Oleh: Mohd Idris Mohd Yussoff
MENTERI Belia Dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan kementeriannya akan memperkenalkan konsep ‘Satu Belia’ bagi membantu mempercepat proses pelaksanaan gagasan 1Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa belia yang mencakupi hampir separuh daripada 27 juta rakyat perlu disemai dengan semangat dan perasaan sama bagi menjayakan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu.
Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM), menyambut baik perhatian yang diberikan terhadap belia pada hari ini kerana generasi ini adalah pewaris kepemimpinan negara akan datang.
Justeru, golongan belia harus dipersiapkan bagi memastikan mereka mampu menghadapi dunia penuh cabaran ini. Bekas Presiden Indonesia, Sukarno pernah berkata:
“Berilah aku seratus orang pemuda, nescaya aku mampu menggoncangkan dunia. Tetapi sekiranya aku diberi seribu orang tua nescaya tewaslah aku”.
Demikian sebuah proklamasi yang mengangkat martabat golongan belia. Hal demikian kerana, masa depan negara bergantung kepada keupayaan belia hari ini. Harapan diletakkan di atas bahu golongan belia kerana golongan ini memiliki semangat yang membara, tubuh badan yang kuat serta idealisme yang tinggi.
Kes yang membabitkan golongan belia hari ini agak membimbangkan. Terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di kawasan Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas yang dijalankan kira-kira 200 anggota polis trafik, narkotik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kes sebegini amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.
Justeru, ISIUKM berharap, pihak Kementerian Belia Dan Sukan mengkaji semula program yang dijalankan kementerian itu agar ia bersesuaian dan seimbang dari pelbagai aspek. Program yang dijalankan tidak boleh hanya sekadar bersifat mengisi masa kosong belia semata-mata. Sebagai contohnya, bagi mengatasi masalah lumba haram, tidak cukup sekadar disediakan litar sebagai alternatif, namun ia perlu seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
ISIUKM tidak menafikan, pelbagai program dijalankan pihak kementerian terbabit dalam pembangunan jasmani belia termasuk kemudahan dan prasarana. Namun, fokus pembangunan emosi, rohani dan intelektual juga perlu diperkasakan.
Jiwa generasi belia hari ini harus dipasak dengan kukuh bahawa masa depan negara berada dalam tangan mereka. Pemikiran belia perlu didedahkan dengan pengetahuan yang tinggi termasuklah mengambil tahu soal ekonomi, pendidikan, politik dan sosial yang menjadi tunjang kepada sesebuah negara.
Hal demikian penting agar timbulnya rasa bertanggungjawab dalam diri belia. Paradigma golongan ini juga perlukan anjakan agar mampu membentuk suasana yang baik dan bukannya hanya sekadar hanyut dibawa arus negatif yang diceduk dari budaya Barat.
Dalam hal ini, ISIUKM memandang, belia harus memiliki kompetensi dan integriti yang tinggi. Bekalan itu sangat penting agar belia dapat memimpin dan memacu Malaysia ke arah negara yang sejahtera dan maju setanding negara lain. Proses pembentukan belia yang gemilang tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya tanpa bantuan dan sokongan jabatan, pertubuhan kerajaan atau bukan kerajaan serta organisasi lain.
Justeru, ISIUKM juga berharap agar kerajaan memberi galakan dan sokongan terhadap usaha pelbagai pihak ke arah melahirkan generasi belia kelas pertama yang sedang dinantikan masyarakat.
————–
*Artikel asal bertajuk ‘Belia perlu anjakan paradigma jadi generasi kelas pertama’
^Penulis merupakan Presiden Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor.
sumber: detikdaily.net
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan