MARADONA (kanan) belum membuat keputusan mengenai kesebelasan pemain utamanya pada Piala Dunia 2010.
--------------------------------------------------------------------------------
PRETORIA – Jurulatih Argentina, Diego Maradona masih belum membuat keputusan mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Gergasi Amerika Selatan itu yang telah tiba di Afrika Selatan Sabtu lalu, diundi dalam Kumpulan B dan bakal memulakan aksi pada kempen kali ini menentang Nigeria pada 12 Jun.
“Keputusan mengenai siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama tidak perlu dibuat secara terburu-buru.
“Apa yang lebih penting adalah kami melakukan kerja masing-masing dan dengan itu saya percaya Argentina bakal tampil dengan barisan terkuat bagi menghadapi perlawanan pertama serta seterusnya.
“Saya dapat lihat pemain-pemain semua sentiasa memberikan tumpuan sepenuhnya ketika sesi latihan dan diharapkan Argentina dapat mengharungi Piala Dunia kali ini dengan jayanya,” jelas Maradona.
Maradona turut menambah, skuad bimbingannya itu kini berada dalam prestasi terbaik dan kesemua pemain sudah tidak sabar untuk turun beraksi.
Ketika ditanya adakah dia tidak bimbang selepas Argentina dikatakan tidak mengatur sebarang perlawanan persahabatan menjelang kempen Piala Dunia, Maradona berkata: “Saya tidak bimbang.
“Saya yakin latihan yang kami lakukan sudah mampu untuk mencapai tahap seperti kami beraksi dalam perlawanan persahabatan yang mana risiko untuk pemain-pemain mengalami masalah kecederaan tinggi.
“Pemain-pemain muda yang disenaraikan telah mempamerkan kualiti sebenar mereka manakala tonggak berpengalaman pula berada pada prestasi terbaik mereka.
“Saya percaya Argentina pastinya akan mencapai satu tahap di mana pasukan-pasukan lain perlu berfikir panjang untuk berdepan dengan kami,” kata Maradona. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan