Kerajaan Najib mahu naikkan harga minyak

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) Satu Malaysia akan menanggung beban apabila alasan tidak munasabah didahulukan dan kenaikan harga minyak diutamakan.

Apa yang menghairankan, kenaikan hara minyak itu disebabkan minyak petrol RON97 yang digunakan oleh sebahagian besar pemilik kenderaan di negara ini akan dijadikan produk premium dengan harganya dinaikkan kepada RM2 seliter berbanding RM1.80 seliter sekarang.

Atas alasan apa minyak kegunaan majoriti rakyat itu dijadikan produk premium tidak pula dinyatakan dengan munasabah dan meyakinkan.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, langkah itu berkuat kuasa 1 September ini serentak dengan pelancaran minyak baru RON95 berharga RM1.75 seliter di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilik kenderaan termasuk yang berkuasa tinggi tidak perlu risau dengan kenaikan RON97 kerana mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan minyak RON95.

''Kelebihannya RON95 adalah lebih baik daripada RON92 dengan harganya tidak jauh berbeza.

''Tujuannya ialah untuk menyediakan rakyat dengan minyak yang dari segi prestasi serta kualitinya lebih tinggi dan semua kenderaan termasuk yang selama ini menggunakan RON97 boleh mendapatkan minyak dengan harga lebih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan minyak petrol RON95 di stesen minyak Petronas di Presint 9D di Putrajaya semalam.

Petronas Dagangan Berhad berjaya merealisasikan pengeluaran RON95 apabila mulai hari ini dan esok, dua stesen minyak Petronas di Presint 9 di sini mula menjual minyak jenis itu atau dikenali Primax95.

Berkuat kuasa 1 September ini, semua stesen minyak di seluruh negara akan menjual minyak RON95 termasuk pelaksanaan spesifikasi EURO2M bagi petrol dan diesel dalam pasaran.

Sebelum ini, penjualan RON92 adalah lebih rendah iaitu lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol di negara ini sejak tahun 2000.

Spesifikasi minimum bagi kebanyakan enjin kenderaan yang digunakan di negara ini adalah RON91.

Menurut Ismail Sabri, penggunaan petrol RON97 yang besar selama ini adalah satu bentuk pembaziran kerana kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Eropah menggunakan RON yang lebih rendah.

''Keadaan ini menggambarkan bahawa pengguna di negara ini tidak mendapat maklumat yang lebih tepat mengenai produk petrol yang sesuai untuk enjin kenderaan mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, kerajaan sebenarnya tetap memberikan subsidi bagi minyak RON95 iaitu tiga sen seliter sebagaimana sekarang RON97 yang diberikan subsidi sebanyak enam sen seliter.

''Kita tidak boleh kata apabila RON97 dijual dengan harga RM2, kerajaan akan membuat keuntungan kerana trend harga minyak dunia sekarang sedang naik.

''Apa yang penting, harga minyak yang kita tentukan itu tetap akan kekal meskipun harga minyak dunia mungkin mengalami peningkatan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri enggan mengulas ketika ditanya adakah kerajaan mengalami tekanan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bagi menaikkan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen.

Sebaliknya, beliau mahu orang ramai memberikan tumpuan kepada pengenalan RON95 yang lebih murah berbanding RON97 atau produk petrol premium yang lain.

''Sebenarnya sebelum ini sudah ada produk premium seperti V-Power yang dijual oleh Shell dengan harganya lebih tinggi dan ia tidak dikawal oleh kerajaan.

''Biarpun tidak dikawal tetapi setiap kali ada cadangan untuk menaikkan harga, syarikat minyak perlu membincangkannya dengan kerajaan," katanya. - mks._

sumber: harakahdaily.net

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.