perempat sahaja, ada yang satu perlima sahaja, dan ada yang hanya satu persepuluh sahaja.

Pahala sembahyang akan berkurangan kerana kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Hadis-hadis ini menyingkapkan suatu rahsia bahawa seseorang yang bersembahyang, hendaklah memberi perhatian yang tegas dalam permasalahan-permasalahan sembahyang agar mendapat pahala paling kurang pun, hampir-hampir penuh, kalau tidak penuh pun.

lMOHD. ROSLAN ABDUL GHANI bertugas di Unit Penerbitan Bahagian Agama di Majlis Agama Islam Kelantan.

Sidang Dun Perak dijangka kecoh, solat hajat 5 pagi 7 Mei

Jawatankumat-sabu06.jpgasa Mobilisasi Demokrasi PAS Pusat mendesak supaya Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan segera untuk mengembalikan hak rakyat menentukan kerajaan yang mereka kehendaki.

Pengerusinya, Mohamad Sabu menegaskan pembubaran itu perlu dilakukan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan mereka sendiri dan bersesuaian dengan amalan demokrasi.


Beliau menegaskan sidang Dun yang dijangka akan diadakan pada 7 Mei nanti bakal menghadapi banyak kerumitan.

"Sidang Dun Perak 7 Mei nanti akan ada dua Menteri Besar, Dua Speaker dan Dua kerajaan jadi kita amat khuatir kerumitan dan kesulitan yang sudah ada ini akan bertambah.

"Oleh yang demikian kita mendesak agar Dun Perak dibubarkan dan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan pilihan mereka," tegas Mohamad Sabu dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, dekat sini tengah hari tadi.

Sehubungan dengan itu PAS akan mengadakan program solat hajat, doa munajat dan solat subuh pada 7 Mei ini jam 5.00 pagi di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru, Manjoi, Ipoh, Perak.

Program tersebut telah dipersetujui oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dalam sidang media yang sama beliau juga menegaskan Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS Pusat mengambil pendirian menolak peraturan baru yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tegas Naib Presiden PAS itu, peraturan yang dibuat oleh SPR ini semata-mata mengikut kehendak Umno tanpa mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain yang turut berdaftar di bawah suruhanjaya tersebut.

"Larangan SPR supaya tidak ramai penyokong hadir ketika hari penamaan calon jelas mengikut telunjuk Umno.

"Sedangkan setiap kali penamaan calon, media arus perdana sering melaporkan bahawa penyokong pembangkang sedikit jumlahnya berbanding penyokong Umno.

"Jadi kenapa takut dengan kehadiran penyokong pembangkang sedangkan media arus perdana laporkan kehadiran mereka sedikit sahaja," tegas beliau.

Beliau juga menegaskan jawatankuasa itu turut menolak peraturan baru SPR yang tidak membenarkan pondok panas didirikan di tempat mengundi.

Turut hadir dalam sidang media ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat._

Pemilihan PAS: Ribut dalam cawan

Akhbar yang selama ini dikawal mutlak Umno-BN tiba-tiba saja banyak memberikan ruang agak besar kepada PAS, termasuk di muka depan. Sebabnya mudah ditelah iaitu agenda pemilihan yang berlaku dua tahun sekali.

Walaupun liputannya lebih tertumpu kepada "aspek-aspek negatif" yang boleh dicungkil daripada debar pemilihan kepimpinan parti Islam itu, yang dijadualkan awal Jun depan, namun saya tidaklah mahu terburu-buru mahu memberikan label negatif kepada akhbar-akhbar berkenaan.


Ada teman-teman yang mahu saya menempelak media yang menyorot "secara berlebihan" senario pencalonan yang dibuat oleh mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan di seluruh negara, bagi jawatan tertinggi parti, khususnya Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Saya cuba mengelak.

Lumrah sebuah parti besar

Bagi saya, biarlah ... bukankah PAS itu sebuah parti besar yang terbukti mampu berdepan pelbagai tribulasi, mehnah dan fitnah? Ia bagai pohon kayu yang makin kukuh pegangan akarnya apabila sering dilanda angin dan taufan. Apa perlu dirisaukan sangat dengan persepsi media jika di kalangan kita sendiri menyediakan "bahan sensasi" untuk mereka?

Masakan parti boleh lumpuh hanya kerana jarum propaganda musuh dikatakan sudah menjalar ke segala urat nadi organisasi? Saya tidak rasa daya tahan PAS dan kekebalan pendokongnya menghadapi "ujian kecil" ini begitu lemah.

Lebih daripada itu, PAS kini sudah dianggap saingan terdekat kepada Umno, dan bersama-sama mengungguli Pakatan Rakyat yang dilihat tegak berdiri sebagai sebuah "kerajaan menanti".

Sebagai parti yang bukan lagi terbatas pengaruh dan kekuatannya di wilayah tradisi seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, fokus yang diberikan rakyat terhadapnya, termasuk daripada media tentulah meningkat. Apa jua pergolakan dalam parti pastinya cepat dihidu, dan akan diberi tafsiran mengikut kehendak seteru politik PAS.

Rakyat memerhati penuh minat

Semua akur, peranan PAS tidak boleh diperlekehkan, malah boleh dianggap sebagai penentu politik masa depan. Rakyat sebenarnya sedang meneliti apa jua perkembangan dalam PAS dengan penuh minat. PAS kini bukan lagi berada di pinggiran tetapi sedang merapati posisi yang dapat mendefinisikan situasi politik mutakhir.

Oleh itu, jika berlaku pertandingan dalam proses pemilihan kepimpinan PAS, terutama di peringkat atasan, ia suatu fenomena biasa. Ia hanya menyaring tokoh terbaik di kalangan mereka yang menawarkan diri, yang diperuntukkan perlembagaan. Dan saya kira semua ahli-ahli parti, selain tidak perlu panik membaca laporan "adu-domba" yang melaga-lagakan pemimpin-pemimpin kanan PAS, harus bersikap terbuka dan tidak mudah melatah.

Apabila setiap gerak parti diperhatikan, sehingga dibaca berapa darjah kecondongannya dalam isu-isu tertentu, maka PAS tidak boleh memandang remeh apa jua pandangan dan kritikan terhadapnya.

Ahli-ahli dan pemimpin pula harus bijak "menjaga diri" dengan tidak terdedah dalam aktiviti "melobi" di luar batasan, yang jika tidak dikendali secara beradab boleh mencetuskan tunas-tunas yang kemudiannya boleh mewabak tanpa sedar.

Apabila prestasi pemimpin diperhalusi

Agenda rutin pemilihan itu juga dapat mengingatkan penyandang jawatan agar sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam tempoh tertentu bagi memenuhi amanah dan aspirasi perwakilan dari seluruh pelosok negara. Prestasi akan dihalusi setiap dua tahun sekali. Dan terbukti selama ini pun perwakilan PAS bijak memanfaatkan peluang untuk membuat pilihan.

Kini umum memperkatakan di mana-mana, era Umno-BN sudah menghampiri penghujungnya. Namun gelagat pemimpinnya tetap menjolok mata. Gejala kehidupan materialistik yang menyuburkan rasuah bagai tidak boleh dibendung. Rakyat diperbodohkan dengan pelbagai ungkapan manis dan jaminan yang tidak pernah tertunai.

Tidak pernah dalam sejarah, Umno-BN menghadapi cabaran segetir ini daripada pakatan pembangkang yang begitu menyerlah.

Majoriti rakyat pelbagai kaum di semua peringkat sudah bersedia untuk melakukan perubahan besar, seperti ditandai keputusan mengejutkan dalam pilihan raya Mac 2008, dan dituruti beberapa pilihan raya kecil kemudiannya. Namun perubahan juga ada ilmu dan seninya, yang hanya mampu digerakkan dan disempurnakan oleh pemimpin terpilih.

Tanggungjawab pemimpin PAS meneroka perubahan yang diimpikan rakyat ini cukup besar dan mendesak sekali. Usah kecewakan harapan mereka.

PAS terus kukuh walau hadapi pertandingan pucuk pimpinan

MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat ke 55 yang akan diadakan di Shah Alam awal Jun ini dijangka hangat dengan pertembungan sengit jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS.

Pertembungan bagi jawatan tertinggi PAS, khususnya bagi jawatan Timbalan Presiden parti, bukannya perkara baru. Ia bermula selepas peninggalan al-Marhum Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002.

Hampir 13 tahun atau enam penggal berturut, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dimenangi Ustaz Fadzil dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tanpa bertanding.

Kedua-dua pemimpin utama PAS itu terlalu terkehadapan sehinggakan, tiada yang dirasakan berkemampuan mengatasi kewibawaan mereka, sebaik sahaja Ustaz Fadzil mengambil alih jawatan Presiden PAS (sebelum ini dinamakan Yang Dipertua PAS Pusat) dari al-Marhum, Ustaz Yusof Rawa pada tahun 1989.

Jawatan Presiden PAS, hanya dipangku oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hadi selepas peninggalan Ustaz Fadzil.

Pada muktamar tahun 2003, Ustaz Hassan Shukri menewaskan Dato' Mustafa Ali bagi jawatan nombor dua PAS. Dua tahun kemudian (pada 2005), Ustaz Hassan ditewaskan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Ustaz Nasharudin sekali lagi mengekalkan jawatan apabila menewaskan Dato' Harun Taib pada muktamar tahun 2007.

Pada muktamar kali ini, walaupun dijangkakan berlaku pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden, namun perwakilan PAS sudah matang dan biasa dalam menghadapi pertandingan.

Pertandingan kali ini tiada bezanya dengan pertandingan yang berlaku sejak tiga penggal lepas. Yang membezakan ialah, apakah ianya berlaku secara yang aman dan teratur, mengikut konsep syura yang demokratik atau ianya dicemari dengan pelbagai kekotoran.

Setiap seorang ahli dalam PAS mempunyai hak yang sama. Iaitu berhak dicalonkan dan berhak bertanding untuk sesuatu jawatan yang diingini, asalkan ia tidak melanggar disiplin parti dan mendapat sokongan majoriti ahli.

Sistem yang diamalkan dalam PAS sebagai sebuah parti Islam yang berlandaskan demokrasi begitu jelas, jika seseorang pemimpin mendapat pencalonan untuk sesuatu jawatan, maka beliau berhak untuk bertanding.

PAS tidak menetapkan kuota untuk sesuatu jawatan. Tiada paksaan untuk memastikan mereka yang dicalonkan supaya mesti bertanding dan PAS juga tidak akan menghalang mana-mana calon yang mendapat pencalonan untuk bertanding.

Sama ada mereka berlatarbelakangkan pengajian agama atau tidak, juga bukan disyaratkan dalam pertandingan PAS. Dalam PAS tidak wujud 'trend' sebagaimana yang didakwa media arus perdana, iaitu wujudnya pertembungan antara golongan ulama dan profesional.

Kerana dalam PAS, sebaik sahaja menandatangani borang permohonan menjadi ahli PAS, tanpa mengira latar belakang, mereka menjunjung al-Quran sebagai perlembagaan tertinggi dalam hidup, mengamalkan as-Sunnah serta mengikut Ijma ulama dan Qias sebagai sandaran perjuangan.

Dakwaan sedangkal ini (wujudnya konflik ulama dengan non-ulama) tidak akan mempengaruhi perwakilan PAS. Mereka sudah cukup matang untuk memilih dan menentukan siapa bakal pemimpin mereka berdasarkan karisma dan merit seseorang pemimpin.

Tidak dinafikan wujud perbezaan pendapat dan pandangan, berhubung pendekatan terbaik yang bakal diambil dalam sesuatu perkara.

Tetapi kewujudan perbezaan ini bukan merupakan pertelingkahan yang merosakkan parti. Kerana bagi ahli PAS, kepentingan Islam dan masa depan parti, lebih utama daripada kepentingan peribadi.

Jika terdapat mana-mana pemimpin, yang meletakkan kepentingan peribadinya mengatasi kepentingan Islam dan parti, nescaya beliau akan ditolak ahli-ahli PAS.

Walaupun wujud dalam PAS beberapa tokoh dan nama-nama besar dalam arena politik negara, namun mereka akan tidak mempunyai apa-apa nilai jika mereka tidak diangkat sebagai pemimpin-pemimpin PAS.

Dalam erti kata lain, sehebat mana pun seseorang individu itu, jika dia mufarakah dengan PAS dengan merasakan pemikiran dan pendekatan politiknya lebih baik, dia akan ditolak oleh ahli-ahli PAS keseluruhannya.

Sejarah politik PAS membuktikan, pemimpin besar seperti Tan Sri Asri Muda yang menjawat jawatan Yang Dipertua PAS Pusat, bekas Menteri Besar Kelantan, bekas Ahli Parlimen yang menggegarkan Kerajaan Perikatan (BN) ketika itu, tidak mampu memecahbelahkan PAS sebaik sahaja keluar parti.

Begitu juga seorang ideologis, Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Nakhaie Ahmad, meninggalkan PAS, dengan dua tiga kerat penyokongnya.

Dengan kehendak Allah PAS tetap utuh dan terus utuh, walaupun pemimpinnya meninggalkan parti, sama ada kerana perbalahan atau menyahut seruan Ilahi.

Cumanya mutakhir ini wujud 'trend' yang dibimbangi boleh merosakkan PAS dalam jangka masa yang panjang.

Wujud kelompok tertentu yang tidak menggunakan saluran parti untuk memantap dan membaik pulih kepimpinan PAS.

Pemimpin-pemimpin PAS secara umumnya, terbuka kepada sebarang teguran dan kritikan. Tiada sekatan untuk ahli-ahli menegur kepimpinan jika merasakan beliau melakukan kesilapan. Tegurlah dengan cara yang berhemah, jangan memfitnah atau memaki hamun dengan bahasa-bahasa yang kesat.

Dalam dunia siber tanpa sempadan ini, ramai pemimpin, ahli atau sesiapa sahaja yang menyokong PAS, turut menyumbangkan idea dan pandangan melalui blog-blog dan laman web peribadi.

Tiada sekatan yang boleh PAS buat jika mereka membuat teguran atau kritikan tersebut melalui blog-blog peribadi mereka.

Namun, sebagai pemimpin atau ahli PAS, mereka juga tertakluk kepada disiplin parti dan harus menjaga tatasusila sebelum mempamerkan pandangan peribadi mereka mengenai PAS dan kepimpinan PAS.

Bloggers yang terdiri daripada pemimpin dan ahli PAS harus memahami disiplin ini. Jangan sesekali mencemarkan nama baik PAS dan pemimpin PAS. Anda boleh tidak bersetuju dengan mana-mana pemimpin, tetapi jangan sesekali berperanan sebagai 'pencucuk' yang melaga-lagakan pemimpin PAS.

Jangan sesekali mewujudkan blog atau laman web peribadi atau dengan menggunakan nama samaran untuk menceritakan masalah dalaman PAS dan keburukan individu pemimpin tertentu.

Golongan seperti ini barangkali memikirkan pandangan peribadinya sahaja yang betul, walhal hakikatnya mereka sudah merosakkan parti dan mencetuskan pada pemikiran pelayar-pelayar internet bahawa PAS juga menghadapi masalah dalaman yang teruk seperti Umno.

Jika blogger yang dikenali bukan ahli PAS atau memusuhi PAS, kita tidak bimbang kerana memang kerja mereka hendak memburuk-burukkan PAS.

Bahayanya 'trend' mutakhir menjelang pemilihan muktamar PAS, golongan jahil yang takut berhadapan dengan kebenaran ini, menggunakan blog-blog palsu untuk mengaibkan individu pemimpin PAS tertentu dengan cara yang tidak bermoral.

Bloggers seperti ini begitu licik berselindung, tetapi gerak kerja mereka boleh dihidu dan diketahui kerana mereka boleh menceritakan susur galur 'konflik' dalaman PAS dengan begitu teliti.

Sehinggakan apa yang berlaku dalam mesyuarat AJK PAS Pusat juga diketahui dan dipaparkan dalam blog mereka. Perbincangan sisi dan sembang borak pemimpin selepas mesyuarat juga diketahui secara terperinci dan disiarkan dalam blog.

Tidak sukar untuk diagak, bahawa mereka ini adalah orang-orang yang rapat dengan pemimpin-pemimpin tertentu. Sebelum 'nasi menjadi bubur', sebelum kelibat mereka dihambat 'sehingga ke lubang kubur', berhentilah daripada menjaja fitnah.

Sikap buruk ini harus dihentikan serta merta. Sikap buruk ini, dengan memaparkan gejala negatif dan fitnah melalui blog hanyalah seperti 'tikus membaiki labu'.

Ingatlah bahawa PAS tidak akan dapat dipecah selagi pemimpin dan ahli PAS terus utuh dengan perjuangan Islam, malah kedudukan PAS akan terus diperkukuhkan di persada politik negara dengan komitmen untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat bagi menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, Insya Allah._

Muktamar menuntut kematangan PAS menetapkan hala tuju

Muktamar Tahunan PAS Pusat Jun ini dijangka menarik kerana parti ini mengadakan muktamarnya dalam suasana kemunculan Pakatan rakyat sebagai pesaing kuat Barisan Nasional.

Dalam pakatan rakyat PAS merupakan parti terbesar dari segi bilangan ahli, cawangan dan jentera serta organisasi. Apatah lagi buat masa ini rekod PAS dianggap terbaik setelah 1969 dengan 28 kerusi di Parlimen dan yang terbanyak pada kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri.


Rakyat sedang memerhatikan Muktamar PAS dengan satu harapan. Muktamar PAS kali ini juga menarik kerana perwakilan parti akan memilih calon-calon untuk diletakkan sebagai kepimpinan parti dan diharapkan dapat menerajui parti dalam suasana mencabar hari ini.

Tanggapan umum

Sememangnya menarik muktamar kali ini kerana selain daipada orang ramai, rakan-rakannya dari DAP dan Parti KeADILan Rakyat pun memerhatikan muktamar dengan berdebar-debar untuk melangsungkan persahabatan, tidak lupa juga pihak lain yang berminat ialah pesaing PAS iaitu Umno.

Mereka melihat perkembangan muktamar ini dengan bercampur baur perasaan supaya mereka dapat mengukur kekuatan kepimpinan yang akan dilantik kelak.

Demikianlah tanggapan kawan dan lawan PAS, namun bagaimana pula ahli-ahli PAS?

Sudah tentu lebih menarik kerana ahli PAS akan bergantung harap kepada kepimpinan baru yang akan dilantik dan ahli PAS juga mengharapkan kepimpinan yang akan dilantik dapat membawa imej parti yang semakin mendapat perhatian berbagai kaum.

Dalam suasana ini, calon-calon yang akan mendapat perhatian ialah kepimpinan tertinggi parti bermula dari Presiden, Timbalan Presiden, dan jawatan tiga Naib Presiden.

Walaupun bagi jawatan Presiden, dijangka tiada pencabar, namun jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden akan menjadi tumpuan.

Kecualilah calon-calon menarik diri maka tidak akan ada pertandingan, tetapi melihat perkembangan hari ini, pertandingan tidak dapat dielakkan lagi.

Isu-isu menarik

Yang lebih menarik ialah 'kehangatan' sebelum pemilihan parti kerana sebelum muktamar akan menyaksikan berbagai spekulasi tentang calon yang akan bertanding.

Di sebalik nama-nama calon itu akan ada pula isu-isu yang akan dikaitkan dengan calon-calon yang akan bertanding walaupun tidak seperti pemilihan parti Umno yang menabur duit di sana sini.

Tapi yang pasti isu lama akan muncul dan kriteria ulama-profesional akan menjadi persoalan.

Ada juga isu lanjutan ulama-profesional ialah isu kumpulan Erdogan. Entah dari mana asal-usul isu ini tidaklah dapat diketahui tetapi ia sudah menjadi bahan utama yang cuba mempengaruhi kecenderungan perwakilan membuat pilihan.

Soalnya apakah makna kumpulan Erdogan? Bagi yang tidak tahu siapa Erdogan, dia bukanlah ahli PAS tetapi Perdana Menteri Turki hari ini dari AK parti yang telah berpisah dengan parti Islam Refah di Turki.

Namanya menjulang apabila partinya berjaya menguasai kerajaan sekular Turki dengan kemengan yang besar dan bergaya.

Erdogan adalah lambang reformasi yang mahu melihat partinya maju ke hadapan dan menguasai pesada politik tanahair.

Ikon ini dikaitkan dengan kononnya kumpulan dalam parti yang berusaha melakukan reformasi dalaman parti PAS.

Apakah jolokan nama Erdogan yang dikaitkan dengan kumpulan tertentu dalam PAS cuba menggambarkan bahawa yang bukan Erdogan adalah mereka yang tidak mahu melihat reformasi parti PAS?

Apakah reformasi parti untuk melihat ia lebih maju dan dapat menangani cabaran mendatang satu yang negatif?

Ataukah ada isyarat yang cuba hendak disampaikan bahawa yang bukan Erdogan adalah merka yang tidak mahu melihat reformasi parti?

Isu ini dikhuatiri akan menghantar isyarat yang salah untuk kebaikan parti.

Pertembungan Konservatif-Reformis?

Dalam mana-mana parti politik mesti ada kumpulan yang dianggap konservatif yang mahu melihat dasar parti tidak berubah dan garis perjalanan parti kekal seperti mana bentuk asalnya manakala golongan reformis pula mahukan perubahan yang membolehkan parti terus maju.

Persoalannya apakah kebimbangan konservatif dan reformis ini relevan untuk dikaitkan dengan pemilihan PAS kali ini? Hakikatnya persoalan meninggalkan dasar parti tidak timbul begitu juga budaya dan garis perjalanan parti pun tidak timbul, yang timbul ialah bagaimana parti harus membawa perjuangannya dalam suasana yang mencabar hari ini.

Dasar akan tetap kekal, tetapi adaptasi dan penyesuaian kepada politik baru, cara berfikir pengundi yang baru dan trend politik baru itulah yang memerlukan kepimpinan yang responsif kepada keadaan sekelilingnya.

Tidak kiralah samada Erdogan atau tidak, konservatif atau reformis, soalannya apakah PAS mampu menerajui politik dan perkembangan baru politik tanah air?

Bagaimana pula kepimpinan baru nanti akan membawa parti ini pada era baru yang akan bersifat inklusif untuk semua kaum tanpa meninggalkan dasar Islamnya?

Ini yang sepatutnya menjadi pertimbangan perwakilan nanti bukan dari mana kumpulan ini atau itu datang.

Lebih buruk perwakilan langsung tidak mengambil kira segala perkemabangan baru yang berlaku disekeliling mereka.

Malang sekali jikalau kesempatan ini diambil oleh pihak tertetentu untuk melihat Muktamar ini sebagai medan ujian peribadi dan bukan melihat keperluan membawa parti ini kepada tahap yang lebih meyakinkan rakyat Malaysia.

PAS melalui proses kematangan

Namun isu yang cuba dilontarkan samada secara sengaja atau tidak dan dari pihak luar atau dalam adalah sebahagian dari rencah-rencam perjuangan PAS.

Ia bukan hanya kali ini, sebelum ini isu ulama-profesional menjadi bahan, sebelumnya isu kedaerahan, ini adalah pengalaman-pengalaman yang telah memantangkan PAS dan kepimpinannya.'

Oleh itu isu Erdogan hanya sebahagian daripada proses ini, sebab itu ahli PAS sepatutnya matang untuk membuat penilaian ke arah mana parti ini hendak dibawa dan siapakah kepimpinan yang mampu untuk membawanya. Inilah sepatutnya menjadi isu.

Persoalan siapa akan menjadi kepimpinan yang akan dipilih bukanlah sukar sangat untuk dibuat andaian dan telahan.

Tetapi yang membimbangkan kita ialah isu disebalik pemilihan inilah yang jika tidak ditangani dengan baik hanya akan memberi keuntungan kepada pihak-pihak yang melihat kepentingan dirinya dalam parti dan sekaligus menjadi pengkhianat kepada perjuangan parti kerana memberi jalan mudah kepada musuh-musuhnya. - mr_

sumber: detikdaily.net

kenapa umno ni gila sangat kat pas..

reply to aidc....
semua tahu,walaupun bukan secara terangan,umNo inginkan pas bersama sama mereka dalam barisan nasional.pemimpin umNo tak kan boleh tidur dengan lena selagi pas tidak bersama mereka,umNo tidak akan rasa aman,selamat dan makmur selagi mereka tidak dapat menarik pas ke dalam komponen bN.


ironinya,mereka tidak pula nakkan kan pas semasa mereka mencapai kemenangan besar pada tahun 2004,tetapi hanya jatuh Cinta pada pas selepas 'kemenangan' teruk pada pilihan raya umum 2008.

sebabnya....ia jelas,umNo tahu bahawa ia akan jatuh dalam masa terdekat jika tiada sokongan dari pas.

umNo yang kehilangan 2/3 majoriti dalam parlimen pasti gusar untuk menghadapi sebarang pilihan raya tanpa back up dari parti yang berpengaruh seperti pas.

umNo juga sedar,sokongan melayu juga semakin bertambah kepada parti bukan majoriti melayu seperti DAP,dan melayu yang menyokong DAP ini adalah mungkin sekali dari pas dan pkr,jadi umNo mesti harapkan sokongan ahli pas terhadapnya.

jadi umNo sangat sangat berharap pas akan menyertai bN,dan umNo kelihatan punyai harapan untuk itu jika pemimpin tertinggi pas 'lupa' akan tregedi hitam satu ketika dahulu.

apapun,kepercayaan penyokong akar umbi masih kuat dengan tolakan keras tuan guru nik aziz terhadap penyatuan ini..(hidup tuan guru,semoga panjang umur).lebih lebih lagi tuan guru adalah mursidul am pas yakni pemimpin tertinggi pas,jadi rakyat masih rasa tidak dikhianati.bukan sahaja melayu,malah bangsa lain seperti cina dan india juga juga akan rasa dihianati jika penyatuan ini berlaku.lebih lebih lagi jika penyatuan ini beralasankan MELAYU..

semua sedar,penyokong akar umbi pas tidak akan redha dengan pimpinan tertinggi pas jika penyatuan antara pas dan umno berlaku..dan diharap pimpinan juga sedar akan hal ini....

sumber> http://keraspedal.blogspot.com/

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.