Pendaftaran Pemilih - Tunaikan Hak Anda




Yang di-Pertua PAS Kawasan Bintulu dalam taklimatnya telah menegaskan kepada hadirin tentang keperluan dan kepentingan untuk menjadi pemilih berdaftar. Katanya, asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan atau pemerintah adalah individu-individu yang masing-masing mempunyai nilai-nilai yang tersendiri. Sebagai individu yang waras, kita mahukan sebuah kehidupan yang aman, pembangunan yang pesat, kebajikan yang terpelihara, keharmonian hidup bermasyarakat malah kebebasan untuk beramal dengan kepercayaan agama kita masing-masing. Maka atas nilai-nilai inilah kita berusaha mencorakkan lanskap kehidupan kita.



Ujarnya lagi, dalam kita mencorakkan lanskap kehidupan kita tersebut, kita tidak dapat lari dari tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang akan menggubal dasar dalam menentukan terlaksananya nilai-nilai tersebut dalam masyarakat. Akan tetapi, beliau menambah bahawa lanskap kehidupan yang cuba dibentuk oleh pemimpin BN ketika ini tidak akan terpelihara nilai-nilai yang kita inginkan.



Sebagai contoh, katanya pendedahan-pendedahan yang dilakukan oleh ahli parlimen Bintulu, YB Tiong tentang penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan jutaan ringgit dalam skandal kewangan yang melibatkan kepentingan rakyat terus didiamkan begitu sahaja tanpa diberi pengadilan dan pendedahan yang sewajarnya. Apakah jaminan bahawa beliau, YB Tiong adalah bersih dan amanah? Apakah pula jaminan kepentingan kita sebagai rakyat diutamakan dan didahulukan? Sedangkan dalam banyak kes, umum mengetahui bahawa kekayaan bumi Sarawak sedang dibolot oleh golongan yang tertentu. Bagaimanakah dapat kita nikmati nilai-nilai hidup yang kita inginkan jika hak kita tidak diberi malah diselewengkan? Jurang perbezaan antara rakyat yang miskin jika dibandingkan dengan perolehan atau hasil negeri amat ketara. Dengan memberi contoh Bintulu sahaja, yang diketahui umum tentang hasil industri yang menyumbang kepada perolehan negeri, beliau menambah bahawa masih ramai rakyat yang tidak terbela, masih ada kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah tidak dapat bersekolah disebabkan faktor ekonomi keluarga. Persoalan ini katanya, akan membuat kita berfikir tentang keberkesanan malah kesungguhan para pemimpin BN meningkatkan taraf hidup rakyat negeri Sarawak.



Justeru itu, tegasnya rakyat Sarawak perlu memilih pemimpin yang boleh diyakini integritinya. Dengan memberi contoh pemimpin PAS, beliau menyebut bahawa Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah contoh terbaik keperibadian seorang pemimpin. Dari sudut kemewahan hidup, amatlah jauh bezanya jika dibandingkan antara MB Kelantan dengan KM Sarawak, malah Menteri Muda Sarawak juga jauh lebih mewah hidup mereka.



Mengakhiri taklimatnya, beliau menyatakan bahawa adalah penting supaya rakyat Sarawak khasnya mendaftar sebagai pemilih. Hanya pemilih yang berdaftar sahaja yang layak untuk mengundi dan memilih pemimpin yang berintegriti untuk mentadbir urusan kita. Menurut angka yang dikeluarkan oleh pihak SPR, terdapat seramai 473,000 penduduk Sarawak yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar.



Untuk makluman pembaca, pendaftaran pemilih boleh dilakukan di semua Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya, wakil-wakil Parti Politik, dan semua Pejabat POS berkomputer.



Posted by Abi Aisyah

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.