Nazri Abdullah |
GUA MUSANG, 15 Okt: Kehangatan bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) N45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas sudah mula terasa biarpun hari penamaan calon akan berlangsung 11 hari lagi. Tinjauan awal Harakahdaily mendapati, parti-parti bertanding khususnya PAS dan Umno mula tekun mempersiapkan segala kelengkapan menempuh fasa kempen tidak lama lagi. Bagi PAS, pejabat parti di Gua Musang menjadi markas induknya yang kini siap diubah suai untuk melancarkan perjalanan kempen nanti. Difahamkan petugas parti dari seluruh Kelantan sudah mula berkampung sejak pengumuman tarikh PRK itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu. Mereka kini selesai menjalankan persiapan-persiapan awal termasuk persediaan untuk majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dun Galas pada 19 Oktober ini. Pelancaran tersebut akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan. Manakala petugas dari luar dijangka tiba beberapa hari sebelum tarikh pengumuman calon PAS yang dijadual 22 Oktober ini. Bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang pula, mereka telahpun melancarkan program Perkampungan Futsal bermula 9 Oktober lalu dan akan berlangsung sehingga hari pengundian 4 November nanti. Menurut ketuanya, Abdullah Hussin, inisiatif tersebut bagi mendekati golongan belia sekaligus memberi kesedaran politik kepada mereka. "Ini salah satu cara kita nak mereka semua sentiasa dekat dengan kita sehingga hari mengundi. "Di samping bersukan kita juga terapkan nilai agama pada mereka. "Tidak pernah ada orang buat, sebelum bermain, kita solat hajat, solat Isyak dan tazkirah dalam gelanggang futsal," katanya. Selain futsal, beberapa aktiviti sukan lain turut dipertandingkan sepanjang pilihan raya ini. Lebih menarik, setiap pemain yang menyertai pertandingan perlu mendaftar sebagai pemilih. Selain parti-parti yang bertanding, turut sibuk membuat persiapan termasuk kedai-kedai makan, rumah penginapan dan hotel. Beberapa pengusaha homestay yang ditemui memberitahu, kos sewa untuk tiga minggu sepanjang pilihan raya mencecah RM12 ribu bagi teres dua tingkat berbanding hanya RM350 sebulan bagi kadar hari biasa. Walaupun peningkatan ketara, kami difahamkan semua penginapan telah penuh ditempah jentera parti dan media khusunya dari luar Kelantan bermula 16 Oktober hingga 6 November nanti. Dijangkakan, bandar Gua Musang akan mula sibuk menjelang hari penamaan 26 Oktober nanti. Galas mempunyai 13 Unit Peti Undi (UPU) iaitu Bdr Baru Gua Musang, Bdr Lama Gua Musang, Bihau, Belatim, Balar, Sungai Ber, Lojing, Hau, Kampung Pulai, Lepan Tupai, Kampung Baru, Sungai Terah dan Kampung Batu Papan. SPR sebelum ini menetapkan tarikh PRK Galas pada 4 November ini. |
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan