Penjaja Tidak Puas Hati, MPS Rampas Barang

sumber: Borneo Post

Episod terbaru di pasar tamu saksikan barangan jualan milik dua peniaga dirampas

SIBU: Tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merampas barangan jualan penjaja pasar tamu di Pasar Sentral di sini petang semalam, menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjaja di situ.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, penguat kuasa MPS telah merampas barangan milik dua orang penjaja.

Seorang penjaja terbabit, Samba Maga, 58, memberitahu beliau merasa tidak berpuas hati dengan tindakan pihak majlis itu.

“Mengapa hanya barangan milik saya yang dirampas?” ujarnya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di Pasar Sentral, semalam. Seorang lagi penjaja yang dirampas barangan miliknya gagal ditemui.

Samba yang mempunyai permit untuk berniaga di situ memberitahu beliau sedia untuk berpindah tempat berniaga, sebagaimana yang diarah-kan oleh pihak majlis sebelum ini.

Namun demikian, katanya, bagaimana beliau hendak berpindah jika penjaja lain tidak mahu berpindah dari tempat mereka?

“Apa kesalahan saya sehingga barangan saya dirampas?” katanya sambil mempersoalkan mengapa barangan milik 19 penjaja lain yang enggan berpindah tidak dirampas sama.

Menurut Samba lagi, beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan mendakwa kerugian lebih RM100.

Antara barangan jualannya yang dirampas ialah umbut, buah pisang serta ulam-ulaman.

Pada akhir Mei lepas, MPS memperkenalkan sistem baru kepada kepada penjaja di pasar tamu itu yang mana setiap bulan penjaja perlu membuat cabutan bagi menentukan tempat baru mereka berniaga.

Bagaimanapun, sistem itu dikatakan mendapat bantahan majoriti penjaja di situ menyebabkan pelaksanaan sistem itu tertangguh sehingga kini.

Sementara itu, pengerusi protem Persatuan Penjaja Bumiputera Iban dan Melayu, Hamdini Samsuddin menyifatkan tindakan pihak MPS itu sebagai tidak patut.

Beliau yang merupakan salah seorang penjaja yang enggan berpindah serta masih belum mendapat permit berkata, mereka (19 penjaja) akan menentang sekiranya barangan mereka dirampas.

Katanya, mereka sememang-nya telah bersetuju untuk berpindah pada 17 Ogos lepas setelah membuat rayuan beberapa kali kepada pihak majlis.

Bagaimanapun, menurut Hamdini, pihak majlis tidak datang pada hari tersebut bagi menyuruh semua penjaja di pasar tamu itu berpindah.

“Jadi, bagaimana kami hendak berpindah jika penjaja lain tidak mahu berpindah dari tempat mereka? Mengapa tiba-tiba hari ini mereka datang dan merampas barangan jualan penjaja?” soalnya.

“Ini tidak adil kerana kami semua telah bersetuju untuk berpindah. Jika mahu rampas, mereka (MPS) harus rampas semua barangan penjaja yang lain,” jelas beliau sambil memberitahu sistem yang diperkenalkan MPS itu hanya membuat penjaja pasar tamu bergaduh.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.