Najib Perlu Buktikan Teo Menyampaikan Tazkirah



Jawatankuasa surau nafi dakwaan Najib MP Teo sampaikan tazkirah

Pengerusi jawatankuasa pengurusan Surau Al-Huda Azemi Ahmad yang dipecat Mais menyangkal dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching menyampaikan “tazkirah” ketika mengadakan kunjungan ke premis itu akhir bulan lalu.

Azemi memberitahu The Malaysian Insider bahawa perdana menteri memperoleh maklumat yang tidak tepat kerana Teo tidak sama sekali menyentuh soal-soal berkaitan dengan agama.

“Jelas, beliau (Najib) memperoleh maklumat yang salah. Teo hanya bercakap mengenai skim pinjaman pendidikan yang disediakan oleh kerajaan negeri Selangor untuk memasuki universiti awam.

“Menyampaikan tazkirah bermakna beliau kena sentuh isu-isu agama, untuk bercakap mengenai Islam. Beliau tidak berbuat demikian,” kata Azemi ketika dihubungi hari ini.

Justeru tegas beliau, Teo dan jawatankuasa pengurusan tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Ketika berucap di Gombak sempena majlis berpuasa semalam, Najib bertegas Teo telah melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan apabila beliau memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang pada 22 Ogos lalu.

Najib berkata, fatwa yang dikeluarkan Mac lalu adalah jelas bahawa bukan Islam mesti memperoleh kebenaran daripada masjid dan mengenakan pakaian sopan ketika memasuki kawasan masjid dan surau.

Teo memasuki ruang solat surau itu pada 22 Ogos lalu tanpa mengenakan tudung tetapi menegaskan beliau berbuat demikian dengan kebenaran pengurusan surau.

Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, Teo telah melakukan satu lagi kesalahan dengan menyampaikan tazkirah ketika kunjungannya.


Azemi juga menegaskan bahawa Teo tidak melanggar fatwa ekoran kegagalannya mengenakan tudung apabila memasuki ruang solat surau berkenaan.

“Ia hanya sopan untuk memakai tudung. Beliau bukan Islam, jadi tidak semestinya wajib bagi beliau memakai tudung... ia hanya pilihan, dan digalakkan,” katanya.

“Sebagaimana saya kata tadi, sebagai seorang bukan Muslim, ia bukan satu kemestian. Ia satu obligasi dan wajib bagi Muslim memakainya,” kata beliau.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga tidak bersetuju dengan Najib bahawa Teo telah melanggar fatwa.

Kata beliau, fatwa itu dengan jelas menyebut bahawa bukan Islam boleh memasuki kawasan masjid.

“Saya tidak akan fokus pada soal tazkirah kerana saya tidak hadir ketika Teo menyampaikan ucapan. Tetapi sudah pasti, sebagaimana saya sebutkan sebelum ini, surau tidak harus digunakan untuk tujuan politik.

“Tetapi, fokus saya sekarang ialah sama ada bukan Islam boleh memasuki masjid, dan jawapannya ialah Ya,” kata beliau.

Mengenai tindakan Teo tidak mengenakan tudung atau skarf, Asri berkata, ramai ahli Umno juga berbuat demikian.

“Ia bukan satu kesalahan dalam kes Teo kerana beliau bukan seorang yang beragama Islam,” kata beliau yang berpendapat bahawa mereka yang memasuki masjid perlu menghormati dengan menutup aurat.


“Seperti juga, jika saya hendak pergi ke pejabat perdana menteri atau pejabat menteri besar, saya perlu mengenakan pakaian yang sopan untuk menghormati budaya tempat itu. Ini fahaman bersama,” kata Asri.

Bagaimanapun Asri menekankan bukan kesalahan Teo kerana tidak mengenakan skarf ketika berada di Surau Al-Huda.

“Ia kesalahan jawatankuasa masjid, bukan Teo. Mereka sepatutnya memaklumkan beliau, dan jangan mengharapkan beliau mengetahuinya kerana beliau bukan beragama Islam.

“Sebagai umat Islam dan penyelia masjid, jawatankuasa seharusnya memaklumkan kepada beliau,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengadakan taklimat kepada semua jawatankuasa surau dan masjid untuk menentukan prosedur yang betul bagi mengelakkan salah faham seumpama itu berulang.

“Siapa tahu, kemungkinan mereka mengubah fatwa sekali lagi kerana mereka melihat amalan yang berbeza di luar negara. Mereka mungkin melihat (Presiden AS) Barack Obama memasuki masjid dan mereka mungkin mengubah fatwa.

“Kita perlu ada banyak keseragaman dan kita perlu menasihatkan jawatankuasa masjid tentang apa yang mereka perlu lakukan,” katanya lagi.

Bagaimanapun Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria bersetuju dengan Najib bahawa Teo telah melanggar fatwa yang sedia ada keputusan dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan terpakai kepada semua termasuk bukan Islam.

“Ia satu undang-undang dan semua orang terikat dengannya. Dalam kes ini, beliau bertindak bertentangan dengan fatwa kerana beliau tidak menutup rambut ketika masuk ke surau dan beliau juga menyampaikan ucapan di ruang solat,” kata beliau.

“Bukan Islam boleh masuk masjid, tetapi mereka juga mesti menghormati peraturan dan kesucian (premis). Ini bermakna mereka mesti tutup aurat,” tambahnya. -TMI

Najib: MP Serdang langgar fatwa masuk surau, beri tazkirah

GOMBAK, 5 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Ahli Parlimen DAP Serdang Teo Nie Ching telah melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan apabila beliau memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang bulan lalu.

Najib berkata, fatwa yang dikeluarkan Mac lalu adalah jelas bahawa bukan Islam mesti memperoleh kebenaran daripada masjid dan mengenakan pakaian sopan ketika memasuki kawasan masjid dan surau.

Dengan merujuk kepada fatwa, Najib berkata pelancong bukan Islam boleh memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mereka memperoleh kebenaran daripada pengurusan selain memastikan tindakan mereka tidak bertentangan dengan kesucian masjid.

Teo memasuki ruang solat surau itu pada 22 Ogos lalu tanpa mengenakan tudung tetapi menegaskan beliau berbuat demikian dengan kebenaran pengurusan surau.

“Garis panduan ini mesti kita patuhi sebelum memasuki masjid,” kata Najib ketika berucap pada majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, Teo telah melakukan satu lagi kesalahan dengan menyampaikan tazkirah ketika kunjungannya.

“Hanya orang Islam dibenarkan menyampaikan tazkirah di masjid atau surau.

“Jika bukan Islam memasuki sebuah masjid dan mula memberikan tazkirah kepada Muslim, ia bertentangan dengan ajaran Nabi,” kata Pengerusi BN ini.


Najib yang juga Presiden Umno menambah, Sultan Selangor dan enakmen pentadbiran Islam negeri juga melarang bukan islam daripada memasuki ruang solat.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah menghantar surat amaran kepada Teo awal minggu ini.

Menurut Mais tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor yang menitahkannya menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Dalam kenyataannya, Teo pula menjelaskan kehadirannya di Surau Al-Huda hanya bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan negeri bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberi sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” katanya.

Teo turut menegaskan bahawa lawatannya ke surau berkenaan tidak berniat politik dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.

Beberapa pemimpin PKR dan PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam. -TMI


Ulasan GB

1) Najib berdusta atau mendapat maklumat dari pengampunya yang pendusta, menuduh Teo menyampaikan TAZKIRAH. Najib dan penuduhnya perlu buktikan Teo bertazkirah. Saya sendiri tidak yakin Najib tahu apakah pengertian tazkirah?

2) Najib perlu menasihat dan mengarahkan dahulu isteri kesayangannya, Rosmah, untuk menutup aurat secara sempurna sebelum meminta wanita bukan Islam berbuat demikian.

3) Begitu juga halnya mufti yang bernama Harussani, yang turut dilihat cenderung untuk membela pemimpin UMNO, membuat kenyataan berikut:

beliau (Teo) tidak menutup rambut ketika masuk ke surau dan beliau juga menyampaikan ucapan di ruang solat

Nasihatkan dulu wanita-wanita UMNO terutama isteri PM tersebut, jika anda tidak mahu digelar sebagai ulamak ussu' - ulamak pengampu yang busuk yang hanya memandang kesalahan orang lain tetapi mendiamkan diri terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Ternyata mereka dari UMNO ini dari PM sampai ke bawah hanya cuba mencari political mileage dari isu Teo ini. Dan akhirnya mendedahkan kebebalan UMNO terhadap agama sendiri dan populariti Teo yang semakin menjulang tinggi.

Rakyat beragama Islam semakin bersimpati dengan nasib Teo dan semakin meluat dengan UMNO yang jahil murakab.

Serdang - akan menyaksikan di dalam pilihanraya akan datang, UMNO semakin terkangkang!

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.