Kelantan Fiesta: Pemuda PAS kecam sikap Umno

Wartawan Kita


KOTA BHARU, 17 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dan mengecam sikap yang ditunjukkan oleh Umno negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelang majlis perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam tadi.



Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat yang diyakini bahawa Umno Kelantanlah yang bertanggungjawab untuk tidak membenarkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.



Katanya, ini telah melanggar persetujuan yang dibuat melalui rundingan lebih awal bahawa Menteri Besar Kelantan selaku tuan rumah akan menyampaikan ucapan di majlis yang akan disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja itu.



Selain itu, ujarnya sikap penganjur Red Carpet yang mengambil sikap menggantung sepanduk menguar-uarkan kempen 1Malaysia dan Perdana Menteri secara tidak langsung membelakangkan Pemangku Raja.



Ekoran daripada sikap Umno dan penganjur Kelantan Fiesta 2010 itu, beliau yang juga Adun Mengkebang berkata, Menteri Besar Kelantan membatalkan hasrat untuk hadir dan kerajaan negeri menarik diri daripada menjadi penganjur.



Beliau menambah, di dalam masa yang sama Pemangku Raja juga memaklumkan tidak dapat hadir dan akhirnya Perdana Menteri sendiri membatalkan hasrat untuk hadir dan bergegas pulang ke Kuala Lumpur jam 10.30 malam.



“DPPNK hairan dengan sikap Umno yang begitu takut dengan ucapan yang akan disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan,” ujarnya dalam satu kenyataan.



Beliau mempersoalkan atas sebab apakah mereka terlalu bimbang untuk mendengar ucapan tersebut atau adakah Umno bimbang kerana mereka sedar mereka telah melakukan banyak kesalahan termasuklah melesenkan judi sukan dan menafikan royalti minyak sebagai hak rakyat Kelantan.



Tambahnya, DPPNK difahamkan jumlah kehadiran penonton sangat mengecewakan pada malam tersebut.



“Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada Umno bahawa rakyat Kelantan masih teguh bersama kepimpinan YAB Menteri Besar dan menolak sikap politiking keterlaluan sehingga tidak menghormati Kerajaan Negeri Kelantan selaku tuan rumah,” katanya lagi.



Justeru, tambahnya DPPNK berpandangan perlunya sikap berhati-hati dalam menjalinkan sebarang kerjasama dengan kerajaan Pusat di dalam apa jua penganjuran program agar insiden seperti itu tidak berulang.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.