Oleh Ahmad Lutfi Othman
http://jiwapejuangkini.blogspot.com/
Kementerian yang menjadi tumpuan utama sekarang adalah Kementerian
Dalam Negeri . Apakah benar berlaku pembaharuan kepada Kabinet baru pimpinan Najib Razak tertakluk kepada perubahan yang dicetuskan oleh menterinya, Hishammuddin Hussein, iaitu sepupu Najib sendiri?
Ramai menjangkakan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan dipindahkan ke kementerian yang begitu strategik ini.
Mungkin Najib memerlukan seorang menteri yang dipercayai leboh 101 peratus kesetiaannya, maka Najib tidak mahu memperjudikan masa depannya dengan meletakkan Muhyiddin di situ. Sama ada Hishammuddin berkeupayaan melakukan pembaharuan adalah soal kedua bagi Najib, yang penting ia tidak menikam dirinya balik.
Rakyat mahu melihat KDN berubah, antaranya dengan menghapuskan akta drakonian yang cukup zalim dan memang tidak diperlukan lagi, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta ini untuk kesekian kalinya memakan korban yang bukan sedikit. Ia ditentang oleh pelbagai pihak, termasuk golongan dalam BN sendiri. Sesiapa yang pernah dikurung tanpa bicara di bawah ISA akan mengerti dan faham bahawa kita langsung tidak memerlukan akta berkenaan demi mempertahankan keselamatan negara. Sudah cukup banyak testemoni tentang kezaliman dan penyalahgunaan ISA yang dibuku dan didokumentasikan, namun kerajaan BN mengambil sikap pekak badak dengan segala kritikan dan teguran itu.
Langkah pembaharuan yang diuar-uarkan oleh Kabinet Rakyat pimpinan Najib tidak membawa sebarang makna jika ISA terus dikekalkan. Malah, penentang ISA perlu menunjukkan bantahan kuat mereka melalui perhimpunan raksasa yang lebih besar daripada perhimpunan bantah PPSMI atau Bersih. Hal ini sebenarnya telahpun diumumkan oleh isteri tahanan ISA, Norlaila Othman, dan ia hanya menunggu lampu hijau daripada penganjur, khabarnya ia bakal diterajui Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dengan kerjasama erat daripada GMI. Kalau tidak silap saya, mungkin GMI sendiri yang mengetuainya dan pihak-pihak lain, seperti PAS, akan mendokongnya.
Soalnya, bersediakah Najib dan Hishammuddin mendengar suara nurani rakyat yang cintakan keadilan dan hak asasi manusia dengan memansuhkan segera akta zalim ini? Dan jika Najib terus berlengah, atas alasan untuk berunding dengan pelbagai dahulu, dan akhirnya akta itu dikekalkan juga (dan akan digunakan dalam waktu kritikal bilamana kerajaan BN menghadapi tentangan hebat dari seteru politiknya), apakah tindakan yang mampu dilakukan rakyat, selain mengadakan bantahan dan perhimpunan? Mampukah ISA menjatuhkan BN dalam pilihan raya akan datang atau isu ini gagal meraih simpati dan dokongan rakyat untuk menolak secara total pakatan pemerintah sekarang?
Selain ISA, akta yang perlu dimansuhkan segera, seperti disuarakan bekas Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Akta inilah yang memberikan ruang untuk menterinya menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan baru-baru ini, selama tiga bulan, yang kemudiannya atas pertimbangan tiga pilihan raya kecil, maka ia ditarik balik serta merta selepas berkuat kuasa selama 11 hari.
Akta Mesin Cetak jarang diberikan perhatian oleh mana-mana NGO. Namun masanya sudah tiba untuk satu kempen besar-besaran dilancarkan bagi menggerakkan usaha penerangan di seluruh negara, bagi menjelaskan mengapa perlu Akta Mesin Cetak ini juga dikuburkan.
Isu keganasan polis juga mesti ditangani baik. Banyak kes brutaliti polis yang berlaku, dan mendapat perhatian ramai, tetapi dibiarkan begitu sahaja. Hishammuddin perlu meneliti kewibawaan polis dan imejnya yang sudah cukup tercemar, dengan mencari jalan langkah-langkah perlu seperti yang pernah dicadangkan oleh suruhanjaya diraja yang ditubuhkan khas mengenai perkara itu. Polis sering diperalatkan setiap kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, juga untuk kepentingan BN dalam menguruskan tentangan daripada seteru politiknya. Semua isu-isu ini tidak boleh terbiar begitu sahaja, dalam masa keselamatan rakyat umum semakin menjadi pertaruhan sehingga ada pihak melihat keamanan negara kini seolah-olah diberi ehsan oleh penjenayah.
Hishammuddin, dan tentunya Najib, harus ingat, rakyat mahu melihat tindakan serius yang segera, bukannya hanya menunggu kata-kata ...
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan