Hishamuddin kenapa Panggilan 999 GAGAL, Jangan sibuk Politik je

Oleh: amkns

"PANGGILAN 999 GAGAL?

Utusan Malaysia 11 Feb 2011

PANGGILAN kecemasan kepada talian 999 untuk mendapat bantuan polis tidak lagi dapat menolong anda!

Inilah kesimpulan yang dapat dibuat oleh sesiapapun apabila membaca penjelasan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdullah berhubung dengan kelewatan polis tiba di lokasi setelah panggilan dibuat oleh Pengarang Sukan Utusan Malaysia, Meor Harman Shakri semasa keretanya dirompak oleh empat lelaki bersenjata berhampiran Plaza Tol Rawang di awal pagi baru-baru ini. (Utusan Malaysia 9 Januari).



Meor Harman telah membuat panggilan kecemasan 999 sebanyak empat kali sebelum keluar dari keretanya yang dilanggar dari belakang dan dihalang setelah memintasnya. Salah seorang daripada penjenayah memasuki keretanya tetapi sebelum keluar dari kereta Meor telah pun menelefon 999 empat kali.

Polis hanya tiba di lokasi itu sejam kemudian. Memalukan! Di Amerika Syarikat panggilan 911 ialah panggilan kecemasan nasional satu negara.

Penjelasan daripada Ketua Polis Daerah Gombak ialah panggilan kecemasan 999 tidak akan terus disambung kepada polis di kawasan tersebut dan beliau menasihatkan supaya orang ramai hendaklah terus menghubungi bilik gerakan (?) untuk mendapatkan tindakan cepat.

Sesungguhnya ini adalah berita baru kepada orang ramai. Apa yang diketahui selama ini dan sentiasa diuar- uarkan oleh polis ialah nombor 999. Siapalah yang tahu nombor bilik gerakan kecamasan?

Kegagalan polis untuk bertindak segera terhadap panggilan dari seorang wartawan tidak lagi dapat disembunyikan kerana dia adalah "tukang berita" tetapi kita tidak tahu berapa banyak panggilan kecemasan kepada 999 yang mendapat tindakan lewat.

Kelalaian pihak berkuasa dalam suatu hal yang melibatkan nyawa dan kepentingan ramai tidak boleh dimaafkan dengan apa alasan sekalipun. Ini akan menyebabkan orang ramai menjadi sinis terhadap slogan "Rakyat Diutamakan".

Pihak yang terlibat mestilah sensitif terhadap kejadian ini dan hendaklah membuat suatu penjelasan yang meyakinkan. Kenyataan Pegawai Polis Daerah Gombak menimbulkan banyak anggapan yang negatif terhadap pihak polis yang sekarang sedang berkerja keras untuk memperbaiki imejnya di bawah Ketua Polis Negara yang baru.

HAIMI
Putrajaya.
utusan.com.my


MESTI PANTAS BILA ADA KECEMASAN
Mingguan Malaysia 13 Feb 2011

Oleh Noraini Abd. Razak

TAKTIK langgar dan samun bukan baru. Pemandu sering diingatkan supaya tidak berhenti jika kereta dilanggar tanpa sebab terutama pada waktu malam. Peringatan tersebut sering ditujukan kepada pemandu wanita.

Maklumlah orang perempuan perlu dilindungi, justeru keprihatinan terhadap wanita memang selalunya lebih. Apa lagi jika wanita yang kerjanya sering pulang lewat malam. Kejadian langgar dan samun yang menimpa Pengarang Sukan Utusan Malaysia baru-baru ini ‘melebarkan' lagi peringatan tersebut. Meor Harman tidak memberhentikan keretanya selepas dilanggar tidak jauh dari tol Rawang.

Bagaimanapun ada tanda-tanya di hatinya apabila pemandu yang melanggar keretanya memberi nyalaan lampu seolah-olah mahu memberitahu sesuatu. Malang sememangnya tidak berbau. Sebaik memberhentikan keretanya, dua daripada empat penjenayah itu keluar dan mendekati beliau. Lantas terjadilah seperti mana selalunya - beliau diacu parang dan keretanya dilarikan. Malang Meor Harman sememangnya berganda pada malam tersebut. Selepas keretanya dilanggar, beliau menghubungi talian 999 sebanyak dua kali.

Panggilannya dijawab dan disambung ke bilik kawalan. Jawapan yang diberi petugas bilik kawalan berbunyi begini: ‘‘Bantuan akan sampai sebentar lagi, encik jangan ke mana-mana'. Sebelum itu beliau ditanya lokasi kejadian.

Selepas keretanya dilarikan, Meor Harman menghubungi 999 sekali lagi. Panggilannya disambungkan bilik gerakan. Beliau memberitahu: ‘‘Encik saya dah disamun.'' Sekali lagi beliau ditanya lokasi kejadian selain perlu memperkenalkan diri sekali lagi dan diberitahu supaya jangan ke mana-mana. Lokasi Hampir sejam selepas panggilan pertama, kelibat kereta peronda polis di jalan bertentangan terlihat. Panggilan ke 999 dibuat sekali lagi untuk memaklumkan bahawa lokasinya adalah di jalan menuju ke Rawang dan bukannya arah ke Kuala Lumpur.

Untuk menunggu kereta peronda itu membuat pusingan U mengambil masa menyebabkan dia menumpang motosikal ke tol Rawang. Di situ dia bertemu satu lagi polis peronda yang kemudiannya bertindak pantas menyelesaikan segala masalah. Isu tersebut telah diulas dan dijawab pihak yang berkenaan.

Dalam memberi penjelasan, orang ramai diingatkan supaya tidak bergantung kepada talian 999. Ingat nombor-nombor lain. Ingat nombor bilik gerakan. Tetapi dalam keadaan panik dan gementar, bukankah 999 adalah nombor paling segera melintas di fikiran. Nombor itu paling mudah diingati - sebab itu susunannya begitu. Nombor bilik gerakan mana yang perlu diingat? Jika seseorang tinggal di Rawang, adakah dia perlu mengingati atau menyimpan nombor bilik gerakan Rawang sedangkan malang yang tidak berbau boleh berlaku di mana-mana.

Justeru mengapa dicadangkan nombor lain. Bukankah ia memperlekehkan talian kecemasan yang diwujudkan untuk memudahkan orang ramai meminta bantuan sejak berkurun lamanya. Tentunya dalam hal ini, orang ramai mengharapkan pihak berkuasa memperbaiki sistem sedia ada. Jika talian 999 itu ‘melambatkan' proses aduan atau untuk mengambil tindakan disebabkan ada beberapa lapisan, maka kurangkan lapisan itu.

Semudah dan secepat mana nombor 999 itu disebut, maka urusannya juga harus mudah dan pantas. Kita tidak memperkecilkan tugas anggota polis, tidak juga membesarkan kes Pengarang Sukan Utusan Malaysia. Keprihatinan adalah kepada semua mangsa jenayah yang sememangnya panik mencari bantuan ketika kecemasan. Mereka mesti diberitahu bahawa 999 adalah talian yang boleh dihubungi setiap saat dan ketika.

Operator 999 akan menjawab panggilan anda. Tindakan segera akan diambil. Selepas itu baru disarankan supaya orang ramai turut menyimpan nombor bilik gerakan. Saranan seumpama itu mesti dimasukkan dalam iklan 999 yang ditayangkan di kaca televisyen. Pendek kata talian 999 mesti diangkat sebagai nombor kecemasan paling cekap bukan sebaliknya. Barulah kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis dapat dipertingkatkan.

Sumber: Utusan malaysia"

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.