Paksu Mail pemimpin berjiwa rakyat


KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) - PAS dan kerajaan Kelantan kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat apabila Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaacob, 60 meninggal dunia kira-kira jam 5.50 pagi tadi.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Mail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dirawat sejak 26 April.

Seminggu selepas dimasukkan ke wad beliau dipotong sebelah kakinya memandangkan keadaan penyakitnya semakin menular.

Allahyarham menderita penyakit gaot sejak kembali dari Makkah setahun lalu.

Bagaimanapun penyakitnya mulai menular sehingga menyebabkan beliau tidak dapat berjalan. Ekoran itu beliau dihantar ke Hospital Kuala Krai oleh keluarga.

Selepas itu beliau dipindahkan pula ke HRPZ (II) untuk mendapat rawatan lanjut.

Pada persidangan Dun Febuari lalu beliau menghadirinya biar pun badannya kelihatan agak kurus berbanding sebelum ini.

Ketika di wad beliau dikesan pula terdapat masalah jantung sehingga dipindahkan ke wad CCU.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kematian Paksu Mail merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan kerajaan negeri.

Katanya, kematiannya pada hari Jumaat mendapat fadhilat yang besar dan ditambah pula telah menderita sakit agak lama.

"Sebelum ini ketika saya menziarahinya sekembali daripada menggerjakan ibadat umrah beliau memberitahu mengidap sakit gaot, darah tinggi dan jantung.

"Kita doakan semoga Allah mengampunkan segala kesalahan beliau dan ditempatkan rohnya bersama orang yang soleh.

"Bagi ahli-ahli keluarganya hendaklah kita banyak-banyak bersabar kerana hari ini orang lain, mungkin esok lusa kita pula yang dipanggil mengadap Allah," katanya ketika dihubungi di sini.

Timbalan Pesurujaya PAS Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, Paksu Mail merupakan seorang pemimpin veteran parti yang banyak berjasa memperkukuhkan pengaruh PAS di kawasan Kuala Krai.

Katanya, ketika PAS kehilangan kuasa di Kelantan pada 1978 beliau telah banyak membantu membangkitkan semula pengaruh PAS di kawasan hulu.

Menurutnya hasil gerak kerjanya membolehkan PAS bertapak semula di Manek Urai pada 1986 setelah merampas kerusi tersebut daripada Umno.

Ditanya persediaan menghadapi pilihan raya kecil katanya, Badan Perhubungan PAS Kelantan akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin bagi membincangkan isu tersebut.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, Paksu Mail memang dikenali di kalangan masyarakat kampung kerana mudah mesra dan senang didekati.

Katanya, Allahyarham benar-benar seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

"Biar pun tidak mempunyai pendidikan tinggi namun beliau lebih disenangi masyarakat kerana pergaulannya luas tanpa mengira usia. Beliau mudah ditemui di mana sahaja," katanya.

Jenazahnya dibawa pulang ke Manek Urai yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Kota Bharu pagi tadi. Allahyarham akan disembahyangkan selepas Jumaat ini yang dijangka diimamkan Menteri Besar.

Turut menzirahi di rumahnya di Kampung Manek Urai lama pagi tadi, anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan pemimpin PAS Kuala Krai.

Paksu Mail antara Adun yang paling lama di Kelantan. Beliau memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986 mengalahkan Dato� Wan Zaid Wan Abdullah.

Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan. Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan calon PAS di Dun Manek Urai ketika itu diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim.

Jenazahnya akan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Manek Urai Lama yang terletak tidak jauh dari rumahnya. - Al Fatihah. - mj _

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.