Wakil Rakyat BN jahil undang-undang?


Monday, 29 March 2010 10:25 AM Oleh Masdar Wahid (Emel penulis ini)
KUALA LUMPUR : Isu tanah di Sarawak sehingga kini gagal diselesaikan oleh kerajaan BN sehingga beberapa wakil rakyatnya termasuklah mereka yang memegang jawatan menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan yang merayu dan menipu rakyat di negeri itu bagi memastikan rakyat tidak mengundi pembangkang menjelang pilihanraya negeri akan datang.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemena merangkap Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Stephen Rundi mengancam pemilik tanah agar jangan menggunakan pembangkang atau melepaskan geram melalui penulis blog dan media siber untuk memperjuangkan “hak” mereka.
Adun BN itu menyalahkan pemilik tanah atau mereka yang mewarisi dan menduduki tanah kerana tidak dapat membezakan di antara tanah hak adat bumiputera, NCR dan tanah temuda.
“Ingin saya maklumkan bahawa tanah NCR ialah tanah yang diwarisi turun menurun sebelum 1958 manakala tanah temuda ialah tanah yang diduduki selepas tahun tersebut (1958)”, kata Stephen Rundi.
Mengulas isu itu, Pengarah Eksekutif Brimas Borneo Resources Institut Malaysia, Mark Bujang, berkata, Adun Bn itu sendiri gagal memahami maksud dan konsep sebenar NCR menurut undang-undang dan juga dari segi adat masyarakat Iban.
Menurut Mark Bujang, NCR adalah kata singkatan untuk Native Customary Rights di dalam Bahasa Inggeris dan jika diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia NCR bermaksud Hak Adat Orang Asal.
Mark menjelaskan, Hak Adat Orang Asal ke atas tanah wujud apabila seseorang atau sesebuah masyarakat Orang Asal meneroka sesuatu kawasan hutan untuk tujuan membuat rumah atau tempat kediaman, bercucuk tanam, memburu, menangkap ikan, mencari hasil-hasil hutan, membina tapak perkuburan, menggunakan kawasan tersebut sebagai laluan perjalanan dan sebagainya untuk menyara kehidupan mereka.
Beliau turut memberitahu, Tanah Adat Orang Asal atau Native Customary Land bermaksud seseorang atau sesebuah masyarakat Orang Asal telah mendapatkan hak NCR ke atas tanah melalui amalan adat seperti apa yang disenaraikan di atas.

“Bagi masyarakat Iban, tanah adat berkait rapat dengan amalan pertanian dan kepercayaan tradisi mereka.
Masyarakat Iban tinggal di dalam wilayah tanah adatnya atau dikenali sebagai pemakai menoa di dalam Bahasa Iban.
Lokasi pemakai menoa amat penting untuk masyarakat Iban kerana ia merupakan punca sumber-sumber asli seperti tanah yang subur untuk pertanian, air, ikan dan hidupan air, binatang liar dan hasil-hasil hutan, katanya.
Beliau menambah, beberapa kumpulan keluarga akan berkumpul untuk membina sebuah rumah panjang untuk hidup di kawasan pemakai menoa tersebut di mana kawasan pemakai menoa tersebut mempunyai sempadan atau dikenali sebagai garis menoa dengan komuniti yang lain.
Sebelum pemakai menoa diwujudkan, masyarakat Iban akan meraikan sebuah upacara panggol menoa, iaitu upacara yang menandakan bahawa penebasan pertama hutan dara telah dilakukan dan kawasan tersebut boleh didiami dan diusahakan untuk pertanian.
“Dari masa ke semasa bilangan penduduk di rumah panjang tersebut akan bertambah, maka rumah panjang tersebut akan dipanjangkan untuk menampung ahli-ahli keluarga baru atau jika rumah tersebut sudah uzur maka komuniti tersebut akan berpindah ke sebuah kawasan baru dan membina rumah panjang baru yang masih di dalam sempadan kawasan pemakai menoa mereka. Kawasan rumah panjang lama pula dikenali sebagai tembawai.
Pemakai menoa termasuk tanah temuda (tanah pertanian), tembawai (kawasan penempatan lama), pendam (tapak perkuburan) dan pulau (kawasan hutan di mana hasil-hasil hutan diperolehi).
Garis menoa adalah sempadan yang menentukan kawasan pemakai menoa sesuatu komuniti dengan komuniti yang lain.
Garis temuda pula adalah sempadan di antara temuda seseorang dengan temuda orang yang lain. Sempadan-sempadan tesebut selalunya ditentukan mengikut ciri-ciri bentuk mukabumi seperti gunung, rabung, sungai, batu ataupun tanda yang lain seperti pokok tapang dan rumpun bulu,” ujarnya.
Beliau turut menerangkan bahawa jika kita lihat dari sudut undang-undang pula (dari Kanun Tanah Sarawak 1958), tanah adat diberi maksud sebagai:
(1) tanah di mana hak NCR ‘telah diwujudkan secara komunal atau sebaliknya, mengikut undang-undang sebelum 1hb Januari 1958, dan masih lagi sah diperlakukan’,
(2) tanah di dalam rizab di bawah seksyen 6, atau
(3) tanah Interior Area Land di mana hak NCR ‘telah diwujudkan mengikut undang-undang melalui permit di bawah seksyen 10’.
Selepas 1hb Januari 1958 pula hak NCR masih lagi boleh diwujudkan:
(1) jika masyarakat Orang Asal masih lagi tinggal ataupun masih menjadi ahli masyarakatnya yang tinggal di dalam kawasan pemakai menoa mereka,
(2) jika masyarakat Orang Asal mendiami kawasan tanah tersebut dengan menebang hutan dara, menanam pokok buah-buahan, bercucuk tanam, membina tapak perkuburan atau tempat keramat, mendapatkan hak laluan ke atas mana-mana kelas tanah dan apa-apa cara mengikut undang-undang seperti yang termaktub di seksyen 5(2) Kanun Tanah Sarawak 1958,
(3) mendapatkan permit mengikut seksyen 10 Kanun Tanah Sarawak 1958.
Beberapa keputusan Mahkamah juga menegaskan konsep NCR ini menurut adat resam masyarakat Orang Asal.
Sehubungan Mark menyeru Adun Bn itu membaca keputusan kes Mahkamah Tinggi Nor Anak Nyawai dan yang lain lawan Borneo Pulp Plantation Sdn. Bhd., kes rayuan di Mahkamah Persekutuan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri dan Kerajaan Negeri Sarawak lawan Madeli bin Salleh dan baru-baru ini dua kes Mahkamah Tinggi yang telah diputuskan iaitu kes Agi Anak Bungkong dan yang lain lawan Ladang Sawit Bintulu Sdn. Bhd. dan Mohd Rambli Kawi lawan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching.
“Kami juga mengesyorkan agar Dr. Stephen Rundi merujuk juga kepada laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bertajuk Legal Perspectives on Native Customary Land Rights in Sarawak.
Kami berharap selepas membaca sumber-sumber rujukan tersebut, Dr. Stephen Rundi tidak lagi membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan beliau sendiri mempunyai perspective yang lebih luas mengenai maksud NCR dan konsepnya mengikut adat dan undang-undang sedia ada di Sarawak,” jelas Mark Bujang lagi dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.