Shafie tak mahu PRU-13 awal, Hisham isytihar ‘perang’

June 20, 2010KUALA KRAI, 19 Jun – Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpendapat bahawa kerajaan tidak perlu mengadakan pilihan raya umum ke-13 lebih awal atau dalam masa terdekat ini.




Beliau berkata Umno tidak melihat pilihan raya umum perlu diadakan lebih awal hanya kerana berdasarkan sokongan dan kepercayaan rakyat yang meningkat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.



Menurutnya, pilihan raya bukan semata-mata dilihat untuk memastikan kemenangan parti, tetapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti pentadbiran kerajaan dan penyusunan jentera parti.



“Mungkin bagi parti pembangkang bersedia untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa kerana mereka merasakan mereka boleh memang, tanpa memikirkan aspek lain yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuala Krai hari ini.



Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa parti itu bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa dari sekarang.



Bercakap kepada pemberita di Tumpat, Rabu lepas, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.



Shafie berkata, kerajaan tidak akan melakukan sesuatu atas desakan mana-mana pihak, terutama parti pembangkang yang melihat cadangan itu untuk kepentingan parti mereka tanpa memikirkan lebih jauh dari itu.



Menurutnya, sebagai parti pemerintah, Umno bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya kerana parti sentiasa diletakkan dalam keadaan bersedia.



“Yang penting, kita perlu meneliti banyak perkara, bukan sekadar memastikan parti menang dalam pilihan raya, tetapi lebih jauh dari itu, iaitu memastikan pentadbiran negara dan pengusunan jentera kerajaan dan parti berjalan lancar.”



Mengenai daftar pemilih, beliau mengarahkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) meningkatkan usaha mendaftar lebih 600,000 orang sebagai pemilih selepas gerakan pemutihan dalam parti dijalankan Umno baru-baru ini.



Beliau yakin masih ada 60,000 anggota Umno, terutama golongan muda yang tidak dapat dikesan status mereka selepas gerakan pemutihan parti itu dijalankan.



Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengisytiharkan “perang habis-habisan” terhadap pembangkang yang didakwanya memperlekehkan Umno yang menjadi tunjang kerajaan BN.



Serentak dengan itu beliau mengajak seluruh ahli parti supaya mengetepikan kepentingan individu sebaliknya menumpukan perjuangan untuk merampas kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 lalu pada pilihan raya umum akan datang.



“Kita kena buktikan Umno sebagai sebuah parti yang kekal relevan memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan masyarakat,” tegasnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di sebuah hotel di sini hari ini.



Beliau mahu supaya mereka tidak bersikap seperti katak bawah tempurung yang hanya memperjuangkan ruang litup mereka sahaja, sebaliknya mengambil kira orang di luar parti.



Menurutnya tiada gunanya mereka jadi jaguh dalam parti tetapi masyarakat luar menolak perjuangan parti.



Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, kekalahan calon-calon BN dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana Umno lemah tetapi kerana masalah dalam parti sendiri.



“Pembangkang mengambil kesempatan daripada kelemahan itu hingga kita kehilangan empat buah negeri dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.



Sehubungan itu, katanya Biro Politik Umno yang bermesyuarat dua hari lalu telah memutuskan akan menggerakkan program-program tertentu dan akan mula membuat pemantauan keberkesanan program berkenaan setiap minggu mulai sekarang.



Perhubungan-perhubungan Umno negeri katanya akan diminta menghantar laporan setiap minggu terhadap aktiviti parti dan perlaksaan projek-projek kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.



Hishammuddin juga mengajak perwakilan Umno bahagian Bakri berikrar bekerja keras untuk merampas semula kerusi Parlimen Bakri, Dewan-dewan Undangan Negeri Sungai Abong dan Bentayan yang jatuh kepada pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.