Kerusi Melayu/Melanau cabaran besar buat Pakatan Rakyat di Sarawak - Peguam


Wednesday, 10 March 2010 3:22 PM Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Pengerusi (Majlis Pimpinan Negeri) PKR di Sarawak, Baru Bian yang juga seorang peguam mengakui kerusi Dun bagi kawasan majoriti masyarakat Melayu dan Melanau di negeri itu antara cabaran besar yang perlu dihadapi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya negeri akan datang.
Namun, pihaknya bersama komponen PR yang lain tidak akan mengaku kalah sebelum berjuang bagi memastikan Sarawak berjaya di tawan dalam pilihan raya negeri akan datang.
Ikuti temubual erapakatan.com berhubung persiapan dan harapan parti itu menjelang pilihanraya negeri akan datang.
Erapakatan.com : Apa kebaikannya yang rakyat Sarawak perolehi jika PR diberi peluang memerintah Sarawak.
Baru Bian : Terdapat dua perkara penting yang kita tuntut bagi Sabah dan Sarawak dan perkara ini telah saya tegaskan semasa berucap di Konvensyen pertama Pakatan Rakyat (PR) di Shah Alam (19 Disember lalu) iaitu berkaitan dengan Semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan yang ke dua ialah berkaitan hak yang lebih adil diberikan kepada negeri Sarawak dan saya amat bersetuju dengan dasar PR yang menawarkan 20 peratus daripada pendapatan Petroleum di berikan kepada Sarawak dan juga Sabah.
Selain itu, kita juga menuntut agar kerajaan persekutuan memberikan peluang yang adil kepada penduduk Sarawak untuk menyandang jawatan penting dalam dalam agensi kerajaan. Apabila kita menuntut, bukan kita tidak mahu orang semenanjung (memegang jawatan itu), tetapi lebih kepada memberi peluang yang sama adil dan rata kepada penduduk Sarawak yang berkelayakan.
Sehingga kini saya tidak faham mengapa kerajaan negeri gagal melakukannya sedangkan Sarawak juga adalah salah sebuah negeri yang bergabung dalam Malaysia. Dalam hal ini termasuklah penjawat awam di pihak keselamatan seperti askar dan polis.
Erapakatan.com : Sejauhmana isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masih relevan di Sarawak kerana pemimpin BN mendakwa isu itu walaupun dimainkan dalam pilihanraya kecil (PRK) Dun Batang Air, tetapi PR masih tidak menang.
Baru Bian : Kita telah melakukan tinjauan dan mendapati isu ini sentiasa panas kerana ia melibatkan hampir semua kaum di negeri ini dengan sebahagian besarnya masyarakat Dayak.
Berhubung dakwaan BN bahawa ia tidak relevan seperti yang berlaku di Batang Air, ia sesuatu yang berbeza kerana melibatkan banyak faktor dan antaranya ialah maklumat kita ada yang tidak sampai kepada pengundi selain kedudukan kawasan itu juga menyukarkan pergerakan kita menerangkan kepada rakyat sepanjang tempoh kempen.
Selain itu, pada masa yang sama jentera PR di seluruh negara terpecah tiga manakala seluruh jentera BN Sarawak berkampung di Batang Air dan semasa konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam yang lalu juga dasar PR dengan jelas menyatakan bahawa kita akan menjamin hak Tanah Adat Orang Asal yang seharusnya tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak termasuklah kerajaan BN dan beberapa syarikat kroni mereka yang merompak tanah rakyat kononnya atas nama pembangunan.
Erapakatan.com : Pemimpin BN  mendakwa tanah itu di ambil untuk membangunkan negeri Sarawak yang luas itu.
Baru Bian : Mengarut! Mereka mengambil tanah rakyat bukan untuk pembangunan rakyat tetapi untuk syarikat kroni mereka sahaja dan perkara ini telah lama berlarutan sebab itu pemimpin BN ini layak digelar ‘perompak’ yang merompak tanah rakyat untuk kepentingan peribadi mereka dan kroni mereka.
Sehingga kini, masih terlalu banyak isu berkaitan NCR yang masih tertunggak dan gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri di bawah cengkaman BN.
Erapakatan.com : Beberapa hari sebelum sambutan Hari Wanita di Sarawak Disember tahun lalu, Polis telah mengishtiharkan bahawa kes rogol berkaitan kaum Penan telah selesai selain mendakwa antara sebab kes itu lambat di selesaikan kerana ahli politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tidak memberikan kerjasama.
Baru Bian : Saya cabar mereka buktikan bagaimana kes itu dikatakan sudah selesai dan kita bagi peringkat PKR sendiri telah menubuhkan jawatankuasa khas mengenainya dan pengishtiharan itu mungkin mempunyai agenda tertentu.
Setakat ini, kes itu masih lagi berjalan dan kita akan terus mendesak agar kes ini segera diselesaikan kerana perjuangan kita adalah perjuangan rakyat dan bukan seperti BN yang takut sehingga sanggup memangsakan rakyat sendiri demi menjaga golongan atasan tertentu.
Perlu diingat, Wadesa sendiri, meragui tindakan Polis dan kerajaan negeri yang bersubahat menutup isu itu secara tiba-tiba.
(Wadesa ialah Persatuan Wanita Desa Sarawak, iaitu salah sebuah NGO yang berpusat di Sarawak yang memperjuangkan hak-hak wanita di negeri itu-erapakatan.com)
Erapakatan.com : Bagaimana persediaan PR di Sarawak setakat ini bagi menghadapi pilihanraya negeri.
Baru Bian : Kita sudah lama bersedia dan sentiasa bersedia kerana pertempuran melawan BN bukan semata-mata atas nama politik tetapi lebih kepada menyelamatkan rakyat daripada cengkaman BN.
Bagi PKR sendiri kita konsisten untuk memperkasakan organisasi diperingkat Cabang dan Ranting selain memperkemaskan jentera penerangan parti serta mengaktifkan pejabat di setiap peringkat agar sensitif dan rajin mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
Saya sendiri akan terus menjelajah ke seluruh negara dengan langkah permulaan di Johor yang memiliki kira-kira 60,000 penduduk Sarawak yang menetap dan bekerja di sana.
Langkah ini bagi memastikan mereka mendapat penerangan yang jelas dan secara dekat seterusnya kita mengharapkan mereka pulang ke Sarawak untuk mengundi dalam pilihanraya negeri kelak.
Dari aspek pembahagian kerusi, secara asasnya kita mengambil kira tiga faktor berikut dan ini merupakan hasil perbincangan yang dipersetui bersama komponen PR di Sarawak sebelum ini. Pertama ialah kita akan mengekalkan kedudukan kerusi yang telah dipertandingkan pada pilihanraya negeri tahun 2006.
Ke dua, Perletakan seseorang calon bagi mana-mana kerusi bergantung pada sokongan rakyat di kawasan itu. Maksudnya di sini, sokongan terhadap calon itu berpandukan pengaruhnya di peringkat akar umbi dan ke tiga, kita bertekad memastikan pertandingan menentang BN  secara satu lawan satu dan ini adalah perkara yang begitu jelas yang kita telah putuskan bagi peringkat PR Sarawak.
Erapakatan.com : Kedudukan kerusi bagi majoriti pengundi Cina, dan masyarakat Dayak nampaknya memberi petunjuk meyakinkan untuk di tawan, bagaimana pula dengan kerusi bagi majoriti Melayu/Melanau?
Baru Bian : Ya, isu tanah, kemudahan prasarana, kes rogol kaum Penan, terus memeningkan BN dan ini meyakinkan kita untuk menawan kerusi luar bandar yang merupakan majoriti di Sarawak. Begitu juga dengan kerusi majoriti masyarakat Cina yang sehingga kini belum pulih dan terus menyokong Pakatan Rakyat.
Secara asasnya, kita akui cabaran untuk menawan kerusi Melayu/Malanau ini, namun kita tidak akan mengaku kalah sebelum berperang.
Kita menetapkan sekurang-kurangnya antara 7-10 kerusi itu kita mampu tawan selain mengharapkan komponen PR yang lain turut memenangi kerusi Dun yang akan mereka tandingi.
Erapakatan.com : Harapan saudara kepada seluruh pengundi di Sarawak
Baru Bian : Kita di Pakatan Rakyat menawarkan kerajaan Alternatif yang lebih baik kepada penduduk Sarawak dan menjanjikan Sarawak Baru, pemerintahan yang berintegriti, calon-calon yang bersih dan kita berharap rakyat Sarawak memberikan kita peluang sepenggal untuk membuktikan janji ini. Visi rakyat ialah visi kami. Terima Kasih.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.