Calon bebas "larikan" 1,300 undi di Bukit Selambau, tapi ...


SENATOR Yusuf Husin yang menjadi Pengarah pilihan Raya PAS di Bukit Selambau tidak menolak penyertaan calon-calon bebas sedikit sebanyak mempengaruhi undi kepada calon Pakatan Rakyat dan BN. Ikuti temubual Roy Rasul bersama beliau.

Sejauhmana sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Selambau?

YUSUF HUSIN: Sokongan orang Melayu di Dun Bukit Selambau masih seperti dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu. Ini kerana Dun Bukit Selambau berbeza dengan Dun lain. Faktornya masih ada sikap orang-orang Melayu di sana mereka hendak kepada calon Melayu.
Sebabnya pengundi Melayu 50 peratus, Cina dan India pun 50 peratus. Jadi mereka berpendapat sepatutnya orang Malayu menjadi calon. Itu saja. Bagaimanapun bagi orang PAS tidak timbul masalah. Cuma bagi yang tidak berparti, orang atas pagar dan Umno yang bermasalah.

Secara umumnya apa reaksi mereka terhadap kemenangan calon Pakatan Rakyat S. Manikumar?

Bagi orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat tentu mereka seronok. Sebab orang Melayu terbahagi kepada tiga puak iaitu setia dengan Pakatan Rakyat, setia dengan Umno dan atas pagar.
Apapun secara umumnya di Kedah ini seronok dan bersyukur kerana ia dapat perkukuh kerajaan Pakatan Rakyat. Ini seperti mana kita janjikan daripada awal lagi, calon yang menang itu akan dilantik sebagai Exco yang mewakili masyarakat India bukan saja di Bukit Selambau tetapi di seluruh Kedah.

Adakah faktor tersebut membuat calon Pakatan Rakyat menang di Bukit Selambau?

Saya tidak nampak faktor calon sebaliknya faktor Pakatan Rakyat sendiri di mana kesungguhan jentera Pakatan Rakyat yang diketuai PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) nampak solid. Tidak ada masalah. Dalam pilihan raya ini Kerajaan Negeri Kedah tidak campur tangan di mana jentera yang bergerak. Kita tidak menggunakan sedikit pun keistimewaan kita sebagai Kerajaan Negeri Kedah.

Pada pilihan raya kali ini majoritinya tidak meningkat seperti di Bukit Gantang. Hanya perolehi 13 undi. Apa sebabnya?

Masalahnya kerana di Bukit Selambau terdapat banyak calon bebas.
Bebas pula mendapat 1,300 undi. Ada juga undi yang lari ke situ dan peratus keluar mengundi kurang daripada pilihan raya umum yang lalu. Kekurangan mereka itu banyak faktor juga antaranya hari mengundi jatuh pada hari bekerja dan cuacanya pula hujan.

Adakah penyertaan bebas baik untuk sistem demokrasi negara kita?

Bagi saya penyertaan calon bebas itu baik tetapi calon bebas itu biarlah yang berkualiti dan dapat mengukur kemampuan diri. Sekurang-kurangnya penyertaannya itu dapat perolehi undi melebihi 200 undi.
Namun apa yang berlaku di Bukit Selambau tidak memberi kesan langsung biarpun sistem demokrasi terbuka. Sekiranya terlampau banyak calon bebas seperti mana berlaku di Bukit Selambau sehingga 13 orang, ia menyukar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengundi.
Kertas undi pula menjadi luar biasa kerana menampilkan 15 calon dan sekaligus memberi kepayahan kepada pengundi untuk memangkah. Ditambah pula senarai calon dalam kertas undi itu tidak mempunyai nombor bilangan calon. Cuma diletakkan nama dan lambang. Dalam pilihan raya yang lalu undi rosak 1600 lebih tetapi dalam pilihan raya kali ini hanya lebih kurang 400 yang rosak.

Ada yang mengatakan pilihan raya di Bukit Selambau dilihat sebagai antara hidup dan mati kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tetapi kemenangan berpihak juga kepada Pakatan Rakyat. Jadi bagaimana Saudara mengukur keputusan rakyat di Bukit Selambau?

Pertama saya selaku Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah yang juga mengetuai jentera pilihan raya di Bukit Selambau, saya mengucap berbanyak terima kasih kepada rakyat Bukit Selambau.
Inilah petunjuk atau tanda aras bagi rakyat seluruh Kedah yang mana mereka menerima Pakatan Rakyat. Sebenarnya pilihan raya ini tidak menjejas Pakatan Rakyat kerana kita masih lagi majoriti empat lagi kerusi.
Dengan kemenangan ini mengembalikan majoriti kita sebanyak 22 kerusi berbanding dengan BN 14 kerusi. Bagi saya ini satu petanda yang baik dan Pakatan Rakyat di bawah Dato' Seri Azizan Razak boleh meneruskan semua plan tindakan untuk memajukan Kedah dan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan nikmatnya untuk semua. Insya-Allah.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.