PILIHAN RAYA Bukit Gantang ini dilihat begitu bermakna kerana ia boleh mencetuskan satu bentuk pemikiran yang berbeza bagi berdepan dengan pi lihan raya lain. Ia juga mencetuskan tekanan dan kehendak rakyat Perak untuk dibubarkan Dun. Ahli Parlimen baru bagi Bukit Gantang, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin mengupas perkara ini kepada Intan Abdullahdi kediamannya di Kampung Sungai Rokam, Ipoh, sehari selepas dinobatkan sebagai pemenang pilihan raya kecil kawasan itu 7 April lalu.
Bagaimana Dato’ Seri melihat ‘mood’ pengundi Melayu dalam keputusan pilihan raya kali ini?
DATO' SERI IR MOHAMAD NIZAR: Secara keseluruhannya, keputusan itu membayangkan bahawa rakyat Perak meletakkan kekecewaan mereka. Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ini rakyat telah memilih Pakatan Rakyat. Pada saat akhir tarikh penamaan calon memang ‘mood’nya itu adalah menyokong Pakatan Rakyat.
Tetapi pengundi Melayu ini mereka termakan juga dengan beberapa propaganda Umno-BN yang mencerminkan bahawa mereka ini payah lagi hendak berubah. Jadi saya nampak bahawa kami kena bekerja kuat untuk mengalihkan pandangan supaya kita dapat ubah persepsi mereka terhadap Pakatan rakyat ini.
Yang keduanya, ia juga mencerminkan kejumudan masyarakat di Bukit Gantang itu sendiri kerana ramai anggota masyarakat Melayu masih jumud dan tidak terbuka. Pemikiran lama masyarakat Melayu masih menebal. Faktor yang menyebabkan keadaan ini akan dikaji. Antaranya termasuklah maklumat yang tidak sampai, masih dikongkong dengan pemikiran lama oleh pimpinan Umno, tidak dapat akses kepada maklumat yang betul. Ini menyebabkan mereka jumud dan tidak terbuka.
Tetapi pada masa yang sama, Pakatan Rakyat memperolehi sokongan yang luar biasa daripada masyarakat bukan Melayu. Apakah ini satu lonjakan?
Ini sememangnya telah dijangka pada peringkat awal kerana ‘mood’ orang Cina di seluruh negeri Perak dan ‘mood’ orang India ini mereka mahukan perubahan dan salah satu daripada manifestasi perubahan itu adalah dengan mengundi Pakatan Rakyat. Yang itu bukan hanya di Bukit Gantang, malah keseluruhannya.
Jadi, Bukit Gantang ini merupakan kemuncak apabila mereka memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat, yakni kepada PAS sendiri sepertimana dijangka pada peringkat awal lagi sokongan ini. Cumanya luar biasa ini dari segi sokongan itu memuncak itu oleh kerana ada faktor lain yang dicetuskan oleh pihak MCA, Gerakan pada saat akhir menyebabkan sokongan di dua dan tiga kawasan Cina menurun pada saat akhir.
Suasana kempen dan tekanan-tekanan ke atas Pakatan Rakyat bermula dari Februari sehingga kini. Adakah Dato’ Seri melihat pilihan raya ini merupakan satu episod politik jahat Umno-BN?
Saya melihat keputusan ini sebagai satu pungutan suara rakyat Malaysia umumnya dan Perak khususnya apabila kita tengok tragedi yang berlaku kepada negeri Perak setelah rampasan kuasa dibuat oleh Najib Razak sehinggalah kepada hari penamaan calon oleh kerana bukan kerana simpati namun sokongan itu tidak berbelah bahagi.
Puncanya kerana kezaliman, kerana mereka tidak boleh menerima hakikat. Kerajaan ini diambil begitu sahaja tanpa mengikut lunas-lunas perundangan. Jadi kita lihat mereka menterjemahkan kekecewaan itu dalam bentuk pilihan raya, pungutan suara itu sendiri.
Masyarakat Malaysia juga mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pimpinan Umno-BN bahawa pelantikan dan penurunan kuasa kepada Najib Razak itu tidak memenuhi kehendak dan aspirasi mereka yang mahu pimpinan yang bersih, cekap. Jadi, terdapat pelbagai tafsiran yang boleh kita duga dan timba daripada keputusan Bukit Gantang ini kerana ia mencerminkan dan mengeluarkan pelbagai isyarat kepada banyak institusi dan individu khususnya institusi politik.
Adakah ini bermakna kekalahan BN di ‘dua bukit’ merupakan petanda bahawa BN sudah tidak relevan?
Saya tidak tahu di Bukit Selambau, tetapi di Bukit Gantang ini, BN sama ada mereka tidak belajar atau tidak daripada kesalahan mereka itu, tetapi mereka telah mengulangi kesalahan mereka dengan mendera rakyat dan juga pengundi. Mereka mendera parti yang bertanding iaitu PAS dan juga mereka mendera saya sendiri sebagai calon.
Penderaan ini mereka buat beberapa kali sebelum ini, dan itulah yang menyebabkan kekalahan. Walaupun dahulunya mereka buat begitu juga tetapi oleh kerana dahulu suasananya berbeza kerana dan ‘timing’ untuk Bukit Gantang, jadi mereka laksanakan benda yang sama untuk Bukit Gantang dalam persekitaran yang berbeza dan juga dalam situasi yang berlainan, akibatnya apa yang dilakukan oleh mereka iaitu propaganda akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Saya ingat mereka terlepas pandang apa yang berlaku pada hari ini adalah rakyat melihat kezaliman itu amat memuncak. Kezaliman ke atas Pakatan Rakyat khususnya kepada diri saya sendiri yakni penganiyaan itu, rakyat mungkin melahirkan pemberontakan ke atas kerajaan asal iaitu kerajaan Pakatan Rakyat. Semuanya itu diterjemahkan dan dimanifestasikan kepada keputusan pilihan raya ini.
Adakah Dato' Seri merasakan diri sendiri sebagai mangsa kepada keadaan ini?
Sudah tentulah sebahagian besar daripada pengundi Cina, dan bukan Melayu, mereka melihat saya sebagai mangsa penderaan, penganiayaan pada kerakusan. Mereka ini bukan ahli DAP, kebanyakan mereka ini adalah ahli MCA dan pengundi atas pagar. Untuk itu mereka telah menterjemahkan sokongan mereka kepada bentuk undian setelah berlaku penganiayaan kepada Pakatan Rakyat, khususnya saya.
Bagaimana dengan misi pertama Dato' Seri apabila melangkah ke Dewan Rakyat?
Selepas sesi angkat sumpah, maka kita akan buat persidangan. Tetapi kalau diberi peluang, sudah tentunya saya mahu mengucapkan syabas kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat Pusat, negeri dan bahagian khususnya di Bukit Gantang.
Keduanya juga saya ingin memberitahu kepada rakyat semua bahawa apa yang saya sebutkan tadi adalah natijah kepada semua itu. Yang ketiganya, hasil daripada kesemuanya ini menjurus kepada keputusan yang saya dan Pakatan Rakyat majukan di peringkat awal supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri ini diadakan di peringkat awal.
Jadi, itu yang awal di peringkat saya kerana saya hendak menyelesaikan kemelut politik yang melanda di negeri Perak sekarang. Untuk itu, saya merasakan bahawa wajar bagi saya mengutarakan isu ini di Dewan Rakyat supaya masalah di negeri perak ini tidak berlarutan.
Kalau berlarutan macam mana?
Jika sekiranya perkara ini berlarutan, sudah tentulah krisis perlembagaan ini berkemungkinan perkara-perkara yang tidak baik berlaku yang menyebabkan kestabilan politik terjejas.
Sudah tentu agenda pertama ini memberikan keluhan supaya BN melihat apa yang saya lakukan itu suatu yang wajar dan apa yang mereka buat iaitu rampasan kuasa itu menafikan hak rakyat. Itu merupakan agenda asal yang saya hendak beri.
Kemudian kalau saya diberi peluang, saya ingin mengutarakan keresahan dan kekecewaan pengundi di Bukit Gantang khususnya kaum-kaum yang dipinggirkan dan miskin apabila kita lihat mereka cukup-cukup mundur. Saya mahu menegakkan bahawa mereka diberi perhatian daripada peringkat tertinggi sehinggalah ke bawah supaya Bukit Gantang ini dimasukkan sebagai satu senarai untuk diutamakan apa jua infrastruktur.
Nampaknya kenyataan Najib tidak akan ada "Projek Mee Segera" di Bukit Gantang suatu retorik politik?
Walaupun kita, Perdana Menteri kata beliau tidak akan melaksanakan projek-projek mi segera tetapi hakikatnya kita lihat kesemuanya itu masih dijalankan.
Keduanya, inilah satu-satunya tempat di Perak ini yang terdapat kawasan yang tidak ada bekalan air dan elektrik, jadi saya ingin menyuarakan perkara ini di dalam Parlimen. Bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan kita menguar-uarkan bahawa negara kita maju, tiada orang miskin, tidak ada masalah pembangunan. Tiba-tiba selepas merdeka 51 tahun, masih lagi ada rakyat yang tidak boleh menikmati air, elektrik dan telefon. Ini keluhan rakyat yang kita rasakan ia perlu di ketengahkan.
Kes cabaran Dato' Seri terhadap keabsahan Kabinet Dun Perak di bawah Zambry (Abdul Kadir, MB Perak), apa perkembangan?
Sudah tentu permohonan saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk dibuat kajian penghakiman atau ‘judicial review’. Setelah saya mengikuti proses pada lebih kurang sebulan yang mana ada satu pihak tertentu yang mahu menyingkirkan dan mahu memaksa saya dan peguam saya untuk mengubah semula kajian penghakiman itu dalam konteks seolah-olah saya ini bermasalah dengan institusi kesultanan walhal pada peringkat awal saya telah terangkan apabila saya memfailkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Zambry.
Ia tidak melibatkan mana-mana pihak, tetapi di peringkat Peguam Negara dan juga di peringkat peguam Zambry sendiri termasuk penasihat undang-undang negeri seolah-olah mereka mahu mempercayai bahawa saya ini terlibat dengan hal saman-menyaman ini. Padahal ia tidak benar dan saya menafikannya. Kes ini telah dibincangkan di peringkat Mahkamah Tinggi ditolak oleh satu hakim ke atas hakim-hakim lain dibawa ke Mahkamah Rayuan, dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Keputusan semuanya adalah menyebelahi pihak saya.
Maknanya dia ada kes prima facie...
Ya! Apa yang saya buat ini adalah terkandung di dalam Perlembagaan. Jadi, keputusan di Mahkamah Persekutuan supaya dibenarkan perbicaraan ini berjalan di peringkat Mahkamah Tinggi merupakan satu penghormatan kepada Pakatan Rakyat dan penghormatan kepada saya.
Ini merupakan satu tamparan hebat kepada Zambry dan Umno-BN. Yang mahu mereka tunjukkan bahawa saya ini menyaman Tuanku melalui surat-surat yang mereka telah formatkan, soalan yang mereka telah buat melalui pejabat peguam negara itu adalah soalan-soalan yang tidak langsung dipertikaikan oleh kami.
Dan soalan itu sekiranya tidak dibincangkan di Mahkamah Persekutuan pun telah jelas jawapannya, iaitu bahawa Tuanku memang mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar tetapi persoalannya yang ingin saya katakan ialah di manakah peruntukan dalam Perlembagaan itu yang membenarkan Zambry mengangkat sumpah sebagai menteri besar? Itu sahaja, saya hendak memohon pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan pelantikan Zambry itu sebagai menteri besar tidak sah, itu sahaja.
Pilihan raya kecil Bukit Gantang adalah satu pilihan raya yang pelik, apabila perdana menteri, Ketua Pemuda Umno tidak turun berkempen dan memberikan semangat sedangkan pada masa yang sama, PM Abdullah sebagai perdana menteri yang bakal meninggalkan takhta pun tidak dipamerkan gambarnya. Apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam BN sekarang ini?
Apa yang kita lihat dalam Umno sekarang ini adalah perpecahan yang berlaku dalam Umno-BN sendiri. Apabila mereka baru sahaja menghabiskan Perhimpunan Agung mereka, perpecahan di kalangan mereka itu jelas kelihatan apabila mereka berdepan dengan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang.
Yang keduanya, pemilihan calon itu sendiri tidak dipersetujui oleh satu pihak yang lain dan ketiganya kita lihat apabila ketiadaan Najib dan Khairy Jamaludin. Cuma Khairy muncul pada hari penamaan calon sahaja. Tetapi dalam kempen dan sebagainya kita tidak lihat kewujudan pemuda dalam jentera kempen.
Di semua peti undi yang saya dapat tinjau iaitu 38, yang mainkan peranan sepanjang kempen ini adalah jentera Puteri Umno sahaja. Puteri Umnolah yang saya lihat pergi dari rumah ke rumah, membentengi mana-mana pusat undi, di pusat-pusat gerakan mereka di pasar malam.
Tetapi daripada segi Pemuda Umno, Wanita, nampak seolah-olah tidak wujud kerana ini mencerminkan terdapat perpecahan antara Shahrizat Jalil dan Rafidah Aziz dalam Wanita. Dan Pemuda sudah tentulah antara Khairy dengan Mukhriz dan Khir Toyo. Presidennya tidak muncul langsung, hanya mengharapkan Puteri dan beberapa anak muda yang mereka ambil dari mana pun saya tidak tahu. Maknanya gerak kerja mereka memang mencerminkan perpecahan itu sendiri.
Dalam keadaan krisis kepimpinan di dalam BN, Dato’ Seri muncul di kalangan barisan pemimpin harapan bukan sahaja di Perak, malah di negara ini. PAS pula semakin popular dan indeks sokongan pula kian meningkat. Jika anak muda dan remaja mencari idola, mereka akan mencari seorang tokoh yang mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada Dato’ Seri. Komen sikit.
Saya merasakan bahawa ini merupakan penghargaan dan penghormatan yang cukup tinggi kepada PAS kerana PAS memainkan peranan yang cukup penting dalam mengembangkan dakwah Islam. Tetapi disebabkan oleh hentakan dan juga propaganda daripada Umno, akhirnya apa sahaja yang hendak dibuat oleh PAS itu dikaburi oleh Umno sehingga diputar belitkan.
Apa yang saya terima apabila saya diberi amanah untuk menjadi Menteri Besar Perak saya cuba untuk menunjukan satu persepsi dan juga satu ‘appearance’ berkenaan pemimpin PAS ini dalam konteks yang lain.
Dan hasil daripada 10 bulan itu, pergerakan saya dalam mana-mana majlis bersama dengan pemimpin PAS yang lain cuma saya menyebutnya dalam konteks yang berbeza.
Mad'unya berbeza dan cara penyampaiannya juga berbeza. Alhamdulilah, inilah yang menimbulkan rasa keyakinan anak-anak muda di kalangan Melayu, Cina dan India mereka sanggup dan berkeupayaan untuk menukar undi mereka kepada PAS walaupun pada awalnya persepsi itu agak negatif.
Apakah ini kesan dari kepimpinan Dato' Seri sewaktu menjadi MB Perak selama 10 bulan lalu?
Alhamdulillah 10 bulan itu kita dapat cerminkan satu bentuk pimpinan yang berbeza yang berkemampuan untuk memimpin masyarakat dan saya anggap ini satu ujian kepada saya sebenarnya untuk menyatupadukan rakyat di negeri perak ini di bawah satu bumbung yang mana kalau kita lihat keyakinan rakyat bukan Islam dan kebanyakan rakyat Melayu juga berkehendakkan pimpinan yang ada ciri-ciri dan unsur-unsur yang hak atau yang betul. Yang mana inilah satu spesies yang cukup sukar untuk dicari.
Jadi, apabila saya menonjolkan ciri yang ada di dalam PAS, sudah tentunya ia boleh diterima oleh naluri manusia tidak kisah sama ada orang itu Cina, India, Sikh atau Melayu, mereka akan menerimanya. Jadi, hasil daripada penjelmaan itulah menyebabkan mereka memberikan penghormatan kepada PAS. Saya hanya sekadar menjadi ejen atau pemandunya. Yang mereka lihat hari ini adalah vehicle untuk membawa rakyat untuk pergi ke arah yang jauh lebih elok dan lebih sempurna.
Secara kesimpulannya, apa yang berlaku di Bukit Gantang ini adalah cerminan daripada mereka yang mahu merubah pemikiran mereka untuk menyokong PAS dan mengambil saya sendiri, mengiktiraf saya sebagai pimpinan PAS yang mampu menyatukan ke kemuncak yang lebih cemerlang.
Adakah Dato' Seri akan berbuat sesuatu untuk memulihkan sokongan Melayu kepada PAS?
Di Bukit Gantang sendiri terdapat peluang yang boleh saya gunakan untuk memberikan keyakinan orang Melayu kepada pimpinan PAS khususnya kepada saya dalam konteks kita hendak membersihkan apa sahaja maklumat yang hendak diputar-belitkan oleh Umno. Dalam hal ini PAS berkemampuan untuk menggunakan pendekatan yang sama dengan masyarakat Cina dan India.
Jadi, masyarakat Melayu ini hanyalah kita menggunakan jentera dalam PAS termasuklah lajnah-lajnah untuk diperluaskan lagi gerak kerja mereka dan diperbanyakkan frekuensi untuk bertemu mereka.
Kalau sekiranya menggunakan lajnah-lajnah dan dewan dalam PAS ini bermasalah maka terpaksa kita gunakan beberapa institusi lain dalam PAS seperti NGO, kelab penyokong PAS yang akhir-akhir ini banyak wujud. Inilah beberapa institusi yang boleh kita guna dan pelbagaikan dalam menyampaikan seruan yang baik kepada masyarakat Melayu.
Mesej kepada pengundi dan petugas Pakatan Rakyat?
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi khususnya di Kuala Sepetang, changkat Jering dan Trong yang telah memberikan sokongan kepada pakatan rakyat yang mana saya wakili.
Kedua, saya bertanggungjawab untuk mengambil apa jua ‘feedback’ dan apa sahaja maklumat yang diperolehi daripada petugas dalam dan luar negeri yang telah bertemu dengan pengundi secara ‘direct’ dan tahu masalah mereka. saya memohon kepada mereka memajukan masalah-masalah ini.
Ketiga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas Pakatan Rakyat khususnya daripada PAS, DAP dan KeADILan seluruh negeri Perak dan seluruh Malaysia.
Yang mana PAS negeri-negeri ini telah berkampung di Air Kuning, dan sekarang mereka telah melaksanakan yang cukup baik daripada apa jua aspek pun khususnya dari Kelantan, Terengganu, dan semuanya. Mereka telah menyumbangkan wang ringgit, tenaga dan peralatan untuk memenangkan PAS.
Yang keempat, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penulis blog (bloggers) dan pihak media sama ada media bebas, luaran dan dalaman yang membuat liputan yang baik berkenaan pilihan raya ini khususnya dalam menangkis serangan yang dibuat Umno-BN. Kita juga lihat dalam pilihan raya Bukit Gantang ini memberikan gambaran dalam janji PM pertamanya untuk membebaskan tahanan ISA ini dibuat dalam konteks pilihan raya di Bukit Gantang maka dalam konteks ini saya menyeru supaya hendaklah dimansuhkan ISA itu sendiri dan semua tahanan ISA dibebaskan tanpa ada syarat.
Seterusnya kita lihat, kalaulah sekiranya orang Melayu sebelum ini di Bukit Gantang isu yang dimainkan adalah boneka kepada DAP, memenuhi hasrat DAP, tetapi apa sahaja yang dibuat oleh Umno-BN dapat dinilai melalui apa yang disampaikan kepada satu sekolah Cina dengan memberikan RM1 juta tanpa sebarang sebab.
Yang ini kalau orang Melayu fikir-fikirkan, apa yang kami buat untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan orang miskin yang masih lagi ditafsirkan sebagai boneka, maka inilah yang berlaku apabila Muhyiddin Yasin pergi ke sekolah Cina Sin Min di Simpang dan menjanjikan RM1 juta meninggalkan sekolah-sekolah yang lain.
Apakah ertinya ini?
Kalau kita lihat, ini membonekakan diri mereka sendiri. Walaupun saya tidak menyatakan ini dalam konteks perkauman tetapi saya hendak menunjukkan bahawa Bukit Gantang ini mengetengahkan isu boneka, walhal mereka lah yang sebenarnya boneka sehingga sanggup memberikan sampai RM1 juta yang saya rasakan bahawa ini tidak adil kerana sepatutnya mereka hendaklah memberikan secara sama rata kepada sekolah-sekolah kebangsaan yang lain.
Dan akhir sekali saya mengharapkan kepada semua petugas yang berada di Bukit Gantang sendiri didokumentasikan dalam bentuk kertas kerja yang elok merupakan satu koordinasi kerja yang elok, yang ini perlu dibawa pengalaman Bukit Gantang ini ke peringkat yang lebih tinggi untuk dijadikan sebagai semangat dan pengalaman untuk berhadapan dengan pilihan raya umum yang akan datang.
Apa istimewanya pilihan raya kecil Bukit Gantang ini?
Pilihan raya Bukit Gantang ini dilihat begitu bermakna kerana ia boleh mencetuskan satu bentuk pemikiran yang berbeza bagi berdepan dengan pilihan raya lain. Ia juga mencetuskan tekanan dan kehendak rakyat Perak untuk dibubarkan Dun.
Sebab itu saya nyatakan bahawa ia sebagai satu ‘turning point’ untuk pendemokrasian pilihan raya secara terbuka juga untuk memberikan pelajaran baru kepada SPR, PDRM dan jabatan-jabatan kerajaan supaya mereka tidak mudah diperalatkan oleh Umno-BN.
Maka kalau diteruskan sehingga pilihan raya umum ke-13 sudah tentulah Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cukup elok. Kalaulah agensi kerajaan ini tahu mereka diperalatkan maka mereka tidak membenarkan diri mereka diperalatkan. Maka pada pilihan raya umum ke-13 atau pembubaran Dun Perak tidak lama lagi ia memberikan masa depan yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan