Harga cili melonjak RM9

by Henrietta Liza

August 24, 2010, Tuesday





KUCHING: Harga cili naik sebanyak RM2.00 kepada RM9.00 disebabkan ladang sayur-sayuran (termasuk cili) terbesar yang terletak di Sungai Bidut, Sibu ditenggelami banjir kelmarin.


WAN AHMAD UZIR

Kenaikan drastik berlaku akibat banjir yang menenggelamkan ladang sayur terbesar di Sungai Bidut Sibu, kata Wan Ahmad



Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman mengumumkan kenaikan tersebut ketika diminta mengulas kenaikan harga sayur-sayuran di Sibu baru-baru ini.



“Harga sayur-sayuran tidak akan naik kecuali di Sibu disebabkan keadaan banjir yang melanda ladang terbesar tanaman sayur-sayuran dan menyebabkan harga sayur naik terutama (cili merah).



“Namun begitu, harga dijangka kembali seperti biasa selepas banjir berakhir,” katanya ketika ditemui di pusat penjaja Ramadan di Pasar Dayak Kem 3 Briged semalam.



Beliau turut mengingatkan para penjaja agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan kerana pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dari masa ke semasa sehingga penghujung Ramadan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar arahan.



“Para peniaga dinasihati agar tidak membebankan para pengguna dengan menaikkan harga barang sesuka hati mereka,” katanya.



Bagaimanapun, katanya harga ayam masih di bawah harga siling iaitu RM9.00 di seluruh negeri.



Pada masa yang sama, beliau memberitahu 95 peratus daripada peniaga di negeri ini mematuhi arahan yang telah ditetapkan iaitu meletakkan tanda harga bagi barang jualan mereka.



“Namun demikian, masih terdapat lima peratus peniaga di negeri ini yang ingkar untuk berbuat demikian dan pihak kami telah memberi amaran kepada mereka ini,” katanya kepada pemberita.



Tambah Wan Ahmad, pihaknya akan mengenakan hukuman denda sebanyak RM150,000 kepada peniaga individu dan RM250,000 kepada syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd) terhadap mereka yang masih berdegil dan terus berbuat demikian.



Beliau turut berpesan kepada para peniaga yang ingin mengadakan jualan murah agar menyenaraikan sebanyak 70 peratus harga barang jualan berbanding harga asal kepada KPDNKK sebelum diluluskan permohonan.



“Buat masa ini setiap pesalah akan dikenakan denda di bawah Akta Perihal Dagangan sebelum akta baru diwartakan,” katanya.



Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya pasti harga barangan masih terkawal di seluruh negeri.



Pada masa yang sama, beliau turut memberitahu pihaknya akan mengadakan seminar kesedaran persaingan perniagaan kepada persatuan peniaga di Kuching pada 1 September dan di Sibu pada 2 September depan.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.