Oleh Mohd Norhadie Sahari
Walaupun diberi potongan KWSP, Perkeso dan Cola, ia belum dapat menarik minat rakyat tempatan
MIRI: Cadangan penetapan gaji yang minimun di samping pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) belum tentu dapat menarik minat rakyat tempatan untuk menceburi pekerjaan sebagai pembantu rumah.
Pengarah Eksekutif Sulong Supplies And Services Sdn Bhd, Mohd Sabri Lampam memberitahu rakyat di negara ini mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malahan mereka boleh mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan mereka.
“Tidak dinafikan bahawa generasi sekarang lebih berpendidikan dan mereka akan memilih kerjaya yang bersesuaian dengan kelulusan mereka,” katanya ketika ditemui semalam.
Sabri menjelaskan, tawaran gaji yang lumayan serta tidak terikat dengan majikan antara salah satu sebab rakyat tempatan lebih gemar bekerja di luar daripada menjadi pembantu rumah.
“Ada di kalangan mereka mencari suasana kerja yang selesa dan tidak terikat dengan majikan. Malahan, mereka juga sanggup bekerja di pasar raya atau stesen minyak walhal gaji yang ditawarkan tidak jauh berbeza,” katanya.
Sabri yang turut mengaji pembantu rumah warga Indonesia memberitahu, kurangnya minat serta inginkan suasana kerja yang bebas antara punca rakyat tempatan menyisihkan pekerjaan sebagai pembantu rumah.
“Pembantu rumah warga asing contohnya mempunyai komitmen yang tinggi untuk bekerja di negara ini malahan bersedia menerima apa jua gaji yang ditawarkan. Ia membuktikan bahawa kerjaya terbabit menjadi satu keperluan untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Sabri menjelaskan, warga asing yang datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah telah diberi latihan dan kemahiran berbanding pengambilan pembantu rumah tempatan secara langsung.
“Kebanyakan mereka yang datang ini sudah mempunyai kemahiran untuk menjadi pembantu rumah. Ia turut menjimatkan masa majikan daripada melatih mereka bermula dari peringkat asas,” katanya.
Kelmarin, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata pakej menarik seperti penetapan minimun, KWSP, Perkeso dan Cola sedang dipertimbangkan bagi mengurangkan pergantungan terhadap pembantu rumah warga asing.
Katanya, ketiadaan faktor itu merupakan antara sebab kebanyakkan rakyat tempatan kurang berminat menjadikan pekerjaan pembantu rumah sebagai satu kerjaya mereka.
Setiausaha Jiran Wanita Pujut Selatan, Raimah Johari sebaliknya bersetuju supaya pembantu rumah tempatan diberi pakej menarik seperti penetapan gaji minimun agar rakyat tempatan berminat menceburi kerjaya tersebut.
“Menerusi caruman KWSP, Perkeso dan Cola serta penetapan gaji yang minimum, maka rakyat tempatan akan mula merebut peluang menceburi pekerjaan sebagai pembantu rumah sekali gus mengurangkan peratusan pengangguran di Malaysia,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, usaha berkenaan sangat bersesuaian dengan keadaan semasa malahan ia dapat mengurangkan perggantungan majikan terhadap pembantu rumah warga asing.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan