"Bismillahir-Rahmanir-Rahim: Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden Umno ketika berkempen di Galas, semalam (27 Oktober) yang disiarkan (Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, ms 3) dengan tajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS.”
Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut : ''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA."
Nampaknya pilihan raya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan pemimpin Umno menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat melibatkan DAP. Nampak sangat kemarahan Umno apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar Umno apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina berikut orang Cina sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.
Sukacita saya jelaskan, ada bezanya kerjasama antara Umno dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama antara PAS dan DAP mahu pun KeAdilan di dalam Pakatan Rakyat. Ia bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin Umno sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.
Beberapa hari lepas, pemimpin yang sama telah mencadangkan supaya mata pelajaran Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib untuk peperiksaan SPM bermula tahun 2013. Menunjukkan di sini Sejarah amat penting. Cuma saya ingin mengingatkan bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu. Makaa, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.
Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional tidak lebih sebagai perangkap bagi PAS. PAS bersama Umno membentuk Barisan Nasional demi perpaduan. Namun hasilnya PAS di Kelantan telah berpecah kepada empat, iaitu PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Malangnya selepas Umno kembali kuat, PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan Umno? Tangan Umno yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat dan diselamatkan oleh PAS. Apabila, terselamat lalu PAS ketika sarat dengan masalah terus ditendang ke laut, lemas keseorangan.
Di sini sukacita dinyatakan, hubungan PAS dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, ia tiada unsur khianat dan PAS tidak dikhianati. Jika pemimpin Umno bertanya, apa bezanya kerjasama dalam Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Awal-awal PAS sudah nyatakan, jika mahu teruskan kerjasama dengan PAS, kita tak akan buang dasar Islam, jika dibuang maka tiadalah PAS, kerana adanya PAS adalah untuk berjuang Islam. Dan PAS masih tetap dengan agenda Islam. Kerana kita yakin, perjuangan Islam sedia memberi keadilan untuk semua.
Seketika dulu, DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Tetapi mereka mula faham dengan keadilan prinsip Islam yang berjaya ditunjukkan setelah 20 tahun PAS mentadbir Kelantan. Di sini kita lihat, pemimpin DAP tidak anti Islam kerana mereka secara beransur-ansur kini mula mengenali Islam. Malah di Pulau Pinang kini yang diperintah DAP, kita dapati ketua menterinya banyak menerima pakai prinsip pentadbiran Islam. Malah ada pemimpin DAP yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin Umno pula semakin menjauhi al-Quran. Justeru kita lihat, pengalaman PAS bersama DAP itu, hasilnya menunjukkan sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim. Inilah beza besar kerjasama PAS dengan DAP dibandingkan kerjasama Umno dengan MCA. Ingin saya bertanya, apa ruginya orang Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?
Sayang sekali, Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Umno sudah buat silap sekian lama dalam mentafsirkan Islam. Lihat sahaja, cara pentadbiran kerajaan Umno yang bercadang menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Apakah cara itu cara yang Islamik dan adakah ia serasi dengan budaya Melayu? Di manakah pula disangkut agenda Melayu yang kononya berteraskan Islam yang diperjuangkan Umno? Ini pendekatan silap Umno sekian lama sehingga menyebabkan pemimpoin MCA terus takut dengan Islam. Akhirnya non muslim terus dirundung Islamofobia.
Hakikatnya, Umno yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden Umno sendiri sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang lepas mencadangkan supaya Umno menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkah prinsip Umno selama ini, politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit Umno sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya sendiri dihentam begitu teruk oleh pemimpin Umno dan media suara Umno dengan menuduh saya berpolitik atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan Umno di Kota Bharu sudah terjual, Umno sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..
Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang mukmin melihat jauh ke akhirat, sedangkan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu, pemikirannya berkisar kepentingan sekeluarga. Maka si ibu berfikir, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan sewsi rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, seumpama seorang anak kecil yang berfikir setakat alatan permainannya semata-mata.
Justeru peringatan untuk semua pencinta perjuangan sekular. Dunia belum kiamat, dan ada masa untuk kembali ke pangkal jalan. Firman Allah SWT (Surah Yunus 10:84):
“Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).”
Maka seruan saya, kembalilah kepada perjuangan Islam, kerana Islam itu ajaran yang menyelamat dan mensejahterakan seluruh umat di dunia ini.
Sekian.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.
Kota Bharu: 20 Zulkaedah 1431/28 Oktober 2010.
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.
Kota Bharu: 20 Zulkaedah 1431/28 Oktober 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan