Hukuman: Keluarga Kartika serah kepada pihak berkuasa





Oleh G. Manimaran



PETALING JAYA, Dis 29 — Keluarga Kartika Sari Dewi Shukarnor, model sambilan yang dijatuhi hukuman denda dan sebatan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang tahun lalu menyerahkan kepada pihak berkuasa dalam menentukan tarikh untuk melaksanakan hukuman.



Bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya belum menerima apa-apa makluman daripada pihak berkuasa sehingga kini.



“Belum ada apa-apa (perkembangan)... saya tidak tahu apa-apa perkembangan, kami pun belum dihubungi lagi (pihak berkuasa),” kata beliau ketika dihubungi di Kuala Kangsar hari ini.



“Kami juga sudah melantik peguam, kita tunggu dulu perkembangan daripada pihak berkuasa,” katanya.



Hukuman sebat ke atas Kartika sepatutnya dilaksanakan di Penjara Kajang tetapi ditangguhkan setelah mendapat arahan Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Rahman Yunus demi menghormati bulan Ramadan Ogos-Sept lalu.



Pada Sept lalu Kartika (picture) memberitahu bahawa beliau reda dengan hukuman yang dikenakan itu dan memohon ia dilaksanakan secepat mungkin.



Kartika juga telah melantik peguam sivil dan syarie dari firma guaman Tetuan Adham & Associate bagi menjaga kepentingan beliau dan keluarganya.



Ahad lalu, Kartika telah mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan di Kota Baru.



Kartika dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.



Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus itu mengikut Seksyen Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.



Pada 24 Ogos lepas, penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika dikeluarkan di Kuantan oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadan.



Biarpun ada pihak mempertikaikan hukuman tersebut, Kartika pula pasrah dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah.



Mengulas lanjut keadaan Kartika, Shukarnor memberitahu, keadaan anak perempuannya macam biasa sahaja.



“Dia Ok... sekarang beliau terlibat dalam kerja-kerja amal,” katanya.



Mengenai rayuan ke atas hukuman pula, Shukarnor memberitahu pihaknya juga akur dengan apa jua keputusan pihak berkuasa.



“Jika pihak berkuasa agama hendak membuat rayuan, membuka semula kes... kami terbuka... Perdana Menteri pun ada sebut pekara tetapi ini kuasa negeri (Pahang), kita tengok apa gayanya... kita akan fikir kemudian.



“Kami menyerahkan kepada mereka (pihak berkuasa). Kami tidak akan meminta, kami tidak akan merayu,” katanya.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.