Penduduk Bengoh Dapat Rumah Mesra Rakyat

Penduduk terjejas projek Empangan Bengoh diberi 205 unit rumah

KUCHING: Kementerian Perumahan memperuntukkan sebanyak 205 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk skim penempatan semula penduduk yang terjejas dengan projek Empangan Bengoh, Jalan Puncak Borneo di sini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata RMR itu dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah program Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Bengoh.

Katanya, selain RMR, kawasan terbabit juga bakal dimajukan dengan pelbagai pembangunan infrastruktur bagi kemudahan penduduk.

Beliau berkata seramai 394 keluarga dari empat kampung iaitu Kampung Semban, Rejoi, Pain Bajong dan Taba Sait terjejas berikutan pembinaan projek Empangan Bengoh.

Abang Johari memberitahu, RMR yang diberikan kepada penduduk berkenaan adalah berharga RM88,000 seunit.

“Empangan Bengoh memberi manfaat besar kepada penduduk negeri ini terutama di bahagian Kuching dengan menyediakan bekalan air yang mencukupi.

“Justeru, penduduk yang terjejas telah disediakan kemudahan-kemudahan asas termasuk rumah untuk keselesaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Lembaga Amanah Kebajikan Muslimin Kampung Patingan (LAKMKP) dan Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi LAKMKP Dato Sri Safri Awang Zaidel, Timbalan Pengerusi LAKMKP Mohd Amin Hassan dan Pengerusi KSK Satok Irwan Zulkarnaen Hasbi.

Sementara itu, Abang Johari telah melawat tapak pembinaan Empangan Bengoh yang bernilai RM310 juta pagi semalam.

Beliau turut mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek itu daripada Pengurus Pembangunan Perniagaan Naim Cendera Sdn Bhd Janang Sawing.

Dalam pada itu, projek Empangan Bengoh telah bermula tahun lalu dan dikendalikan oleh Naim Cendera Sdn Bhd meliputi kawasan seluas 49 meter dengan ketinggian 63.2 meter dan panjangnya kira-kira 267 meter. Projek itu dijangka siap pada Jun tahun depan.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.