Tiga Calon Kemukakan Borang Pencalonan.

Tiga calon telah mengemukakan borang pencalonan masing-masing untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini.

Mereka yang telah mengemukakan borang sehingga sesi penyerahan borang penamaan selesai pada 10 pagi ini di Stadium Negeri di sini ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam.


Wan Ahmad Farid yang merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri ialah calon pertama yang tiba di pusat penamaan calon itu sebaik sahaja ia dibuka pada 9 pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai kira-kira 15,000 penyokong BN ke pusat penamaan calon berkenaan.

Pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S.Subramaniam.

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam selama lima penggal sejak 1990, tiba di pusat penamaan calon pada 9.10 pagi.

Beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Harun Alias Ab Rahman Mohamad, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.20 pagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyerahkan borang penamaan calon.

Azharudin pula tiba di pusat penamaan itu pada pukul 9.27 pagi.

Menurut polis yang berada di lokasi, calon Barisan Nasional dan PAS diiringi oleh kira-kira 15,000 penyokong masing-masing ke pusat penamaan calon.

Sehingga kini, tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan.

Para penyokong parti politik mulai memenuhi lokasi berhampiran pusat penamaan calon sejak awal pagi tadi.

Beberapa jalan berhampiran Stadium Negeri ditutup dan dikawal polis sejak awal pagi ini bagi mengawal pergerakan kenderaan ke pusat penamaan calon itu.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum lepas, Razali menang kerusi itu dengan majoriti 628 undi.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen itu ialah seramai 80,229 orang.

Hari pengundian pula ditetapkan pada 17 Jan ini.

Cuaca di sekitar Kuala Terengganu dilaporkan baik.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.