Najib tolak syor suruhanjaya siasat Dr M bazir RM100b

KOTA KINABALU, Dis 29 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata suruhanjaya diraja tidak perlu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan seorang penulis Barat kononnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membazirkan RM100 bilion.



“Ada saja saranan ditubuhkan suruhanjaya diraja... tetapi dalam hal ini, tak wajar dicadangkan suruhanjaya diraja ditubuhkan semata-mata kerana ada orang menulis sebuah buku.



“Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan. Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar.



“Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-14 di sini hari ini.



Najib yang juga Menteri Kewangan ditanya cadangan penubuhan suruhanjaya itu yang dibuat oleh penasihat DAP Lim Kit Siang bagi menyiasat dakwaan berkenaan.



Buku “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times” tulisan Barry Wain baru-baru ini menghangatkan polemik dengan dua personaliti, Dr Mahathir dan Lim masing-masing berbalas kenyataan menerusi blog masing-masing hari ini.



Dr Mahathir mahu kerajaan memberi kerjasama dengan menubuhkan suruhanjaya diraja dengan membuka “semua buku” yang berkaitan.



“Saya mempunyai hak untuk membersihkan nama saya. Tun Abdullah (Ahmad Badawi) juga mempunyai hak untuk membersihkan nama beliau. Kerajaan seharusnya bekerjasama dan membuka semua buku (dokumen).



“Tidak harus ada sebarang langkah menutup (kes). Kerajaan telah menyatakan komitmen untuk amalkan ketelusan. Ia harus bertindak untuk menunaikan janji-janjinya,” kata bekas presiden Umno itu dalam tulisan blognya.



Dr Mahathir menafikan jumlah kerugian akibat kes-kes yang disenaraikan oleh Wain dalam bukunya boleh mencecah RM100 bilion.



“Kesemuanya sekali, saya ingat jumlah kerugian jika dijumlahkan kemungkinan mencecah RM10 bilion. Jika kita rugi RM100 bilion, kerajaan sudah tentu berada dalam masalah yang teruk.



“Walaupun kita pernah alami pertumbuhan buruk dalam beberapa tahun tetapi kerajaan tidak pernah gagal untuk memenuhi komitmen kewangan termasuk membayar balik pinjaman.



“Sebaliknya kita telah memiliki wang secukupnya untuk membayar balik hutang. Projek-projek (yang dijalankan semasa era Dr Mahathir) sudah tentu menelan banyak wang,” kata beliau merujuk kepada antaranya jambatan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang, Putrajaya, Cyberjaya dan Menara Berkembar Petronas.



Lim pula memberitahu oleh kerana Dr Mahathir mengatakan bahawa beliau ada hak untuk menyamannya termasuk Wain dan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu wajarnya mengambil tindakan undang-undang ke atasnya sekarang.



“Mengapa tidak Mahathir menyaman saya sekarang jika saya telah memfitnah beliau,” kata beliau merujuk kepada kenyataan Dr. Mahathir bahawa jika suruhanjaya diraja ditubuhkan nanti mendapati dakwaan Wain tidak benar, beliau akan mengambil tindakan perundangan.



Dalam pada itu, Najib berkata cadangan supaya sistem keahlian terus diamalkan oleh Barisan Nasional perlu dibincang oleh semua komponen dan dikaji terlebih dahulu.



Mengulas saranan yang dibuat oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Perdana Menteri berkata beliau akan berunding dengan rakan-rakan komponen BN sebelum membuat apa-apa keputusan.



“Ini bukan perkara baru, (ia) sudah disebut-sebut sebelum ini, pernah kita bincang tapi kita belum buat satu keputusan secara rasmi.



“Biarlah saya berunding dengan parti-parti komponen BN di peringkat Dewan Tertinggi terlebih dahulu. Kita kaji pro dan kontranya, buruk baiknya dan juga



kaedahnya sekiranya kita nak buat. Ini semua kita mesti fikir terlebih dahulu, kalau tidak, timbul masalah lain pula,” katanya.

(ulasan;ketua lujnah penerangan dppns-Kesimpulan tentang isu tersebut membuktikan najib takut kepada tun mahathir sebab dua-dua sama saja .Masing-masing ada rahsia ketidakadilan  terhadap rakyat yang belum diborkar seluas-luas kecuali rakyat bersedia tukar kerajaan umno bn kepada pakatan rakyat...)

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.