KSU nafi dakwaan Musa KDN campuri urusan PDRM


TERKINI @ 03:14:02 PM 08-09-2010
September 08, 2010
KUALA LUMPUR, 8 Sept — Kementerian Dalam Negeri hari ini menafikan pihaknya mencampuri urusan polis sebagaimana didakwa oleh Tan Sri Musa Hassan yang akan bersara daripada jawatan Ketua Polis Negara minggu depan. Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, pembabitan pihaknya dalam mesyuarat mingguan dengan polis untuk membincangkan pengagihan sumber dan menyemak fail kes kemungkinan dianggap sebagai satu bentuk campur tangan.
“Kadangkala syor-syor Polis Diraja Malaysia tidak boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Dalam Negeri, jadi kami tidak boleh dianggap sebagai campur tangan (dalam urusan PDRM),” kata Mahmood selepas menyaksikan majlis serah tugas Musa kepada Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman hari ini.
“Maka di dalam hal ini, urusan pengurusan perkhidmatan utama adalah tanggungjawab PDRM dan isu campurtangan di dalam perjalanan urusan PDRM oleh kementerian tidak wujud sama sekali,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan PDRM menjalankan tugas dan antara pihak ketiga itu adalah orang dari kementerian, orang luar, orang yang ada kepentingan dan orang yang suka buat kacau.
Mahmood berkata di peringkat kementerian, mesyuarat Pengurusan Logistik PDRM telah diadakan pada setiap hari Rabu bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan sumber manusia, pengurusan dan pembekalan PDRM.
Menurutnya ini bagi memastikan segala keperluan PDRM diberikan perhatian sewajarnya sejajar dengan penambahbaikan perkhidmatan PDRM.
“Sekiranya sesuatu permintaan itu tidak dapat dipenuhi, ianya kelihatan seperti KDN campur tangan dalam pengurusan PDRM.
“Walau bagaimanapun setiap permintaan dan perancangan PDRM seperti mana-mana jabatan kerajaan yang lain adalah tertakluk kepada dasar kerajaan, prosedur kewangan serta lain-lain peraturan yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata walaupun isu tamat kontrak Musa tidak dimaklumkan secara bertulis, namun ia telah dimaklumkan secara lisan seminggu sebelum tarikh pengumuman KPN yang baru dan turut dimaklumkan sekali lagi secara lisan pada hari yang sama.
“Urusan pelantikan dan penamatan perkhidmatan Pegawai Kanan Polis perlu melalui Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri.”
“Seterusnya dipertimbangkan untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong melalui syor Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu, Musa enggan mengulas apabila ditanya mengenai penafian KDN itu.
Ketika diminta mengulas cadangan pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua supaya memfailkan laporan rasmi mengenai campur tangan pihak ketiga itu, Musa berkata beliau akan mempertimbangkan cadangan itu apabila menjadi orang awam secara rasminya pada 13 September ini.
Dalam sebuah laman web media, Tian Chua dilaporkan berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi Musa mengeluarkan kenyataan seumpama itu yang dilihat cuba membidas pihak tertentu dan melepaskan dirinya daripada beberapa isu.
Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 September ini selepas 41 tahun bersama pasukan PDRM itu.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.