Hayat masih panjang





HARI ini genap 53 hari 33 pekerja lombong San Jose, Chile, terperangkap hampir satu kilometer di dalam tanah selepas behagian tengah lombong emas dan tembaga itu runtuh sejak 5 Ogos lalu.
Dinding gua lombong di pinggir bandar Copiaco yang terletak di kawasan gurun Atacama, kira-kira 800 kilometer utara Santiago itu dilaporkan tiba-tiba runtuh ketika para pekerja sedang menjalankan aktiviti melombong.
Gurun Atacama merupakan antara kawasan terpencil yang paling kering di dunia. Malah, sehingga kini, ada beberapa kawasan di situ yang belum pernah menerima hujan sejak taburan hujan dunia direkodkan.
Apa yang menakjubkan, walaupun hampir dua bulan berada sejauh 700 meter di dalam tanah, kesemua mangsa masih hidup, bahkan sihat.
Menurut profesor di Pusat Perlombongan, Universiti Katolik Chile, Gustavo Lagos, struktur geologi di lombong itu dapat membantu pekerja hidup selama 17 hari sebelum pasukan penyelamat berjaya membuka satu lubang kecil di kawasan runtuhan terbabit.
“Sungguhpun terperangkap jauh di bawah tanah, mangsa yang terlibat bernasib baik kerana terdapat banyak terowong terbuka yang membolehkan mereka bebas bergerak termasuk mendapatkan bekalan air tanpa had yang boleh digali melalui lantai gua menggunakan jentera pengorek yang ada bersama mereka.
“Air yang digali mungkin mengandungi besi dan rasanya lebih payau.

WALAUPUN terperangkap dan berada dalam keadaan serba kekurangan, kelegaan jelas terpancar di wajah para pelombong apabila dapat berhubung dengan dunia luar.


Nota
“Jika air di kawasan tersebut mengandungi tembaga, ia boleh menyebabkan cirit-birit, muntah-muntah dan sakit perut, namun ia tidak akan membunuh mereka,” ujar Lagos.
Sementara itu, menurut Profesor Kejuruteraan Perlombongan di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Lary Grayson, terowong dan gua itu telah menyelamatkan mangsa daripada lemas.
“Dengan suhu lembap dan panas di antara 32 hingga 37 darjah Celcius, mangsa dilaporkan tidak berbaju dan berpeluh-peluh.
“Keadaan ini lebih baik kerana mereka tidak berisiko terdedah kepada cuaca sejuk atau hipotermia seperti yang dialami oleh mangsa yang terperangkap di dalam lombong arang batu,” kata Grayson.
Pelbagai usaha dilakukan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap walaupun pada awalnya pihak penyelamat menghadapi kesukaran akibat gegaran dan runtuhan terbaru yang memaksa anggota penyelamat merangkak keluar dari lubang udara yang sempit untuk menyelamatkan diri.
Selepas lebih dua minggu, masih belum ada sebarang khabar daripada mangsa yang terperangkap, satu nota ringkas yang diterima pada 22 Ogos iaitu hari ke-17 telah melenyapkan kerisauan ramai yang hampir berputus asa.
Nota yang ditulis dengan dakwat merah itu berbunyi, ‘Kami semua seramai 33 orang selamat di ruang perlindungan’.
Biarpun sekadar dua baris, mesej itu memberi sejuta kelegaan buat ahli keluarga, anggota penyelamat dan seluruh warga Chile yang tidak berhenti mendoakan keselamatan mangsa yang terperangkap.

PELOMBONG di San Jose sentiasa mengharapkan rakan-rakan mereka yang terperangkap dapat dibawa keluar keadaan selamat.


Jangkitan kulat
Para pegawai penyelamat dan ahli keluarga pelombong berpelukan, mendaki sebuah bukit berdekatan, mencacak 33 batang bendera kecil dan menyanyikan lagu kebangsaan selepas kamera video yang diturunkan sejauh 688 meter ke dalam lombong tersebut kembali dengan nota berkenaan.
Dianggap sesuatu yang luar biasa kerana mampu bertahan lebih 17 hari di bawah tanah tanpa sebarang bantuan, kegembiraan ini hanya satu permulaan kerana pasukan menyelamat menjangkakan kesemua mangsa hanya boleh dikeluarkan pada awal November depan.
Misi menyelamat yang mengambil masa selama 120 hari atau empat bulan itu dimulakan dengan memasukkan kamera ke dalam lubang yang ditebuk sedalam 700 meter.
“Mereka berada dalam keadaan baik. Ramai antara mereka menunjukkan muka di hadapan kamera. Kami boleh melihat reaksi gembira dan harapan di mata mereka.
“Mereka adalah wira kerana mampu bertahan lebih 17 hari di bawah sana,” ujar Presiden Chile, Sebastian Penera ketika melihat imej rakaman tersebut dan berkeyakinan misi tersebut akan berakhir dengan baik.
Imej-imej tersebut turut menunjukkan sekumpulan lelaki berdiri, berbaring dan berjalan.
Seorang lelaki dengan bangganya menunjukkan kawasan perlindungan sebesar bilik tidur dan ruang untuk bersiar-siar.
Pada hari ke-25 bergelumang dengan kepanasan dan berada dalam udara lembap, beberapa pelombong telah dijangkiti kulat dan mengalami bengkak-bengkak pada bahagian tubuh serta menunjukkan tanda-tanda kemurungan.
Pada 16 September lalu, dua gerudi yang sedang menggali laluan selamat melepasi aras 300 meter daripada 688 meter.
Lubang tersebut dibuat untuk sampai ke ruang perlindungan mangsa itu akan digali sekali lagi untuk diperbesarkan dan dijangka siap awal November nanti.

SEORANG pekerja memeriksa mesin bekalan udara perubatan untuk mangsa yang berada 700 meter di dalam tanah.


Penyelaras usaha menyelamat, Rene Aguilar berkata, selewat-lewatnya mangsa dapat dibawa keluar awal Disember ini bagi memastikan pelombong dapat meraikan Krismas bersama keluarga masing-masing.
Kata Aguilar, mesin penggerudi terpantas, T-130 yang dipanggil pilihan ‘Plan B’, digunakan untuk terus menggerudi selepas penggerudi Strata 950 yang merupakan sebahagian daripada ‘Plan A’ dihentikan pada kedalaman 380 meter untuk penyelenggaraan rutin.
Penyelamat juga akan meneruskan usaha ketiga, ‘Plan C’ yang membabitkan sebuah gerudi cari gali minyak yang sudah 70 peratus siap dipasang di sebuah kawasan lapang berdekatan dan dimulakan 19 September lalu.
Menurut Aguilar lagi, pelombong yang terperangkap bekerja secara bergilir-gilir sepanjang waktu untuk membersihkan batu-batu dan serpihan yang jatuh dari atas selain berharap operasi berbahaya tersebut tidak mengakibatkan runtuhan baru.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.