Himpunan 'One Black Malaysia', munajat pagi di Perak


Satu himpunan yang diberi nama 'One Black Malaysia' serentak dengan satu program solat hajat, doa munajat dan solat subuh akan di adakan di Ipoh, Perak pada 7 Mei, sebelum berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri.

Orang ramai khususnya penduduk di Perak dan juga para penyokong diseru untuk turut serta di dalam program anjuran PAS Pusat sebagai tanda sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Dato' Seri Nizar Jamaluddin sekaligus menyatakan bantahan terhadap kerakusan Barisan Nasional (BN) yang merampas kuasa tempoh hari.

Program yang terlah mendapat persetujuan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan diadakan bermula jam 5.00 pagi di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru, Manjoi, Ipoh, Perak.

"Kita minta orang ramai untuk datang solat dan berdoa supaya negeri ini berada dalam keadaan aman dan 'menyingkirkan' Barisan Nasional yang telah mengucar-kacir keadaan di Perak ini. Selain itu orang ramai diminta memakai pakaian ataupun baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan terhadap himpunan 'One Black Malaysia' ini.

"Himpunan yang dianjurkan PAS hanya akan tertumpu di masjid tersebut dan selepas solat subuh terpulanglah kepada orang ramai sama ada ingin turut serta mengikuti Sidang Dun ataupun sebaliknya memandangkan hari tersebut adalah hari bekerja," demikian ucapan ringkas Naib Presiden PAS Mohammad Sabu kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS Pusat mendesak supaya Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan segera untuk mengembalikan hak rakyat menentukan kerajaan yang mereka kehendaki

"Pembubaran itu perlu dilakukan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan mereka sendiri dan bersesuaian dengan amalan demokrasi," katanya. - azm _



Malaysiakini

Baju hitam protes sidang DUN
May 4, 09 7:07pm
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) tidak mahu lagi berbaju kuning, ia akan melancarkan kempen berbaju hitam sempena membantah sidang DUN Perak, Khamis ini.

NGO yang terkenal dengan demonstrasi besar pada 2007 kini membawa slogan baru, "1Malaysia Gelita, Demokrasi Didahulukan, Adakan Pilihanraya Sekarang" - meniru slogan perdana menteri baru.

Jurucakapnya Faisal Mustaffa berkata Bersih menganggap slogan Datuk Seri Najib Razak itu sebagai "lawak jenaka kepada rakyat Malaysia" apabila rampasan kuasa Februari lalu membelakangkan perlembagaan.

Bersih akan mengadakan sidang media jam 10 pagi esok di Kuala Lumpur bagi mengumumkan pendiriannya tentang perkara tersebut.

Sementara itu, Speaker DUN V Sivakumar berkata beliau telah mengutuskan surat rasmi kepada Sultan Perak pagi ini, memohon baginda menangguhkan persidangan tersebut "buat sementara waktu" bagi mengelakkan insiden "yang sukar dikawal."

Beliau juga berharap persidangan DUN dapat diadakan selepas pertikaian antara menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir.

"Saya juga berasa bimbang akan berlaku perselisihan dan pertelingkahan yang sukar dikawal pada hari tersebut.

"Pada jangkaan saya, kedua-dua pihak akan bertikam lidah mempertahankan pendirian masing-masing.

Untuk menjaga keharmonian, kemuliaan dan kehormatan dewan, saya telah memohon kepada Tuanku Sultan menangguhkan persidangan ini buat sementara waktu," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya berpendapat bahawa adalah tidak munasabah sidang dewan negeri diadakan dalam kedudukan YAB menteri besar Perak masih dalam pertikaian di mahkamah."

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berhimpun berhampiran bangunan DUN itu sewaktu persidangan sedang berlangsung.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata polis banyak menerima maklumat terdapat pemimpin-pemimpin parti tertentu dalam ceramah mereka sebelum ini telah menyeru orang ramai supaya berhimpun di bangunan SUK dan seruan yang
sama juga didapati di laman-laman blog tertentu dan media alternatif.

"Perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram termasuk mereka yang merancang atau yang menganjurkan perhimpunan-perhimpunan tersebut," beliau dipetik berkata hari ini.

"Polis akan bertindak tegas ke atas sesiapa sahaja yang merancang atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam."

Beliau juga menyeru pengguna-pengguna jalan raya tidak menggunakan jalan-jalan berdekatan dengan bangunan DUN pada hari tersebut dan menasihatkan orang ramai yang tiada kaitan dengan persidangan itu supaya tidak berkumpul dan mereka yang menerima jemputan sahaja dibenarkan masuk ke bangunan tersebut.

Zulkefli berkata satu perjumpaan antara polis dengan wakil-wakil dan ADUN PAS, PKR dan BN telah diadakan pagi tadi di ibu pejabat kontinjen Perak untuk berbincang bagi melancarkan perjalanan sidang dewan berkenaan tetapi beliau dukacita wakil parti DAP tidak turut serta walaupun telah dijemput sama dalam pertemuan tersebut.

sumber: detikdaily.net

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.