Tiada pemenang dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, malah ia belum cukup untuk dilihat sebagai referendum terhadap Perdana Menteri Najib Razak sungguhpun Barisan Nasional menawan semula kawasan pengundian ini. Demikianlah pandangan pengkaji politik, Bridget Welsh semasa mengulas keputusan PRK Hulu Selangor.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Bridget Welsh (gambar kiri) yang juga Profesor Madya di Singapore Management University berkata, walaupun BN memenangi PRK ini, namun ia satu kemenangan yang "kurang cantik", khususnya apabila Najib menongkah arus tradisional dan turun sendiri ke padang untuk menarik undi dengan menabur gula.
"Sememangnya, anda boleh mengatakan menang tu menang-lah," kata Bridget Welsh. Pada awal PRK Hulu Selangor, Bridget Welsh menganggap ia sebagai satu referendum terhadap prestasi Najib dalam menguruskan ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kempen untuk PRK ini, beliau menganggap ia "belum cukup untuk dilihat sebagai referendum".
Calon MIC-BN P.Kamalanathan menewaskan calon PKR-PR Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. PRK yang mencatat kadar pengundian 75.87% ini mempunyai 731 undi rosak.
Pakatan Rakyat perlu muhasabah
Selain itu, Bridget Welsh berpendapat bahawa Pakatan Rakyat harus mengambil iktibar dari PRK ini. Menurut Bridget, PR harus berkempen dalam satu pasukan, malah dalam PRK ini, PR lebih berada pada kedudukan "mengawal" (defend), dan agak perlahan langkahnya pada peringkat permulaan. Beliau menjangkakan keadaan mungkin memihak kepada PR seandainya tempoh berkempen dipanjangkan.
Pada pandangan Bridget, sungguhpun strategi BN untuk menyerang secara peribadi terhadap Zaid dan menabur gula kelihatan berkesan, namun taktik ini telah menjadikan kemenangan ini tercalit. Beliau menganggap Zaid Ibrahim seorang calon yang baik dan berwawasan, tetapi lemah dalam strategi kempennya.
"Saya merasakan tiada pemenang yang sebenarnya dalam PRK ini. Malah pengundi Hulu Selangor juga bukan pemenang yang sebenar. Walau bagaimanapun, saya masih dalam pengamatan," katanya.
Pada 24 April, PM Najib menjanjikan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada SRJK (c) Rasa, pembinaan 200 unit rumah kos rendah di Hulu Bernam dan peruntukan RM25 ribu kepada dua pertubuhan Cina di Hulu Bernam, seandainya BN menang.
Pada 23 April, Najib mengumumkan pembayaran pampasan tanah atas pembelian tanah sebanyak RM 50 ribu kepada 100 orang bekas peneroka FELDA Sungai Buaya, yang membawa kepada jumlah RM5 juta. Setiap daripada mereka memperolehi RM1000 pada peringkat awal, dan ini merupakan hasil penantian 15 tahun oleh mereka.
Selain itu, Najib mengumumkan pembinaan susur masuk dan keluar Sungai Buaya di Lebuhraya Utara-Selatan yang bernilai RM85 juta, yang bakal dimulakan pada tahun depan dan dijangka akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.
PRK Ijok?
Apa yang menarik, PRK Hulu Selangor agak menyerupai PRK Ijok pada tahun 2007 dalam banyak perkara. PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi turun ke kawasan pengundian tiga hari sebelum mengundi, apabila keadaan agak mencemaskan buat pihak BN. Apa yang berbeza, bekas PM Mahathir Mohamad tidak dibawa bersama. Namun, kempen BN yang diketuai Najib pada ketika itu juga mengerahkan jentera kerajaan sepenuhnya.
Dalam kedua-dua PRK ini, budaya rasuah, ugutan, samseng bermaharajalela. Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak memperlihatkan "keberkecualiannya", apabila masalah senarai daftar pengundi, pertukaran pusat mengundi masih berlaku.
Jika dilihat kejadian keganasan yang berlaku, PRK Hulu Selangor mungkin gagal menandingi PRK Ijok, kerana calon PKR ketika itu, Khalid Ibrahim dibaling dengan air botol semasa berkempen. Malah pada hari penamaan calon, Naib Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Khairy Jamaluddin mengetuai penyokong BN untuk bertelagah dengan PR. Poster "Sedia Gempur" kelihatan di mana-mana, malah berlakunya perang membaling air botol dan pertembungan fizikal.
Kedua-dua PRK ini memperlihatkan kecenderungan pengundi Cina untuk menyokong PKR. Walaupun PKR tidak menang di Pekan Ijok, kawasan pengundi Cina majoriti, namun PRK hanya tewas nipis, memperlihatkan pola pengundi Cina yang menyebelahi PKR.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. -MR
Ulasan GB
Begitulah, tajuk asalnya "Bridget Welsh: Tiada pemenang dalam PRK Hulu Selangor" dan GB mengubahnya dengan harapan semua pihak mencelikkan matanya terhadap PRK Ijok dimana PKR tewas di dalam PRK tetapi merampasnya semula di dalam PRU.
Di dalam PRK amat mudah pengundi diperdaya dengan pelbagai projek dan itupun hanya mampu memperdaya pengundi-pengundi yang belum celik mata terhadap kebejatan dan kebobrokan UMNO BN.
PR akan bangkit untuk merebut seinci demi, sejengkal demi sejengkal kerana PRK Hulu Selangor menyaksikan UMNO BN sebenarnya lemah. Kemenangan yang bersandarkan kepada budaya rasuah, ugutan, samseng serta memperkudakan SPR adalah kemenangan yang rapuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan