Perluaskan saringan penyakit

INFLUENZA A (H1N1), meningitis, pericarditis. Yang pertama pada mulanya dikenali sebagai selesema babi - tetapi atas sebab tertentu istilah itu tidak digalakkan penggunaannya.

Alasannya virus H1N1 ini adalah strain baru yang mempunyai campuran genetik virus selesema yang berasal daripada unggas, babi dan manusia. Keunikannya itu menyebabkan ia tidak sesuai dirujuk kepada babi semata-mata.


Bagaimanapun di Malaysia, langkah berjaga-jaga dan pencegahan amat tertumpu kepada industri penternakan babi.

Manakala dua istilah yang menyusul selepas H1N1 merujuk kepada radang pada selaput, iaitu yang satu berkaitan otak dan keduanya mengenai jantung.

Pada hari yang sama munculnya istilah pericarditis, dilaporkan juga perihal leptospirosis. Khabar mengenainya datang dari depot pendatang tanpa izin di Pulau Pinang. Sekumpulan warga asing di situ diserang penyakit tersebut.

Istilah itu merujuk kepada penyakit yang diakibatkan kencing tikus sehingga menyebabkan satu nyawa melayang.

Disebut juga sejak dua tiga tahun kebelakangan ini perkataan chikugunya muncul, selain kemunculan secara aktif penyakit-penyakit kuno seperti tibi dan kolera. Kedengaran juga beberapa tahun lalu perkataan Japanese Encephalitis, virus nipah, coxsackie, sistem pernafasan akut.

Malaria dan denggi pula yang dikategorikan sebagai penyakit bawaan nyamuk iaitu tiruk dan aedes belum menunjukkan tanda-tanda akan reda sepenuhnya. Setiap hari ada sahaja kes baru dilaporkan biar pun usaha menanganinya giat dijalankan.

Kemunculan virus baru, manakala aktifnya penyakit-penyakit lama sebenarnya adalah amaran kepada dunia betapa kecanggihan teknologi sebenarnya sarat dengan keterbatasan.

Paling jelas apabila perubatan moden dengan pelbagai teknologi canggih menggunakan sistem teknologi maklumat yang cuba menyaingi keunikan akal ciptaan Tuhan masih tidak mampu menyekat kemunculan penyakit yang dikenali sejak ratusan tahun dulu.

Penyakit tibi misalnya antara contoh paling jelas. Ada trend peningkatan bagi jumlah pesakit yang dijangkiti penyakit itu. Perkembangan lain tibi juga menunjukkan percambahan mangsa apabila Kajian Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia mendapati golongan berusia bawah 40 tahun kini turut diserang tibi.

Penemuan terbaru itu berbeza dengan trend penyakit itu dahulu yang hanya tertumpu kepada usia 4 hingga 60 tahun. Begitu juga lokasi popular penyakit itu yang menyerang kawasan-kawasan urban seperti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor selain mengekalkan negeri kurang membangun di Sabah dan Sarawak.

Itu perihal tibi yang mengiyakan fakta betapa kecanggihan teknologi belum tentu dapat menyekat atau meminumkan penularan penyakit yang satu ketika dulu muncul ketika dunia masih mundur.

Penyakit-penyakit kronik lain seperti buah pinggang, diabetes dan HIV pula sentiasa meniti di bibir dan tiada tanda-tanda penyusutan. Angka pesakit semakin meningkat begitu juga jumlah kematian manakala bayi-bayi yang mewarisi 'dosa' penyakit itu juga menjenguk dunia tanpa ada hadnya.

Apa sebenarnya di sebalik kemunculan siri penyakit yang secara tiba-tiba menggemparkan dunia, manakala penyakit yang ada sebelum ini tidak ada tanda akan surut.

Hakikatnya dunia moden dan teknologi canggih mendorong manusia lebih kreatif mencanai otak untuk 'menipu' sekali gus 'menyubur' dan menyebar penyakit-penyakit seperti itu.

Dalam kes Malaysia, peningkatan penyakit tibi ada kaitan dengan kemasukan pekerja asing. Negara memperkenalkan peraturan serta syarat saringan kemasukan pekerja asing.

Tetapi pematuhannya sangat dipersoalkan. Ada sahaja laporan pekerja asing yang masuk ke negara ini tanpa menjalani saringan tetapi dokumen kesihatannya lengkap.

Sebab itu, apabila saringan kedua dijalankan di sini maka terbongkarlah rahsia bahawa mereka membawa sekali penyakit-penyakit yang satu ketika dulu dilaporkan hampir pupus di negara ini.

'Manipulasi otak' yang tidak boleh dikesan oleh teknologi canggih mendorong kepada penyebaran penyakit kronik dan apabila dikesan virusnya telah pun berjaya disebarluaskan di negara ini.

Begitu juga dengan dunia moden dan peralatan canggih yang semakin mendorong manusia untuk berasa selesa dan bermalas-malas. Lantaran itu muncul penyakit darah tinggi, lemah jantung, kencing manis dan sebagainya yang berkait rapat dengan gaya hidup moden.

Jika suasana pagi di kampung-kampung puluhan tahun lalu dihiburkan dengan bunyi lesung batu berlaga dan hayunan tangan memberus pakaian basuhan tetapi kini semuanya itu lupus.

Istilah membanting tulang empat kerat kini hanya terbatas di sektor tertentu yang kebanyakannya dimonopoli pekerja asing.

Keengganan warga tempatan menyertai sektor tersebut pula bukan saja mewujudkan budaya selesa di kalangan mereka malah mengundang masuknya penyakit-penyakit berjangkit yang dibawa oleh pekerja asing.

Begitu juga dunia moden yang menuntut manusia untuk bersaing bagi memastikan kelangsungan hidup. Himpitan otak yang terpaksa bekerja keras meloloskan diri daripada cengkaman kehidupan menyebabkan tekanan perasaan.

Ditambah pula dengan masalah kehidupan seperti perceraian, gangguan mental dan pelbagai desakan menyebabkan siri penyakit menjadi semakin panjang.

Betapa cabaran dunia untuk berhadapan dengan siri penyakit ini amat besar dan begitu menguji minda. Paling merumitkan apabila teknologi moden gagal membendung, jauh sama sekali membanteras penyakit-penyakit kuno. Tentunya keadaan menjadi bertambah sulit apabila muncul strain baru yang menggabung virus lama dan baru sehingga menuntut satu penemuan lain.

Kesemuanya itu memburukkan lagi keadaan. Sebab itu dalam menangani kebimbangan antarabangsa dan domestik, peranan yang perlu dimainkan tidak terbatas kepada teknologi perubatan dan peralatan moden semata-mata.

Aspek pembersihan jiwa, menikmati hidup dengan berpada, selain menghilangkan sifat dengki dan tamak perlu menjadi asasnya.

Jika usaha penyaringan di lapangan terbang giat dilaksanakan untuk membendung virus H1N1, ada langkah lain lebih penting untuk dilaksanakan dalam kita berhadapan dengan siri penyakit yang tidak boleh diredakan lagi.

Penyaringan dalaman di peringkat jiwa dan kesungguhan untuk memperbaiki kehidupan menggunakan minda yang sihat antara saringan yang perlu diberi keutamaan.

sumber: detikdaily.net

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.