Beberapa siri penangkapan yang dibuat di bawah Akta Hasutan akhir-akhir ini membuatkan pemimpin-pemimpin pembangkang dan para peguam sepakat merumuskan bahawa kerajaan nampaknya telah menemukan alat baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menekan pembangkang.
Penggunaan ISA secara berterusan, yang dikutuk masyarakat dalam negeri dan antarabangsa, dari sudut politiknya bukanlah satu kaedah yang sesuai dan tepat. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini sejumlah aktivis dan pemimpin parti pembangkang telah di tahan di bawah Akta Hasutan.
Beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) juga turut menyertai Pakatan Rakyat menyeru supaya kerajaan memansuhkan undang-undang yang diwarisi daripada British itu. Hanya Umno sahaja yang terus mengatakan bahawa undang-undang yang tidak popular tersebut perlu dikekalkan.
Akta Hasutan bagaimanapun dilihat kurang menindas berbanding ISA. Akan tetapi ia dirangka dalam keadaan ia memberikan kuasa mutlak kepada kerajaan untuk menangkap mana-mana musuh politiknya.
Menurut seksyen 4(1) Akta Hasutan, seseorang itu dianggap melakukan kesalahan di bawah undang-undang ini jika beliau berhasrat melakukan, atau membuat persediaan untuk melakukan, atau berpakat dengan orang lain untuk melakukan, apa-apa tindakan yang jika ia dilakukan boleh disifatkan sebagai menghasut.
Jika dibaca seterusnya, sesiapa sahaja akan didapati melakukan kesalahan di bawah undang-undang ini jika beliau mengungkapkan apa-apa perkataan yang disifatkan menghasut, mencetak, menerbit, menjual, menawar untuk menjual, mengedar, atau menerbitkan semula apa-apa penerbitan berbau hasutan atau mengimpot bahan penerbitan berbau hasutan.
Namun begitu, sejauh ini, tidak ada sebarang definasi dan garis panduan yang jelas dan tepat berhubung apa yang disifatkan sebagai hasutan itu.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, yang juga seorang peguam berkata, kekaburan yang terdapat pada undang-undang tersebut memberikan kuasa mutlak kepada pihak berkuasa untuk mendiamkan pembangkang.
"Seseorang itu dengan mudah boleh dijatuhi hukuman bersalah di bawah Akta Hasutan menurut budi bicara hakim (untuk merumuskan sesuatu itu berbau hasutan atau sebaliknya)," katanya pada The Malaysian Insider.
Malik Imtiaz, seorang peguam hak asasi yang terkenal, juga berkata bahawa disebabkan kekaburan tafsirannya, Akta Hasutan dengan mudah boleh digunakan oleh kerajaan untuk menekan musuh-musuhnya.
"Di manakah garis pemisah di antara ekspresi yang bertanggung jawab dengan yang tidak bertanggung jawab jika undang-undang tidak menyediakan garis panduannya. Nampaknya pihak polis mempunyai kuasa untuk membuat rumusan mereka sendiri," katanya.
Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam memberitahu The Malaysian Insider bahawa, melalui Akta Hasutan, kerajaan mendapat keuntungan yang banyak jika membuat tangkapan menerusi akta tersebut berbanding ISA.
"Dengan menggunakan Akta Hasutan, seseorang itu akan dibicarakan secara terbuka di mahkamah dan karajaan akan dilihat melaksanakan apa yang dikehendaki undang-undang.
"Tetapi melalui ISA, peruntukannya yang menghalang seseorang dibicarakan merupakan pelanggaran kepada asas hak asasi manusia dan espek penting demokrasi, justeru rakyat melihat ia suatu penindasan," katanya.
Melihat kepada sejarah Akta Hasutan, ahli akademik terkemuka Farish A Noor berkata, adalah sangat menyedihkan undang-undang yang diwarisi daripada British ini telah digunakan untuk menekan pembangkang.
"Saya fikir, masyarakat awam perlu ingat bahawa Akta Hasutan dicipta oleh kolonial British dan ia digunakan untuk mendiamkan pembangkang nasionalis yang merupakan pejuang kemerdekaan negara ini.
"Amat mengecewakan apabila pemimpin-pemimpin sekarang yang datang dari latar belakang yang sama, telah menggunakan Akta Hasutan untuk mendiamkan pembangkang mereka pula," katanya.
Terjemahan MUHAMMAD NOR ABDUL SAMAD
sumber: detikdaily
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan