Arjunan beri polis keterangan aduan terhadap Saravanan

August 20, 2010

KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Ahli politik PKR MS Arjunan menemui polis di Seremban petang ini, tetapi menegaskan tidak akan memberi apa-apa keterangan berhubung aduan terhadap Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, selepas ini.

Ketika dihubungi, Arjunan berkata termasuk hari ini dia telah tiga kali memberi keterangan kepada polis walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan kelmarin mendakwanya tidak memberi kerjasama dalam proses siasatan.

“Hari ini saya memberikan keterangan lebih sejam di IPK Negeri Sembilan di Seremban, saya rasa sudah cukup untuk mereka menjalankan siasatan... selepas ini saya tidak akan memberi apa-apa keterangan walaupun dipanggil (oleh polis).

“Saya memberitahu polis bahawa jika ada apa-apa yang perlu dijelaskan, saya akan hadir di mahkamah nanti, akan dijelaskan di mahkamah... saya ada banyak kerja, saya tidak boleh asyik pergi jumpa polis setiap kali dipanggil,” katanya lagi.

“Saya diminta datang ke IPK di Seremban semalam tetapi saya sibuk tapi pergi hari ini, berada di IPK antara 1.30 tengah hari dan 3 petang tadi,” katanya.

Arjunan juga telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan Selasa lalu.

Arjunan berkata dia juga hairan dengan tindakan polis mahu mengambil keterangan daripada mereka yang mengiringinya ke IPK.

“Saya merasakan ini tindakan mahu menakutkan saya dan penyokong saya, seolah-olah ada yang tidak kena,” katanya.

Dia juga mendakwa pihak polis di IPK enggan mengesahkan dokumen mengenai kehadirannya di IPK Negeri Seremban.

“Saya minta polis membuat pengesahan kehadiran saya memandangkan Ketua Polis Negara mendakwa saya tidak beri kerjasama kepada polis, tetapi mereka kata tidak boleh atas alasan cukup setakat ada diambil nota (oleh polis),” katanya.

Arjunan membuat laporan polis semalam selepas mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi satu panggilan telefon petang kelmarin.

Arjunan yang masih mendakwa dirinya Setiausaha PKR Ipoh Barat membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini semalam kerana khuatir terjadi sebarang perkara yang tidak diingini terhadap diri dan anggota keluarganya.

Sabtu lepas, Arjunan membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahterana Bandar mendakwa beliau terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan gangsterisme di Brickfields.

Beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaannya itu namun ia diberikan kepada peguamnya untuk didedahkan setelah kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Kelmarin, Musa melahirkan rasa kesal dengan sikap Arjunan yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berkenaan dakwaannya terhadap timbalan menteri itu.

Beliau berkata sikap Arjunan hanya akan melewatkan proses siasatan yang sedang dilakukan.

Ditanya mengenai dakwaan wujudnya 39 aduan polis ke atasnya, Arjunan berkata, dia tidak tahu perkara itu.

“Jika ada sudah tentu polis telah menyiasat saya,” katanya.



Berkaitan :





MS Arjunan, Dakwa Cukup Bukti Untuk Kaitkan Timbalan Menteri Dengan Kegitan Pelacuran, Dadah....







Oleh Dzulkarnain Taib



PETALING JAYA 18 Ogos - M S Arjunan, bekas calun KEADILAN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Chenderiang berkata beliau mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kegiatan pelacuran, dadah dan gangsterime.



Ketika bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di sini petang semalam, Arjunan berkata beliau telah membuat satu laporan polis terhadap Saravanan apabila menerima sepucuk surat daripada ayah kepada seorang pelajar perempuan yang dikatakan menjadi mangsa kegiatan tidak bermoral yang didakwa didalangi Timbalan Menteri daripada MIC itu.



Arjunan, 50, membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Brickfields kira-kira pukul 11.08 malam Sabtu lalu terhadap Ahli Parlimen Tapah itu yang didakwanya terlibat dalam kegiatan pelacuran kelas atasan termasuk membekalkan gadis terdiri pelajar kolej bagi tujuan tidak bermoral.



"Laporan polis yang saya buat hanya sebagai respons kepada aduan yang dibuat oleh ayah kepada seorang mangsa melalui sepucuk surat kepada saya," tegas Arjunan.



Menurut Arjunan lagi pelajar tersebut merukan penuntut Kolej Tafe di Negeri Sembilan antara tahun 1998 hingga 2001.



Beliau berkata hasil daripada laporan di dalam media mengenai pendedahnya seramai tiga orang wanita yang mendakwa menjadi mangsa kepada Saravana telah menaliponnya dan menceritakan pengalaman pahit yang dilalui mereka.



"Semua dakwaan ini kami ada bukti yang telah kami serahkan kepada peguam. Saya akan dedahkan bukti yang ada apabila kes ini di bawa ke mahkamah nanti," kata beliau yang ditemani Ketua Pemuda Persatuan Kamajuan Pelajar-pelajar Tamil Malaysia, A Kalaimughilan.



Arjunan juga membidas kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang menganggap dakwaan terhadap Timbalan Menteri itu sebagai satu tohmahan.



Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada Mohd Bakri kerana berjaya menyelesaikan dakwaan jenayah yang dilakukan selama lebih 10 tahun hanya dalam tempoh masa 3 jam sahaja.



"Saya nak ucapkan tanhniah kepada Mohd Bakri kerana saya rasa di antara anggota polis terbaik di dunia kerana dapat menyelesaikan masalah berkaitan jenayah yang dilakukan sejak 10 tahun dahulu hanya dalam 3-4 jam sahaja.



"Saya minta beliau supaya betul-betul adil dan jangan sokong sebelah pihak sahaja. Dia mesti jaga kepentingan rakyat. Saya sedia beri kerjasama sepenuhnya kepada beliau dan kalau saya memfitnah Saravanan heret saya ke mahkamah," kata Arjunan kepada Suara Keadilan.



Dalam responsnya kepada dakwaan Arjunan, Saravanan yang juga Naib Presiden MIC menganggap ia sebagai satu tindakan mahu memburukkan nama dan menghancurkan kerjaya politiknya.

Posted by RAKYAT MARHAEN

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.