
Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos 2010 membenarkan rayuan Tian Chua terhadap sabitan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi berhubung kesnya, iaitu kesalahan menggigit anggota polis. Ketiga-tiga orang panel hakim sebulat suara menyetujui bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi dibuat tanpa mempertimbangkan semua bukti.
Pertikaian kemudiannya dilanjutkan kepada hukuman denda RM2000, memasuki babak "perkiraan matematik", sama ada hukuman ini memenuhi takrifan "tidak kurang daripada RM2000" dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, yang bakal menjurus kepada kehilangan hak kelayakan Tian Chua sebagai ahli parlimen.
Keadaan semakin keruh apabila calon mula dicadangkan untuk menyarung jersi PKR, belumpun dikesahkan sama ada kerusi Batu sudah dikosongkan mahupun tidak, lebih-lebih lagi ia harus ditentukan speaker (dewan perundangan) ataupun mahkamah (sistem kehakiman)?
Pertikaian yang hilang fokus
Namun demikian, untuk watak utama kes ini, fokus isu telah dikaburi, malah pertikaian dan perbincangan tersebut telah terpesong daripada isu pokok.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 11 Julai 2010, Tian Chua melihat Perkara 48 sebagai satu undang-undang yang "menjinakkan politik mobilisasi" di tanahair kita. Lantaran daripada Perkara 48, wakil rakyat tidak berani untuk berdemonstrasi di jalan raya, malah tidak berani untuk berucap dalam ceramah yang tidak mempunyai permit. Mereka sekadar bersuara dalam dewan perundangan, dengan "imuniti" yang diperuntukkan untuk melindungi wakil rakyat.
Tian Chua menjelaskan, "Pendirian PKR adalah untuk mencabar (sekatan) ini. Tiada wakil rakyat yang boleh berkata, 'saya tidak berani untuk hadir ceramah yang tidak mempunyai permit'."
Pemimpin politik yang memahat ingatan orang ramai dengan imej "pejuang jalan raya" sejak zaman reformasi tahun 1998 ini menyifatkan Perkara 48 sebagai "undang-undang zalim", kerana menjadikan wakil rakyat pantang untuk muncul di dalam himpunan rakyat, dan melaungkan suara rakyat. Ekoran daripada itu, pembangkang gagal menggembleng sokongan rakyat secara berkesan.
Bagaimanapun, Tian Chua menganggap akta ini telah hilang kesannya secara beransur-ansur, apabila pemimpin pembangkang mengambil pendekatan demonstrasi jalan raya untuk beberapa tahun kebelakangan ini.
Pindaan diperlukan...
Namun demikian, ia bukan bermakna wakil rakyat kebal daripada pelucutan kelayakan sebagai seorang ahli dewan perundangan. Tian Chua mencadangkan agar Perkara 48 ini dipinda supaya hukuman pelucutan kelayakan wakil rakyat dihadkan kepada kesalahan jenayah seperti pembunuhan, pecah amanah, rasuah, pencurian dan sebagainya.
PPPA, OSA, ISA malah seksyen 27 Akta Polis 1967 telah hangat diperbincangkan, malah dikategorikan sebagai "akta zalim". Secara perbandingannya, Perkara 48 ini jarang dipertikaikan sebagaimana akta tersebut.
"Tiada pertikaian (terhadap undang-undang ini) kerana mangsanya ahli dewan perundangan sahaja. Ia tidak memberi kesan kepada orang awam." Pertikaian Tian Chua terhadap Perkara 48 pernah dipersoalkan sebagai "terhantuk baru tengadah". Beliau menjelaskan, undang-undang ini diperbincangkan semasa ia menimpa Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), dan juga Wee Choo Keong (bekas ahli parlimen DAP dan PKR). Menurut Tian Chua, media memberi satu persepsi bahawa Lim dan Wee membincangkan Perkara 48 ini untuk kepentingan diri, kerana mereka ingin bertanding dalam pilihan raya.

Untuk Tian Chua, keadaan ini menunjukkan bahawa masalah pokok dalam isu ini telah diputarbelitkan. "Sebaliknya, kita membincangkan sama ada Barisan Nasional mahu PRK diadakan atau tidak. Kuasa hakim untuk menentukan PRK atau kuasa speaker. Atau (bandingkan dengan) kes Fan Yew Teng (bekas wakil rakyat DAP)... Seolah-olah kita terlupa layanan yang tidak adil ke atas Fan Yew Teng," kata Tian Chua.
Pengerusi DAP, Karpal Singh, yang juga seorang peguam veteran, tampil memberi peringatan dengan merujuk kepada kes Fan Yew Teng, pada saat-saat Tian Chua melegakan nafas setelah dijatuhkan hukuman denda RM2000. Pada tanggapan awal pihak Tian Chua, hukuman denda tersebut tidak cukup untuk melucutkan kelayakannya.
Kenyataan Karpal Singh ini menimbulkan rasa tidak senang di kalangan Pakatan Rakyat, khususnya pihak PKR, yang menganggap Karpal sengaja berbuat demikian kerana beliau tidak begitu senang dengan Tian Chua sejak dahulu lagi. Malah, ada yang mengimbas sejarah sehingga lembaran PRK Lunas, yang menyaksikan bagaimana Tian Chua mengugut untuk meletak jawatan, seandainya DAP tidak memberi laluan kepada calon Parti Keadilan Nasional (ketika itu) untuk bertanding.

Tian Chua menambah, "Ini mungkin pendirian beliau. Saya tidak perlu untuk meneka apakah motif di sebaliknya. Saya balik kepada titik asal. Seandainya Pakatan Rakyat memperolehi majoriti dua pertiga, atau kami memerintah, kami harus memikirkan cara untuk meminda perlembagaan dalam dewan parlimen, supaya ahli dewan dapat memainkan peranan mereka secara berkesan."
"Saya tidak berniat untuk menjelaskan, seandainya hakim menurunkan hukuman denda tersebut kepada RM1999, maka selesailah masalah ini. Betul beliau selesaikan masalah, tetapi jelas, mahkamah telah dipolitikkan. Saya tidak berniat untuk menjadikan ini sebagai fokus," jelasnya.
Bahagian pertama: Boikot media: PKR perlu lindungi diri, Tian Chua
*Wawancara bersama Tian Chua ini dijalankan oleh Chan Wei See dan Lim Hong Siang, di pejabat MerdekaReview pada 11 Julai 2010, dalam bahasa Cina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan