SEPERTI yang dijangka, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang b aru ditabalkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno 25 April lepas, tiada tempat dalam Kabinet baru pasca Abdullah Ahmad Badawi.
Khairy memberikan alasan bahawa beliau diberikan task yang amat besar untuk memulihkan Pemuda Umno, sebagai justifikasi tidak tersenarai dalam 'barisan baru' Mohd Najib Tun Razak.
Pada saat ini, nasib penentangnya Mukhriz Mahathir jauh lebih baik daripada beliau. Walaupun kalah, Mukhriz dapat juga jawatan Timbalan Menteri.
Masalahnya Khairy terlupa bahawa bukan Pemuda sahaja yang tenat dan harus diperbaiki. Wanita dan Puteri Umno juga gagal berfungsi. Tetapi Ketua Wanita dan Ketua Puteri dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.
Hakikat sebenarnya, seluruh parti Umno berada dalam keadaan tenat. Jika hendak digunakan hujah Khairy, tidak perlu dilantik Menteri-Menteri dari kalangan Umno, biar semua mereka tumpu pulihkan parti.
Tetapi tradisi Umno tidak begitu. Kebanyakan mereka bertanding merebut jawatan dalam Umno, menghabiskan wang sebegitu banyak adalah kerana mereka mahukan jawatan dalam kerajaan.
Dengan kedudukan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri, dengan menguasai senarai peruntukan melalui kementerian tertentu, atau dalam erti kata lain, orang-orang Umno-BN mempergunakan jawatan dalam kerajaan untuk survival mereka dalam parti.
Nasib yang menimpa Khairy ini, hanya menunjukkan jawatan Ketua Pemuda Umno yang direbutnya sejak sekian lama, tidak mempunyai nilai apa-apa.
Khairy, Mukhriz dan Khir Toyo berebut 'sakan' untuk mendapatkan pencalonan jawatan ketua pemuda. Berbulan-bulan ketika mesyuarat bahagian, mereka berhempas pulas dan menghabiskan tenaga dan wang untuk berkempen.
Ketiga-tiga mereka terpaksa mengharungi empat bulan yang kritikal daripada November 2008 (selepas pencalonan ditutup) sehingga Mac 2009 untuk 'maintain supporters' dari kalangan perwakilan Pemuda Umno seluruh negara.
Beratnya serangan balas yang diterima Khairy dan Khir, sehingga mereka dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno atas dakwaan mengamalkan politik wang, namun nasib baik mereka dibebaskan.
Khairy harus sedar bahawa walaupun beliau menang jawatan Ketua Pemuda, ianya bukan petanda beliau diterima oleh Umno. Dua pertiga Pemuda Umno menolaknya, tetapi hanya berpecah undi kepada Khir dan Mukhriz.
Khairy harus sedar bahawa sorakan dan 'boo' dari perwakilan Pemuda dan perwakilan Perhimpunan Agung Umno, tatkala namanya disebut sebagai Ketua Pemuda yang baru, di hadapan bapa mertuanya, yang ketika itu masih Presiden Umno, sebagai penolakan secara terang-terangan.
Kedudukan Khairy dalam Umno hanya ibarat bernafas dalam lumpur. Bukan Abdullah Badawi seorang sahaja tidak dikehendaki Umno, malah Khairy dan juak-juaknya dalam Umno dan Kabinet, tidak dikehendaki dan harus dibersihkan.
Bagi orang-orang Umno yang membenci Khairy, inilah saat yang terbaik bagi mereka untuk membalas hukuman, kerana suatu ketika mereka terpaksa tunduk kepada Khairy yang berkuasa penuh menentukan perjalanan parti dan negara.
Besarnya kuasa Abdullah sebagai Presiden Umno dan PM menyebabkan, orang-orang Umno yang berkepentingan takut dan gerun kepadanya. Selama tempoh lebih lima tahun itu juga Khairy terperangkap dalam sebuah ilusi kuasa.
Kerana menatang kuasa dalam usia muda, Khairy terlupa bahawa sokongan yang diterima selama ini hanya tipu helah dan terpaksa semata-mata. Rakan , penyokong setia, kini semuanya sudah tiada dan semakin menjauhi Khairy.
Kedudukan Khairy dalam Umno yang dilihat amat berkuasa suatu ketika, kini hanya 'melukut ditepi gantang' sahaja. Lebih hodoh lagi apabila beliau kini ibarat 'kera sumbang' dalam Umno.
Orang Umno yang membenci dan menyalahkan Khairy begitu ramai. Bilangan mereka semakin bertambah ketika Najib mula berkuasa. Lalang-lalang ini memang mudah berpaling tadah mengikut angin bertiup.
Hakikatnya, Abdullah sudah tiada. Khairy tiada 'back-up'. Penentang-penentangnya dari kalangan penyokong Mukhriz begitu ramai, menanti saat yang sesuai untuk menjatuhkannya.
Ketika Khairy menang Ketua Pemuda, mereka bergaduh dan menjerit-jerit dan memaki hamunya sebagai perasuah. Meminjam kata blogger Husin Lempoyang, gelagat mereka di PWTC tempohari, tidak ubah seperti 'siamang gagap'.
Khairy sebenarnya harus sedar bahawa masa depannya dalam Umno begitu kabur dan gelap. Khairy tidak harus menjadi seperti penglipur lara Pak Pandir dengan mengiyakan sahaja, walaupun nasibnya sentiasa dirundung malang._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan