Jawatankuasa disiplin PAS kecewa diserang ahli sendiri protes hukuman

Oleh G. Manimaran




KUALA LUMPUR, Feb 4 — Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kecewa kerana beliau diserang oleh sebahagian pemimpin parti itu sendiri ekoran tanggapan bahawa jawatankuasa disiplin mengenakan hukuman ringan ke atas Datuk Dr Hasan Ali berbanding Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.



Dalam tulisan blognya, kira-kira seminggu selepas mengumumkan keputusan ke atas Hasan, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Khalid bekas timbalannya, Tuan Ibrahim berkata beliau sebenarnya telah menolak daripada menjadi pengerusi jawatankuasa disiplin tahun lalu. Justeru kata Tuan Ibrahim (gambar), selepas keputusan diumumkan beliau menjangkakan yang Umno akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor.



“Ternyata andaian saya meleset. Umno tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama.



“Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang jawatankuasa disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?” katanya.



Sabtu lalu Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Khalid selama enam bulan sedangkan Hasan hanya diberi amaran.



“Keputusan jawatankuasa tatatertib PAS Pusat menggantung Khalid Samad selama enam bulan dan hanya memberi amaran bertulis kepada Datuk Hasan amat mengejutkan dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pahang.



Tuan Ibrahim menambah, beliau sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan-tohmahan itu tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polemik yang lebih besar dan berpanjangan.



Katanya, tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum.



“Cuma saya bertanya sendirian, kenapa Umno tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu.



“Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali,” katanya.



Sehubungan itu kata Tuan Ibrahim, beliau menganggap komentar Abdullah melampau dan “saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu.”



“Pejabat setiausaha agung juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat negeri Pahang.



“Mesyuarat telah pun menerima permohonan beliau. Sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau ke luar negara, kesempatan diambil untuk menyerang jawatankuasa disiplin parti. Kritik kemudiannya tinggal,” kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.



Tuan Ibrahim berkata beliau juga dukacita dengan pendirian Abdullahm yang merupakan seorang peguam dan memahami prosedur hukuman dan siasatan.



“Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan.



“Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tidak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman,” katanya.



Tuan Ibrahim mengakui beliau ada menghantar satu laporan kepada jawatankuasa disiplin, tetapi telah maklumkan prosedur bahawa dia kena hantar kepada setiausaha agung untuk dibuat penelitian.



“Jawatankuasa disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisme yang sama.



“Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara.



“Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hearsay’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS,” katanya.



Jawatankuasa disiplin menurut Tuan Ibrahim, tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ia tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil.



“Ini jawatankuasa disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak di luar perlembagaan parti,” katanya.



Tuan Ibrahim juga menambah berada di kerusi pengerusi jawatankuasa disiplin parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa.



“Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan jawatankuasa disiplin akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum,” kata beliau.



“Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ia tidak sesuai dengan jiwa saya.



“Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah,” kata beliau yang menyifatkan Hasan dan Khalid adalah kawannya.



Oleh itu katanya beliau sangat bersetuju suatu pindaan perlembagaan parti perlu dibuat agar pengerusi jawatankuasa disiplin tidak diambil daripada kalangan ahli jawatankuasa pusat kerana ia akan dilihat “tidak adil” terutama bila mana terpaksa membicarakan anggota sendiri atau pemegang jawatan parti.



“Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman,” katanya.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.