TARIKH 11 Mei 2009 akan terus diingati oleh kesemua ahli Umno sebagai hari yang malang bagi parti tersebut. Hari yang sepatutnya mengembirakan bagi mereka menjadi hari menyedihkan bagi pemimpin dan ahli Umno, tulis Irwan Muhamad Zain mengulas saat-manis sambutan 63 tahun Umno yang berakhir dengan rasa sedih tidak terhingga bile keputusan Mahkamah Tinggi putuskan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah di Perak.
Setiap tahun pada tarikh 11 Mei, ahli Umno akan merayakan ulang tahun parti tersebut. Pemimpin Umno akan penuh bangga akan berucap atau membuat kenyataan sebagai merayakan ulangtahun parti itu.
Namun kali ini, ketika ulang tahun ke 63, Umno menyambut ulang tahun mereka dengan menerima berita sedih bila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar sah Perak.
Dalam penghakimannya, Hakim Dato' Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), seperti kes Stephen Kalong Ningkan. Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.
Permohonan peguam Menteri Besar haram, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah. Abdul Aziz memutuskan Mohamad Nizar masih Menteri Besar kerana tidak pernah meletak jawatan.
Dalam kertas penghakiman yang dibacakan lebih satu jam bermula pukul 2.30 petang 11 Mei lalu, Abdul Aziz berkata, satu-satunya cara untuk melucutkan jawatan Nizar sebagai Menteri Besar adalah melalui keputusan undi tidak percaya dalam sidang Dun.
Dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan demikian, Zambry dan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan dengan menyalahkan Pakatan Rakyat bila krisis politik di Perak masih tidak dapat diselesaikan.
Keduanya tanpa rasa malu, mengeluarkan kenyataan yang disiarkan oleh media arus perdana seolah-olah segala yang berlaku di Perak disebabkan oleh perancangan Pakatan Rakyat.
Keduanya lupa, krisis politik di Perak tidak akan berlaku jika Umno-BN tidak tamak kuasa dan menghormati pilihan yang telah dibuat oleh rakyat Perak dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008.
Namun kerana suara rakyat tidak penting bagi Umno-BN, maka suara mereka diketepikan. Yang penting bagi mereka Februari lalu -ketika merampas kerajaan Peraka dari Pakatan Rakyat- bukan suara rakyat tetapi suara kroni-kroni mereka yang melihat banyak hasil dari Perak yang boleh mereka rompak.
Jika Umno-BN tidak tamak dan menghormati kuasa rakyat, kejadian pada 7 Mei lalu tidak akan berlaku. Sidang Dun pada hari tersebut akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang aksi yang mengalahkan penghuni Zoo Taiping.
Najib dan Zambry dalam kenyataan mereka selepas sidang Dun itu menyalahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat dan menganggap mereka semua tidak menghormati dewan yang mulia itu.
Yang tidak menghormati dewan yang mulia itu bukan Adun Pakatan rakyat sebaliknya Adun BN yang telag membelakangkan kemulian dewan tersebut.
Ketika sudang Dun pada hari itu, tidak seorang pun Adun Pakatan Rakyat yang membuat usul supaya speaker dewan ditukar. Usul tersebut dibawa oleh Adun Pakatan Rakyat yang mana tindakan mereka itu jelas tidak menghormati perlembagaan Perak.
Mengikut perlembagaan Perak, speaker Dun tidak boleh ditukar atau dipecat kecuali bila Dun dibubarkan. Tetapi kerana sikap angkuh Umno-BN, mereka tidak langsung menghormati undang-undang dan melantik speaker baru pilihan mereka.
lebih menyedihkan bila speaker, V.Sivakumar telah ditarik keluar secara kasar oleh anggota polis yang berpakaian pegawai dewan.
Sivakumar dilucutkan jawatan bila timbalan Speaker, Hee Yit Foong mengambil alih sidang dengan alasan keadaan yang tidak terkawal menyebabkan beliau layak untuk mengetuai persidangan.
Adun Jelapang itu yang turut sama melompat parti bersama Adun Behrang dan Changkat Jering meluluskan usul memecat Sivakumar dan melantik R Ganesan.
Kembali ke tahun 2008, ketika Pakatan Rakyat memutuskan untuk melantik Sivakumar sebagai speaker, Umno-BN mempertikaikan keputusan tersebut dengan alasan jawatan tersebut tidak pernah diserahkan kepada bukan Melayu.
Isu perkauman dimainkan oleh Umno-BN untuk mengaburi mata rakyat tetapi bila mereka secara haram merampas Perak dan dengan cara yang sama melantik speaker baru, tidak timbul pula isu bukan Melayu memegang jawatan tersebut.
Jelas Umno-BN memainkan isu perkauman semata-mata untuk kepentingan politik mereka. Soal Melayu atau bukan Melayu tidak timbul untuk memegang jawatan tersebut.
Sejak bermulanya krisis politik di Perak, Pakatan Rakyat sudah mencadangkan agar Dun Perak dibubarkan bagi membolehkan rakyat menentukan sendiri kerajaan mana pilihan mereka. Bagi pemimpin Pakatan Rakyat, jika Dun Perak dibubarkan, mereka akan menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh rakyat kerana mereka sedar hanya rakyat yang berhak untuk menentukan kerajaan mana yang layak untuk mentadbir neger itu.
Namun bagi Umno-BN, suara rakyat amat mereka takuti sejak Pilihan Raya Umum ke 12 lalu. Keputusan Pilihan Raya Umum itu jelas membuktikan rakyat mula menolak Umno-BN. Di tambah pula selepas 8 Mac. lima Pilihan Raya Kecil diadakan dimana empat di semenanjung dan satu di Sarawak.
Empat Pilihan Raya Kecil di semenanjung itu, Umno-BN tewas kesemuanya bermula di Permatang Pauh dan diakhiri di dua buah bukit iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
Kekalahan demi kekalahan yang membuatkan Umno-BN kecut perut dan tidak mahu membubarkan Dun Perak kerana mereka tahu jika dibubarkan Dun Perak, Umno-BN akan mengalami kekalahan yang lebih teruk.
Ketakutan Umno-BN kepada suara rakyat juga menyebabkan hingga ke hari artikel ini ditulis, Umno-BN masih belum membuat keputusan untuk bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil Dun Penanti.
Jelas Umno-BN kini ibarat sebuah kapal yang hampir tenggelam. Dan yang akan menenggelamkan kapal tersebut adalah rakyat Malaysia yang sudah muak dengan pemerintahan Umno-BN yang ternyata lebih mementingkan kroni berbanding rakyat.
Hakim Abdul Aziz membuat keputusan berani dengan tidak memihak kepada BN. Jarang sekali hakim akan membuat keputusan yang tidak memihak kepada BN.
Setidak-tidaknya keputusan Abdul Aziz itu membuktikan masih ada hakim yang berintegriti dan layak berada pada tempatnya. Ketika sistem kehakiman semakin diragui, Abdul Aziz sekurang-kurang tidak terus membuatkan badan kehakiman terus dicemuh rakyat.
Sambutan ulang tahun 63 Umno disambut dalam keadaan yang kurang ceria. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur merupakan hadiah yang paling 'bermakna' buat Umno. Keputusan itu memberikan tamparan kepada mereka dan signal bahawa hari-hari akhir Umno-BN hampir tiba.
sumber: detikdaily.net
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan