'Jika PAS perintah, tiada lagi rasuah'

Seperti penganut Hindu yang lain, B Balendran merayakan Deepavali dan tidak makan daging lembu. Tetapi pada waktu lapang dia pergi mendengar ceramah PAS dan membantu mendapatkan ahli baru bagi kelab penyokong parti itu.

Dan dia cukup aktif berkempen untuk kemenangan parti Islam itu dalam pilihan raya umum tahun lepas


Jurutera berusia 25 tahun ini telah berjaya membuatkan dua orang adik perempuan dan beberapa orang kawannya menyertai apa yang dipanggilnya parti yang paling baik untuk memerintah Malaysia.

Pandangan Balendran: "Jika PAS memerintah Malaysia, saya akan cukup gembira kerana tidak akan ada lagi rasuah dan Malaysia akan berada dalam keadaan yang baik."

Kelab Penyokong PAS bagi orang bukan Islam ditubuhkan pada 2004 dengan hanya 100 orang ahli, kata pengasasnya Hu Pang Chow.

Jumlah ahlinya 10,000 pada tahun lepas, tetapi ia meningkat kepada 50,000 sejak pembangkang menang besar dalam pilihan raya umum dan PAS menyertai gabungan pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat, katanya.

Berbeza dengan ahli parti, mereka yang menyertai Kelab Penyokong PAS menjadi ahli bersekutu dan tidak boleh mengundi dalam pemilihan parti.

Jadi mengapakah orang bukan Islam memilih PAS, bukannya parti sekular DAP atau parti berbilang kaum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)?

Kata Hu, mereka yang menyertai Kelab Penyokong PAS melihat PAS sebagai parti "yang paling berprinsip dan jujur". Sebahagian besar ahlinya terdiri daripada kaum India.

Sebahagian ahli mengelak daripada menyertai KeADILan, yang dilihat sesetengah masyarakat India sebagai tidak begitu kuat memperjuangkan isu India. Dan sebahagiannya pula merasakan DAP terlalu Cina pendekatannya.

Kata N Balasubramaniam, Pengerusi Kelab Penyokong PAS (India), "DAP dan KeADILan mempunyai peraturannya sendiri, tapi sama ada mereka mengikutinya atau tidak terpulang kepada mereka."

Dia berkata, ia berbeza dengan PAS. Mereka perlu patuh pada ajaran Islam.

PAS sentiasa diburuk-burukkan oleh parti pemerintah BN dengan mengatakan parti itu akan melaksanakan undang-undang Islam yang ketat di Malaysia jika mereka memerintah.

Tapi Balendran berkata dia tidak bimbang dengan niat PAS untuk menubuhkan negara Islam atau melaksanakan undang-undang syariah - termasuk hudud yang menetapkan pencuri dihukum potong tangan - kerana katanya undang-undang tersebut terpakai hanya untuk orang Islam sahaja.

Penerimaan yang meningkat di kalangan bukan Islam terhadap PAS dapat dilihat dengan jelas pada pilihan raya umum dalam bulan Mac tahun lepas di mana Kumutha Raman bertanding atas tiket parti itu. Dia bertanding di bawah lambang KeADILan kerana perlembagaan PAS tidak membenarkan orang bukan Islam bertanding menggunakan lambang PAS.

Walaupun dia kalah, tapi penyertaannya bertanding di atas tiket PAS merupakan satu perkembangan baru bagi PAS dan masyarakat India.

Dan dalam kempen pilihan raya tersebut, masyarakat bukan Islam India dan Cina secara terbuka mengibarkan bendera parti Islam itu dan membantu kempen dari pintu ke pintu.

Untuk kepastian, sebahagian daripada keghairahan kaum India menyertai parti politik adalah ekoran perhimpunan besar-besaran Hindu Rights Action Force (Hindraf) dalam bulan November 2007, yang cuba disuraikan oleh pihak polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata.

Ramai di kalangan masyarakat India yang tidak mempunyai parti memilih untuk menyertai parti pembangkang selepas hilang harapan terhadap MIC pimpinan Dato' Seri S Samy Vellu yang semakin tidak popular itu.

Pemerintahan PAS di Kelantan selama 18 tahun turut meningkatkan kepercayaan masyarakat bukan Islam kepada PAS, kata Hu.

Ahli sains sosial Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian berkata, sikap beragama yang ada pada PAS menyebabkan parti itu popular.

"PAS mempunyai agama sebagai tulang belakang dan ia melahirkan persepsi bahawa parti itu lebih jujur dan mampu bersikap adil dan dapat menjaga kebajikan orang ramai," katanya.

PAS juga tidak lagi begitu lantang dengan retorik negara Islam sejak kemunculan pemimpin-pemimpin muda yang moderat dalam parti itu.

"Ia boleh menjadi alternatif dengan sendiri di masa hadapan jika Pakatan Rakyat gagal mempertahankan gabungan dengan KeADILan dan DAP," katanya kepada The Straits Times Singapura.

PAS kini sedang berusaha menubuhkan sayap keahlian penuh kepada ahli bukan Islam dalam parti itu.

Ia dijangka akan berlaku tahun depan, tertakluk kepada kelulusan pimpinan pusat dan pindaan perlembagaan parti.

"Pemimpin PAS kini sedar, dalam masyarakat berbilang kaum, mereka tidak boleh hidup bersendirian. Mereka memerlukan sokongan orang bukan Melayu, atau jika tidak, merekatidak ada harapan untuk menang," kata Hu. - mks._

sumber: detikdaily.net

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.