DALAM 10 tahun kebelakangan ini, amalan perbankan dan kewangan Islam mengalami pertumbuhan ketara. Jumlah institusi kewangan Islam meningkat melebihi 300 buah dan berkembang meliputi 75 negara.
Ia membabitkan nilai urus niaga yang mencecah sehingga AS$300 bilion (RM1.05 trilion) dengan pertumbuhan pada kadar sehingga 15 peratus setahun. Statistik itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa perbankan Islam berkembang dengan progresif.
Ia juga dilihat mempunyai potensi besar bagi menggantikan sistem konvensional bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Ini kerana sistem kewangan Islam amat menekankan aspek keadilan apabila menggariskan prinsip dan nilai yang wajib diikuti dalam memastikan aktiviti ekonomi berjalan dengan baik.
Sebagai contoh, Islam mengharamkan aktiviti riba yang bermaksud setiap urusan hutang tidak boleh mempunyai elemen faedah atau nilai tambah. Prinsip ini jelas berbeza dengan sistem kapitalisme dalam dua perkara iaitu mengharamkan pinjaman dengan amalan faedah (riba). Pada masa yang sama, ia turut menegah sebarang bentuk spekulasi berunsur penindasan.
Sebagai alternatif, pembiayaan boleh dilakukan secara jual beli atau sewaan yang bersandarkan kepada aset sebenar. Sekiranya bank ingin membiayai pembelian rumah, ia tidak boleh memberikan wang dan mengaut keuntungan melalui hutang. Sebaliknya perlu membeli aset tersebut dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga yang mengambil kira keuntungan kepada bank.
Sistem ekonomi Islam juga menekankan aspek perkongsian untung dan rugi yang memerlukan bank terlibat secara langsung dengan aktiviti ekonomi pelanggan.
Ia secara tidak langsung dapat mendisiplinkan aktiviti ekonomi kerana bank harus melakukan penelitian rapi bagi setiap projek yang dibiayai. Ini kerana sistem perekonomian Islam menyokong perkongsian risiko antara pihak institusi kewangan dan pelanggan dengan membawa prinsip menang-menang bagi semua pihak.
Sistem kewangan Islam juga mengharamkan aktiviti jual beli hutang kerana adanya elemen yang tidak pasti. Oleh itu, sistem ini dengan sendirinya mempunyai daya tahan terhadap krisis kegawatan ekonomi.
Sebagai sebuah negara Islam, perkembangan pesat sektor kewangan dan perbankan negara memberi kelebihan kepada sistem ekonomi Islam untuk berkembang.
Potensi itu turut disedari oleh sebuah firma guaman, Khairul Group Of Associates (Khairul Group). Ia melihat sektor ekonomi Islam boleh memberi kelebihan kepada pihak yang terbabit secara langsung dalam sistem ekonomi, lebih-lebih lagi kaum Bumiputera.
Pengerusinya, Khairul Anwar Selamat berkata, sejak beroperasi pada 2004, firmanya telah mengendalikan transaksi perbankan korporat bernilai lebih RM100 juta dengan lebih 70 peratus pelanggan memilih sistem perbankan Islam.
Kecenderungan itu dijangka berterusan bagi tempoh lebih panjang dan stabil berikutan prinsip kewangan syariah yang diyakini lebih adil, telus dan berwibawa. Pertumbuhan pesat juga dicatatkan dalam urus niaga berteraskan syariah seperti al-mudharabah, al-musyarakah, bai' bithamin ajil dan al-ijarah.
"Menariknya sistem kewangan Islam bukan sahaja menjadi pilihan di kalangan orang Islam, malah semakin ramai bukan Islam mula tertarik untuk menyertainya," ujar beliau.
Bagaimanapun secara keseluruhannya, masih ramai yang ragu-ragu untuk mengaplikasikan sistem perbankan Islam. Ia disebabkan kurangnya pendedahan dan salah faham terhadap konsep kewangan syariah yang sebenar.
Kerana itu juga Khairul Anwar mencadangkan, perlu ada penjelasan dan usaha yang berterusan untuk memperkenalkan produk perbankan Islam seperti sukuk dan pasaran bon Islamik. Kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh kelemahan kewangan konvensional juga dilihat peluang terbaik untuk menonjolkan sistem itu.
Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia dilihat mempunyai kapasiti daripada sudut kemahiran dan kemampuan untuk melaksanakannya. Untuk itu, Khairul Anwar menggesa lebih banyak pihak yang terbabit secara langsung dalam sistem kewangan dan perbankan meningkatkan aktiviti berasaskan sistem Islam.
Peningkatan minat itu juga merupakan kelebihan kepada Bumiputera terutamanya orang Melayu yang pastinya lebih arif dan memahami konsep kewangan Islam. Beliau sendiri menerusi firmanya, akan terus mengukuhkan usaha menggalak dan meyakinkan pelanggan untuk menjalankan urus niaga berdasarkan sistem perbankan Islam.
Ia berasaskan keyakinan bahawa inilah sistem terbaik dan berdaya maju serta menguntungkan kedua-dua pihak sama ada pelanggan mahu pun institusi kewangan.
"Sudah tiba masanya kita tidak lagi terpengaruh dengan pengamal Barat yang mendefinisikan sistem kewangan Islam sebagai alternatif.
"Hakikatnya, prinsip kewangan berlandaskan syariah adalah satu-satunya sistem yang utama dan terbaik," katanya.
Khairul Anwar turut melihat proses liberalisasi sistem kewangan Islam seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini merupakan satu pendekatan yang positif.
Ia diyakini dapat meningkatkan penyertaan asing dalam institusi kewangan selain pengurusan dana dan firma pembrokeran saham asing.
Malah, Khairul Group juga merancang untuk mengeksport kemahiran perkhidmatan mereka ke luar negara. Ketika ini terdapat permintaan kepakaran dari beberapa buah negara terutamanya di Asia Barat.
Negara-negara seperti Singapura, Indonesia, Jepun dan Hong Kong pula menunjukkan minat yang mendalam terhadap sistem perbankan Islam, katanya.
Khairul Group juga menjadi rujukan para pelanggan korporatnya dalam hal melibatkan undang-undang berkaitan sistem perbankan Islam, penstrukturan pinjaman serta pinjaman korporat dan komersial.
Mereka yang mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh firma Khairul Group boleh menghubungi talian 03-41428944 atau menerusi e-mel di alamat krulco@yahoo.com.
sumber: detikdaily
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan