Arman sahkan letak jawatan Ketua Wira Perkasa, serta-merta

TERKINI @ 06:03:45 PM 29-03-2011
March 29, 2011
KUALA LUMPUR, 29 Mac - Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah mengesahkan beliau meletakkan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun beliau (gambar) yang merupakan ahli seumur hidup akan kekal dalam Perkasa.
“Hari ini saya umumkan secara peribadi meletakkan jawatan sebagai Ketua Wira Perkasa dan tujuan saya meletakkan jawatan untuk memberi peluang kepada generasi baru untuk memimpin.
“Saya harap barisan terbaru akan bawa Perkasa ke peringkat lebih tinggi. Walaupun saya letak jawatan, saya masih ahli Perkasa,” kata beliau pada sidang media di sini petang ini.
Tegas Arman Azha, tindakan beliau melepaskan jawatan itu tiada kaitan dengan desakan atau masalah dengan kepimpinan dalam Perkasa yang diterajui Datuk Ibrahim Ali.
Tengah hari tadi Ibrahim berkata Perkasa akan membuat penyusunan semula kepimpinan peringkat negeri dan pusat.
Oleh itu beliau meminta jangan membuat spekulasi mengenai tindakannya mahu meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut tindakannya, Arman Azha berkata, keputusan itu diambil kerana berpandangan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak boleh mencapai matlamat tuntutan tanpa mempunyai kuasa politik.
“Saya letak jawatan atas dasar prinsip bukan atas dasar desakan, bukan atas dasar disunting tapi atas dasar prinsip.
“Mana-mana NGO hanya boleh mendesak dan tidak boleh melaksanakan apa-apa tuntutan tanpa kuasa politik, apa pun yang kita buat akhirnya memerlukan kuasa politik,” katanya yang sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pejabat Perkasa pagi tadi.
Menurut Arman Azha, beliau telah memaklumkan peletakan jawatan itu kepada Ibrahim dan akan menemui Ahli Parlimen Pasir Mas itu untuk memberikan penjelasan.
“Selepas bapa saya, saya anggap Ibrahim sebagai bapa saya, beliau telah banyak menunjukkan kematangan dalam berpolitik, saya sangat menghormati beliau dan keputusan yang saya buat ini tiada kaitan dengan masalah dalaman atau kecewa apabila dikaitkan letak jawatan kerana tak dapat projek.
“Saya berjuang demi prinsip dan apa-apa yang hendak dilakukan hanya boleh dibuat dengan kuasa politik, tak akan saya nak jadi ketua buat selama-lamanya,” katanya.
“Selama ini kita hanya mendesak tapi dasarnya kuasa terletak kepada kuasa politik, sebab itu saya letak jawatan... ini semua pasal prinsip,” katanya.
Pagi tadi The Malaysian Insider melaporkan Arman Azha antara pemimpin yang dilihat lantang bersuara akan melepaskan jawatan.
Selain Arman Azha, Ketua Wiranita Raihan Sulaiman Palestine juga memutuskan untuk meletakkan jawatan beliau bulan lalu.
Tetapi keputusan Raihan belum diterima Ibrahim.
Menurut Arman Azha, beliau akan aktif dalam politik setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Wira Perkasa, namun belum membuat keputusan untuk mana-mana parti politik.
“Saya akan menyertai parti yang akan memperjuangkan agama, bangsa dan negara tapi saya masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.
“Buat masa ini ada beberapa pihak menawarkan saya tapi saya belum buat keputusan sebab saya nak lihat dan kaji dulu perkara ini... saya masih belum ada kata putus untuk menyertai parti mana,” katanya yang juga Ketua Penerangan Umno Petaling Jaya Utara.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.