Pembangunan Luar Bandar Sarawak Didahulukan

dipetik dari Borneo Post Online

Pusat peruntuk jumlah yang besar laksana pelbagai projek dalam RMK-10 bermula tahun depan : Shafie

ASAJAYA: Rakyat di kawasan luar bandar Sarawak akan menikmati pelbagai pembangunan infrastruktur dalam masa terdekat, apabila kerajaan pusat meluluskan peruntukan besar bagi mendahulukan negeri ini dalam melaksanakan pembangunan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan pusat telah memperuntukkan sejumlah besar untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan luar bandar di negeri ini untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bermula tahun hadapan.

Shafie yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negeri ini memberitahu, Sarawak mendapat peruntukan besar sejumlah RM2 bilion untuk pembangunan jalan raya, RM900 juta untuk bekalan elektrik dan RM75 juta bagi bekalan air seluruh negeri ini.

“Kita akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dengan secepat mungkin agar rakyat yang masih ketinggalan dapat menikmati pembangunan bersama,” katanya berucap pada majlis penyerahan kunci rumah program bantuan rumah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Sambir, di sini malam Rabu lalu.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri-Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Gramong Juna dan Datuk Ambrose Blikau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud dan ADUN Balai Ringgin, Snowdan Lawan.

Seramai 55 orang penduduk miskin sekitar daerah Asajaya menerima bantuan rumah skim pembangunan kesejahteraan rakyat itu.

Menurut Shafie, pembangunan prasarana seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrtik itu akan dilaksanakan dengan cepat bermula seawal tahun hadapan sehingga berakhir pada 2012.

Katanya, segala pembangunan yang dirancangkan itu perlu mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada rakyat agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya yakin dengan kerjasama serta sokongan jitu daripada rakyat di negeri ini, maka perancangan kita membangunkan rakyat di kawasan luar bandar akan tercapai,” katanya.

Shafie menarik perhatian, tindakan kerajaan mempercepat program pembangunan di kawasan luar bandar adalah bagi mengurangkan kadar kemiskinan pada paras sifar menjelang 2015.

Beliau menambah, kemudahan asas yang disediakan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air merupakan langkah drastik kerajaan membasmi kemiskinan rakyat.

“Saya percaya jika rakyat terus berusaha dan bersatu untuk memberi sokongan padu kepada kerajaan, maka hasrat kita mahu melihat seluruh masyarakat hidup dalam suasana aman dan sejahtera pasti akan tercapai,” katanya.

Justeru, Shafie turut mengingatkan penduduk luar bandar agar tidak terpesona dengan janji-janji dan hasutan pihak pembangkang yang sengaja mahu memesongkan rakyat untuk hidup menderita.

“Pihak pembangkang sememangnya menggunakan arena politik sebagai agenda kepentingan peribadi mereka, justeru jika rakyat terpedaya dengan janji-janji manis mereka sudah pasti ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.