Subra: Gaji minimum tetap dilaksana meskipun MEF bantah


October 01, 2010
GENTING HIGHLANDS, 1 Okt — Kerajaan akan tetap melaksanakan cadangan gaji minimum walaupun dibantah Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan berusaha meyakinkan MEF mengenai kepentingan pelaksanaan gaji minimum menerusi perbincangan antara kementerian dan persekutuan itu kelak.
“Kementerian berharap agar MEF akan setuju apabila kerajaan membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan gaji minimum tersebut, kerana dasar yang diperkenalkan kerajaan ini adalah untuk jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan peniaga kertas ke-49 di Pusat Konvensyen Genting Highlands di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian memahami tindakan MEF membantah cadangan itu kerana mereka mempunyai pandangan berbeza.
Katanya, ia akan meliputi semua sektor termasuk perusahaan kecil serta sederhana, dan apabila diperkenalkan kelak, semua majikan perlu mematuhi dasar tersebut kerana kerajaan akan bertindak sebagai agensi pemantau.
Mengenai isu pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia, Subramaniam berkata ia masih di peringkat perbincangan, dan kedua-dua pihak sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.
Selain itu, kata putus berhubung isu lain seperti gaji minimum dan cuti rehat pembantu rumah juga belum dicapai.
Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar sebelum ini telah mengarahkan penghantaran pembantu rumah republik itu ke negara ini dibekukan ekoran kejadian dera oleh majikan terhadap golongan itu di Malaysia.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata usaha sama serta penubuhan perkongsian serta pejabat di Malaysia dan India oleh anggota FPTA serta Persatuan Saudagar Kertas Malaysia, bakal membawa kepada penembusan kompetitif dalam pasaran global.
Bagaimanapun, beliau menggesa peserta industri berkenaan agar sentiasa mengutamakan teknologi hijau dalam setiap aspek operasi mereka yang membabitkan tanah dan penjimatan tenaga, pengurusan sisa pepejal, udara dan penulenan air serta kitar semula.
Subramaniam berkata peserta industri perlu mencontohi inovasi yang digunakan industri kertas Eropah iaitu menggunakan bahan boleh dibaharui, sebahagiannya daripada pengurusan lestari hutan, dengan penanaman pokok yang cepat tumbuh seperti kayu putih and akasia.
Pendekatan hijau ini telah membantu meningkatkan kawasan hutan daripada 25 peratus pada abad lepas kepada 29 peratus pada ketika ini, katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.