MenGALAS Perjuangan yang Masih Jauh


http://episodeperjuangan.blogspot.com

1. Keputusan pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi sedikit sebanyak membuatkan kita sedih apabila keputusannya tidak berpihak kepada kita [ Pakatan Rakyat ] di saat kita sangat dambakan kemenangan ke atas Barisan Nasional .

2. Namun kita tidak boleh berputus asa , jauh sekali untuk kecewa dengan perjuangan yang kita dokong setelah kita yakin bahawa perjuangan ini adalah benar dan suci . Justeru keputusan pilihanraya yang tidak berpihak kepada kita bukan bererti kita kalah atau menyerah kalah.

3. Sebaliknya kekalahan kita dalam pilihanraya kecil baru - baru ini membangkitkan kembali semangat untuk terus berjuang dengan memperbaiki segala kelemahan dan membetulkan segala kesilapan .

4. Sewajarnya kita bersikap positif dan senantiasa optimis terhadap masa depan perjuangan Islam yang kita dokong ini. Tanpa perlu kita saling tuding menuding atau salah menyalah antara satu sama lain , sebaliknya kenal pasti kelemahan dan kekurangan yang perlu diperkasa dan diberi nilai tambah untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang .

5. Kita selamanya tidak boleh bergantung kepada kelemahan musuh untuk mencipta kemenangan bahkan kita mesti miliki keupayaan sendiri untuk melakar peta kemenangan dan tentunya kita mempunyai keistemewaan tersendiri sebagai sebuah Gerakan Islam untuk mencapai matlamat perjuangan ini.

6. Tanpa memandang rendah pada tahap kekuatan dan kemampuan Barisan Nasional , kita jangan hanya menuding punca kekalahan dalam pilihanraya kepada mereka , kerana sifat mereka sebagai musuh politik kita , pastinya mereka akan melakukan apa sahaja demi mencapai kemenangan .

7. Persoalannya kenapa kita boleh dikalahkan oleh mereka sedang mereka juga boleh dikalahkan oleh kita. Sebagai contoh , pasca pilihanraya umum yang lalu [ 2008 ] , kita telah melalui 13 kali pilihanraya kecil dan kita Pakatan Rakyat memenangi 8 daripadanya iaitu Permatang Pauh , Penanti , Permatang Pasir , Bukit Gantang , Bukit Selambau , Kuala Terengganu , Manek Urai dan Sibu . Sementara Barisan Nasional menang 5 kerusi iaitu di Batang Ai , Bagan Pinang , Hulu Selangor , Batu Sapi dan Galas .

8. Senario pilihanraya kecil ini menyaksikan masing - masing parti mempertahankan kerusi yang telah di menangi masing - masing dalam pilihanraya umum kecuali kerusi Hulu Selangor dan Galas berjaya dirampas oleh Barisan Nasional sementara kerusi Kuala Terengganu dan Sibu berjaya dirampas oleh Pakatan Rakyat .

9. Realiti ini menunjukkan kedua - kedua parti tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan yang dicapai apalagi untuk angkuh dan congkak dengan sokongan yang diperolehi , kerana politik moden hari ini jelas menunjukkan bahawa , sesebuah parti kini boleh menang dan boleh kalah dengan mudah . Bukan sahaja kerusi tetapi juga kerajaan . Buat masa ini secara realitinya telah ada 5 buah negeri yang mengalami pertukaran kerajaan malah kerajaan persekutuan juga hampir bertukar tangan apabila kini telah hilang majoriti dua pertiga . Termasuklah kerusi - kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan yang majoritinya beralih tangan kepada Pakatan Rakyat .

10. Ini adalah fakta yang mesti diinsafi oleh semua termasuk kita , walaupun kita telah berjaya mengekalkan kerajaan di Kelantan selama 20 tahun . Tempoh yang dipertahankan ini bukan untuk dibangga jauh sekali untuk berasa angkuh dan sombong , tetapi ianya diraikan untuk menimbulkan rasa syukur dan insaf betapa besarnya amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul sebagaimana ia dirasai pada hari pertama kita mengambil alih pemerintahan di Kelantan pada 1990 yang lalu.

11. Kita kalah di Galas dan Batu Sapi saat kita sedang siap menghadapi pilihanraya Sarawak dan juga pilihanraya umum kelak . Saya kira tidak perlu kita ratapi kekalahan yang diterima kerana ia tidak mungkin lagi merubah keputusan , sebaliknya fokus kepada persiapan strategik untuk memenangi pilihanraya umum ke 13 . Post Mortem yang teliti , benar dan jujur mesti dibentang untuk memastikan pergerakkan kita dihari esok berjalan lancar sebagaimana dirancang .

12. Usah kita berasa malu dan hina untuk mengakui kelemahan justeru ia tidak menghilangkan sedikit pun kemuliaan kita asal sahaja kita bermaksud lurus dan ikhlas. Malah ini bukan masanya kita mahu menilik "hidung tinggi" dan menggilap "kasut kilat" sebaliknya ini adalah detik dan ketikanya kita merendah diri , mengakui kelemahan , bersedia ditegur dan dimuhasabah serta apa yang paling penting ialah sedia berubah ke arah yang lebih baik .

13. Kita juga mesti realistik . Elakkan sentimen dalam membaca situasi dan jauhi emosional dalam merangka strategi. Mesyuaratlah dengan hati yang damai dan jiwa yang tenang tanpa pra sangka. Bawa jiwa yang setia pada jamaah dan wala' pada perjuangan Islam yang didokong. Bajai ukhuwwah dan rapatkan saff kita . Akur pada fakta dan bertindak dengan bijak berasaskan keputusan jamaei .

14. Sayugianya kita insaf bahawa kemenangan adalah kekal milik Allah swt. Allah jua lah yang akan menganugerahkan kemenangan tersebut . Apa yang kita mahu ialah kemenangan yang dikurniakan secara redha kepada kita bukan kemenangan yang diberi secara istidraj [ beri dalam murka ] .

15. Kekalahan kita di Galas dan Batu Sapi bukan pengalaman pertama yang dialami oleh parti tetapi sejak tahun 51 , entah berapa kali parti kalah namun tidak pernah pula generasi terdahulu patah hati dan semangat dalam meneruskan perjuangan sehinggalah ia diwariskan kepada kita hari ini . Ingatlah perjuangan ini tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak diasaskan pada hari ini . Bukan kita yang memulakan perjuangan ini , maka demikian juga bukan kita yang akan mengakhiri perjuangan ini .

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.