Kematian Akibat Elektrik Masih Tinggi

Kebanyakan kemalangan maut berpunca daripada sikap sambil lewa manusia: Sesco

SARIKEI: Walaupun langkah pencegahan ketat diambil oleh Syarikat Sesco Berhad (Sesco) dalam memastikan keselamatan awam, jumlah kematian akibat elektrik yang melibatkan orang awam masih tinggi di negeri ini.

Pengurus Kanan Sesco, Ng Piew Choo menyuarakan kebimbangan itu semasa pelancaran rasmi Kempen Minggu Keselamatan Sesco bertemakan Kesedaran Keselamatan Awam di Pejabat Wilayahnya di sini, pagi semalam oleh Pengurus Kawasan untuk Sarikei/Sibu, Siti Aisah.

Ng berkata, kebanyakan kemalangan maut membabitkan elektrik berpunca daripada sikap tidak ambil endah mangsa terhadap bahaya elektrik.

“Antara punca kemalangan ialah semasa melakukan aktiviti terlalu hampir dengan talian elektrik seperti mengecat rumah menggunakan galah konduksi; melakukan kerja-kerja penambahan bangunan; memasang struktur tinggi; mencantas dahan pokok yang terlalu hampir dengan konduktor voltan tinggi dan sebagainya,” jelasnya.

Sebab lain ialah vandalisme dan mencuri tembaga di pencawang bervoltan tinggi dan pendawaian tambahan atau tidak sah pemilik premis.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa tahun lepas terdapat tujuh kematian kerana kemalangan elektrik di negeri ini dan setakat tahun ini, terdapat lima kes seumpamanya, yang mana satu melibatkan seorang pekerja kontrak Sesco.

“Kemudahan tenaga adalah satu industri berisiko tinggi kerana elektrik tidak dapat dilihat, didengar atau mempunyai bau. Oleh sebab itu, pelbagai usaha dan pelaburan besar dibuat untuk memastikan keselamatan kepada pekerja dan juga orang awam,” kata Ng.

“Oleh kerana program minggu keselamatan sebelumnya yang menekankan keselamatan pekerja berjaya menghasilkan keputusan yang dijangkakan, Sesco, sebagai badan korporat penyayang, menerusi kempen tahun ini memberikan fokus terhadap usaha pencegahan kemalangan di kalangan orang awam sejajar temanya.”

Sambil menegaskan bahawa Kempen Minggu Keselamatan bertujuan untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSHA) 1994, Ng berharap usaha untuk mendidik orang ramai mengenai keselamatan elektrik tidak akan terhenti setakat minggu kempen terbabit.

“Melaporkan keadaan atau aktiviti tidak selamat kepada pihak berkuasa boleh menyumbang ke arah kejayaan kempen,” tambahnya.

“Sebagai contoh, apabila anda melihat sebuah mesin penggorek bekerja di bawah talian elektrik, laporkan segera kepada pegawai bertanggungjawab Sesco (menerusi talian 333111) atau kakitangan penyelenggaraannya,” katanya sambil menambah bahawa terdapat banyak aktiviti tidak sihat dan keadaan tidak selamat yang boleh menyumbang kepada kemalangan elektrik.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.