Perdana Menteri temui warga Kampung Baru 5 Feb ini

January 12, 2011
KUALA LUMPUR, 12 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat beberapa pengumuman penting kepada warga Kampung Baru berhubung pembangunan kawasan majoriti Melayu itu dalam satu perjumpaan pada 5 Feb ini.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata perkara itu dimaklumkan oleh Najib kepada beliau dalam satu pertemuan pagi ini.
“Beliau begitu menghayati perkembangan di Kampung Baru, dan bercadang hendak turun dalam satu program di Masjid Jamek dan kemungkinan di tempat-tempat yang lain dan beliau akan umum beberapa perkara untuk Kampung Baru pada masa itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ulang tahun ke-111 Kampung Baru dan Pameran 3 Alam Kampung Baru di sini hari ini.
Mengulas mengenai kekesalan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal membangunkan Kampung Baru pada zaman pentadbirannya, beliau berkata hasrat itu akan diteruskan sedaya upaya untuk menjayakan pembangunan kawasan berkenaan kali ini.
Bagaimanapun, Raja Nong Chik berkata kejayaan pembangunan Kampung Baru akan turut bergantung kepada kesediaan pewaris dan pemilik tanah untuk bekerjasama.
“Saya merayu kepada semua pemilik dan pewaris untuk bersama dalam perkara ini, dan saya juga merayu untuk tolaklah politik supaya perkara ini menjadi hasil pada kali ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata faktor keraguan sesetengah pemilik dan pewaris mengenai ketelusan kerajaan dalam pembangunan Kampung Baru merupakan antara kekangan yang menyebabkan kegagalan pembangunan kawasan itu selama ini.
“Mungkin kerana pihak-pihak tertentu cuba mengadu-domba bahawa usaha kerajaan adalah untuk merampas tanah Melayu dan memberi kepada pihak-pihak yang lain. Kadang-kadang perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi mereka,” katanya.
Sementara itu, mengenai Pameran Tiga Alam Kampung Baru, beliau mencadangkan supaya artifak-artifak unik yang dipamerkan semasa pameran itu dapat dipamerkan secara tetap di bangunan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) apabila siap kelak.
“Saya cadangkan artifak-artifak ini diletakkan secara tetap dalam bangunan itu bukan sahaja untuk dijadikan kenangan pakar-pakar ilmuwan tetapi juga pada anak-anak khususnya yang dari Kampung Baru,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.