SEPAKAT Sabah dan Sarawak buat laporan polis

Oleh Masdar Wahid (Emel penulis ini)




KUALA LUMPUR : Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat (SEPAKAT) di Sabah dan Sarawak membuat laporan polis berhubung penglibatan syarikat pro Israel-Zionis, APCO Worldwide dan Asia Soft Sdn Bhd dengan kerajaan Malaysia yang ditunjangi Umno-Barisan Nasional.



Di bumi kenyalang, laporan polis di buat di Balai Polis Kuching yang diketuai oleh Ketua SEPAKAT yang juga Ketua Pemuda PAS negeri Sarawak, Abang Eddy Ilyani Abang Fauzi bersama pimpinan SEPAKAT dari komponen Pakatan Rakyat iaitu DAPSY, Pemuda SNAP dan Angakatn Muda (AMK) PKR negeri Sarawak.



Manakala di Sabah di ketuai oleh Abdul Razak Jamil yang juga Ketua AMK PKR negeri Sabah, DAPSY Sabah dan Pemuda PAS negeri Sabah yang diterajui oleh Lahirul Latigu.



Laporan polis oleh SEPAKAT negeri Sabah dan Sarawak itu merupakan rentetan kepada laporan polis yang turut di buat di seluruh Malaysia oleh semua pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Malaysia.



Razak berkata, Kerajaan Malaysia membelanjakan kira-kira RM23 juta duit rakyat untuk membayar upah bagi membina ‘Strategi komunikasi’ dan ‘Imej Negara’.



Menurutnya, penglibatan beberapa individu dalam Ahli Lembaga Pengarah APCO amat merisaukan termasuklah Shimon Stein (bekas Duta kepada Jerman), Itamar Rabinovich (bekas duta kepada Amerika Syarikat) dan Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua keselamatan Agensi Keselamatan Israel (Israeli Security Agency, ISA) yang lebih dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet.



“Jawatan ini adalah bersamaan dengan pangkat Mejar Jeneral dalam tentera Israel.



"Mengapakah sebuah syarikat dengan kaitan cukup akrab dengan elemen-elemen Zionis dan dipimpin oleh individu yang terlibat dengan organisasi yang terkenal kerana menyeksa orang Palestin diberi peluang membentuk dasar-dasar sensitif Malaysia,” soal beliau.



Razak memberitahu, dengan mengupah APCO, pengaruh Zionis, secara langsung mempengaruhi tindakan kerajaan sekaligus mengheret keselamatan negara dalam genggaman Zionis yang terkenal sebagai penyembelih kepada rakyat Palestin.



Beliau turut mempersoalkan apakah Kerajaan Malaysia tidak bimbang jika Ketua Kewangan ASERO, Denise Teeling, yang bekerja untuk bekas pegawai Shin Bet, terlibat secara terus dengan operasi APCO di Malaysia?



Mengulas isu sama, Ketua SEPAKAT negeri Sarawak, Abang Eddy Ilyani Abang Fauzi berkata, Selain daripada Israel dan Amerika Syarikat, kepada pengaruh siapakah Malaysia kini dibukakan?



Menurut Abang Eddy, di antara pemimpin ASERO satu-satunya individu yang bukan warganegara Amerika, UK atau Israel adalah Kelvin Tan Wee Peng, seorang bekas polis Singapura.



Beliau menambah, apakah Presiden Umno, Najib Razak sanggup menggadaikan masa depan dan kedaulatan negara demi mencapai cita-cita politiknya?



APCO, kata beliau tidak hanya terlibat dengan aktiviti Zionis dan pencabulan hak asasi malah turut terlibat dengan gerakan anti-Islam.



“Manakala Jonathan Winer pula merupakan Naib Presiden APCO di Washington DC. Pada 2003, Winer memberi keterangan di Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat di mana dia menuduh gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) serta beberapa badan kebajikan Islam sebagai pengganas dan berusaha untuk menghentikan segala aktiviti kewangan badan-badan ini.



"Marc Ginsberg pula, ahli lembaga APCO dan bekas duta Amerika Syarikat, memanggil tokoh pemikir Islam Sayyid Qutb (inspirasi kepada Ikhwan Muslimin dan penulis karya Ma'alim fil Tariq dan Fi Zilal al-Qur'an) seorang ‘musuh’ dan membandingkan beliau dengan Adolf Hitler.



"Siapa sebenarnya di merata dunia yang sanggup mengupah syarikat yang dipimpin oleh mereka yang berusaha menentang Islam dan menyemai kebencian,” soal beliau.



Abang Eddy menjelaskan, klien-klien dan bekas klien APCO seperti Jeneral Sani Abacha, yang mencuri hampir RM10 billion duit rakyatnya semasa menjadi presiden Nigeria.



“Jeneral Abacha amat dikenali kerana pencabulan hak asasi manusia yang cukup parah, termasuk penahanan dan pembunuhan aktivis-aktivis.



"Nursultan Nazarbayev, diktator Kazakhstan yang didakwa bersama keluarganya terlibat dalam rasuah yang cukup besar serta beberapa pembunuhan juga merupkan seorang klien APCO.



Di antara strategi APCO adalah untuk ‘membeli’ beberapa laporan dari institusi pengajian tinggi untuk mengharumkan nama Kazakhstan di Barat,” tambahnya.



Sehubungan itu, beliau menegaskan, sekiranya Najib masih berdegil dengan mengekalkan kontrak APCO ini, maka keselamatan negara akan tergadai ke tangan Zionis selain kedaulatan maruah negara tercinta ini akan tercalar.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.