3 remaja bawah umur didakwa bakar 2 surau di Muar

MUAR, Feb 4 — Tiga remaja lelaki bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar, di sini, hari ini, terhadap dua pertuduhan membakar dua buah surau dengan seorang daripada mereka turut dituduh membuat laporan polis palsu, bulan lepas.




Pertuduhan pertama terhadap dua juvana berumur 17 tahun dan seorang berumur 16 tahun itu ialah mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan api dengan niat menyebabkan kebinasaan suatu bangunan yang digunakan sebagai tempat ibadat, di Surau Parit Beting, Jalan Salleh, di sini, pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi, 21 Jan lepas.



Bagi pertuduhan kedua, dua juvana berumur 17 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juvana berumur 16 tahun yang sudah berhenti sekolah, dituduh melakukan khianat sama, di Surau Silaturrahim, Jalan Ismail, di sini, pada pukul 2 hingga 3.15 pagi, tarikh yang sama.



Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.



Majistret Lydiana Mansor menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan itu. Beliau menetapkan 6 April sebagai tarikh sebutan semula kes.



Sementara itu, seorang daripada juvana berumur 17 tahun itu, didakwa atas tuduhan memberikan maklumat secara bertulis palsu di Pejabat Pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada pukul 3.45 pagi, pada tarikh sama.



Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



Lydiana menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 serta 6 April depan untuk sebutan semula.



Tertuduh berumur 17 dan 16 tahun dibebaskan selepas menjelaskan ikat jamin masing-masing manakala seorang lagi juvana berumur 17 tahun gagal menjelaskan wang jaminannya menyebabkan dia dihantar ke Asrama Akhlak Bukit Baru, Melaka.



Pendakwaan terhadap mereka, yang tidak diwakili peguam, dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar. — Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.