PCM talibarut BN?

Oleh Masdar Wahid






KUALA LUMPUR : Ramai yang tidak hairan jika parti baru dan kecil, iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) merupakan parti yang cenderung, pro dan menyokong BN walaupun tidak secara terang-terangan.



Namun, apabila pemimpin parti itu sendiri yang menyatakannya dan aliran ideologinya jelas menyokong perjuangan BN, maka tidak hairanlah penyertaan PCM dalam mana-mana pilihan raya kali ini bertujuan untuk mensabotaj dan memecahkan undi calon-calon Pakatan Rakyat (PR) termasuklah dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.



Terbaru, Calon PCM untuk kerusi Bekenu pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang, Juliana Tambi mengakui parti itu berteraskan 1Malaysia dan bersedia untuk turun padang sebagai mana yang dihasratkan oleh Pengerusi BN, Najib Razak.



"PCM adalah parti berteraskan semangat 1Malaysia yang memperjuangkan kepentingan rakyat di Sarawak yang masih jauh ketinggalan berbanding mana-mana negeri lain.



"PCM turut menerima cabaran Perdana Menteri, Najib Razak untuk turun padang dan bekerjasama dengan rakyat sebagai satu keutamaan," katanya di Miri semalam.



Sesetengah pihak berkata, walaupun Juliana mengakui negeri Sarawak jauh ketinggalan berbanding negeri lain, namun PCM enggan pula mengakui semua itu berpunca daripada kegagalan BN yang memerintah Sarawak berpuluh-puluh tahun dan tiada dasar yang jelas untuk menguruskan negeri itu.



Berbanding BN, PR secara jelas melalui Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada 19 Disember lalu melakarkan komitmennya untuk membangunkan negara ini termasuk Sarawak seperti pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus untuk negeri itu.



Turut menjadi dasar PR pada tarikh keramat itu ialah menjamin Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli di Sarawak dan menghentikan serta-merta penindasan ke atas rakyat khasnya di kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.



Untuk rekod, sehingga kini dua perkara utama yang gagal diselesaikan oleh BN di negeri itu ialah jenayah seksual terhadap kaum Penan dan rampasan Tanah.



Malah Pengerusi PKR Sarawak yang juga seorang peguam turut mendedahkan ratusan kes mengenai pengambilan tanah rakyat sehingga kini kekal tertunggak di negeri itu hanya kerana isu itu ada kaitan dengan kroni-kroni BN.



Maka sesuatu yang tidak mengejutkan berhubung kenyataan Pengerusi PCM Sarawak yang sebelum ini pernah melompat parti, Gabriel Adit yang mahukan PCM bertanding 30 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang yang kebanyakannya di luar bandar.



BN sendiri mengakui kerusi-kerusi luar bandar hampir keseluruhannya adalah kerusi panas sehingga salah seorang pemimpinnya mengakui tiada satu pun daripadanya yang boleh dianggap selamat.



Maka, tidak hairanlah penyertaan PCM di kebanyakan kerusi luar bandar bukan untuk bertanding semata-mata, tetapi bertujuan memecahkan undi calon-calon PR seterusnya membantu memenangkan BN.



Jika PCM gagal sekali pun dalam pilihan raya akan datang, parti itu boleh menyertai BN, sebagaimana yang dicadangkan Najib.



Najib yang kian terdesak meraih sokongan rakyat antara lain mencadangkan akan mengiktiraf mana-mana parti yang cenderung untuk menyokong BN.



Dalam perkembangan lain, Gabriel Adit sendiri mengakui menerima jemputan Najib sebaik penyertaannya ke PCM Januari lalu.



Untuk rekod, PCM ditubuhkan di Pulau Pinang yang kebanyakannya bekas pemimpin parti Gerakan dan parti itu turut dikaitkan dengan kegiatan memancing beberapa wakil rakyat PR untuk melompat parti beberapa minggu lalu.



Pilihan raya Sarawak pula dijangka diadakan dalam tempoh terdekat dan SPR telah mengesahkan pihaknya telah pun menemui Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud berhubung tarikh pilihan raya di negeri itu, sebelum ini.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.