Pengukuhan Majlis Syura amat penting bagi memantapkan PAS - Subky Latiff

MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz ada membuat kenyataan menyatakan kira-kira perwakilan Muktamar parti berkuasa menentukan sesiapa bagi menjawat jawatan tertinggi dalam PAS, lapor Ahmad Subky Abdul Latiff.

Kiranya perwakilan merasakan barisan pimpinan yang ada perlu dirombak, maka kuasa itu ada pada perwakilan dan perwakilan boleh membuat pilihan dengan bijaksana.


Yang perwakilan tiada kuasa untuk memilihnya ialah Mursyidul Am. Kuasa itu hanya ada pada Majlis Syura. Majlis Syura yang terdiri dari empat wakil Dewan Ulama dan empat wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersidang memilih baki jumlah anggota Majlis Syura itu yang terdiri dari ulama dalam PAS. Mereka bersidang memilih Mursyidul dan Timbalannya.

Walaupun kuasa menentukan pimpinan parti itu ada di tangan perwakilan Muktamar, mesyuarat agung Kawasan perlu serius, teliti dengan penuh rasa tanggungjawab mencalonkan sesiapa bagi menduduki saf pimpinan itu terutama bagi anggota Dewan Harian pusat yang dipilih dalam Muktamar.

Jangan sekadar bernafsu bagi mengadakan perubahan, maka dicalonkanlah sesiapa saja yang difikirkan dinamik dan berwibawa tanpa melihat kepada peranan, keperluan dan tanggungjawab sebagai pimpinan utama PAS yang peranannya adalah bagi memimpin umah bagi mewujudkan masyarakat Islam yang berdaulat dan membentuk pemerintahan yang di dalamnya terlaksana aturan dan peraturan Islam.

Ketika PAS ditubuhkan tahun 1951 regu pimpinan utama yang dipilih adalah ulama, Tuan Haji Ahmad Fuad dan timbalannya Haji Ghazali Abdullah. Apabila Haji Ghazali berundur dan diikuti oleh perletakan jawatan Haji Ahamd Fuad sebagai Yang Dipertua Agung, timbalan dipegang oleh Dr. Abbas Alias, seorang professional dan bukan ulama.

Secara tradisinya selepas Dr. Abbas berundur perwakilan memillih dua pimpinan utama parti dari kalangan ulama bermula dengan Dr. Burhanuddin al-Hilmi dan Prof. Zulkifli Mohamad.

Pernah sekali untuk satu tempoh yang agak panjang pimpinan utama PAS tidak dipegang oleh ulama iaitu semasa pimpinan Dato Asri.

Isu pimpinan itu mesti ulama tidak berbangkit ketika itu. Tetapi timbulnya Dato Asri sebagai pimpinan tidak dirancang. Muktamar tetap memilih regu Dr. Burhanuddin dan Prof. Zulkifli sebagai pimpinan.

Dato Asri timbul adalah disebabkan oleh insiden Dr. Burhanuddin ditahan di bawah ISA untuk satu waktu yang lama dan beliau uzur semasa dalam tahanan. Apabila dibebaskan tidak lagi dapat bergerak cergas.

Prof. Zulkifli yang memangku pimpinan ketika Dr. Burhanuddin ditahan pula maut dalam kemalangan jalanraya, maka pimpinan yang paling kanan selepasnya ialah Dato Asri yang menjadi Naib Yang Dipertua Agung ketika itu. Beliau secara otomatis menjadi pemangku pimpinan.

Dato Asri ketika itu adalah Menteri Besar Kelantan. Dengan kedudukan itu beliau ada kemudahan dan ada pengalaman mentadbir kerajaan negeri, maka beliau disahkan menjadi pimpinan walau pun beliau tidak ulama. Tetapi timbalannya tetap ulama bermula dengan Hassan Adli, Dato Abu Umar dan Haji Yusof RAwa.

Ditakdirkan berlaku krisis kepimpinan yang getir semasa pimpinan Dato Asri yang berakhir dengan PAS keluar dari Barisan Nasional dan berlaku perpecahan disebabkan ada di kalangan serpihan PAS membentuk parti Berjasa hingga kerajaan tunggal PAS di Kelantan tewas.

Timbul gelombang dalam PAS mahukan perubahan pimpinan dan merasakan krisis itu berlaku kerana ia tidak dipimpin oleh golongan ulama atau ia mengkesampingkan ulama. Gelombang mahukan kepimpinan ulama dalam PAS tidak dapat haling dan memaksa Dato Asri menyerahkan mandat pimpinannya kepada Muktamar dan perwakilan menerimanya.

Era kepimpinan ulama sebenarnya bukan bermula tetapi muncul dan disambung semula. Sejak tahun 1982 itu tradisi PAS meletakkan ulama sebagai Presiden dan Timbalan Presiden disambung hingga sekarang.

Tuntutan itu dikuatkan pula pembentukan Majlis Syura di bawah konsep kepimpinan ulama, maka ia menjadikan seperti satu kemestian Presiden dan timbalannya adalah wajar dari kalangan ulama.

Gelombang yang memperjuangkan konsep kepimpinan ulama bukan saja berjaya mengatasi kebuntuan pimpinan masa itu, malah ia berjaya mengatasi krisis besar itu dan dapat memulihkan semula kelumpulan yang dihadapi oleh PAS kira-kira sedekat itu.

Apabila PAS menerima gelombang itu dan selesa dengan kehendak kepimpinan ulama yang berjaya memilihkannya dari kelumpuhan dan perpecahan, maka dengan sendirinya Presiden PAS mestilah seorang ulama. Maka ia akan dilihat janggal kalau ia tidak berpresidenkan seorang ulama sedang ia mempelopori konsep kepimpinan ulama.

Anggota Majlis Syura Ulama yang dibentuk itu mestilah terdiri dari ulama. Tuntutan itu begitu dan orang PAS pun mahu ia begitu. Logik susunan itu begitu ialah bagi mengelakkan krisis yang besar tidak berulang lagi. Ia tidak disebut begitu tetapi itulah hasrat yang tersurat.

Apabila ia mesti terdiri dari ulama, Presiden PAS wajar ada dalam majlis itu bagi membentangkan segala perkara yang perlu disampaikan oleh Jawatankuasa PAS Pusat kepada majlis itu. Walaupun ia tidak mensyaratkan Presiden mesti ada dalam Majlis itu tetapi ganjillah Majlis itu kalau Presiden tidak menjadi anggotanya. Walaupun Majlis itu mesti diwakili oleh empat orang ulama di dalamnya, Presiden adalah penting dan patut duduk di situ.

Sekalipun tidak dituntut Timbalan Presiden itu seorang ulama, tetapi timbalan itu akan memangku jawatan Presiden sekiranya berlaku sesuatu kepada Presiden. Timbalan Presiden bukan sekadar memanku jawatan Presiden tetapi dia mesti mewakili Presiden dalam Majlis Syura.

Adalah ganjil bagi sebuah parti yang mempelopori konsep kepimpinan ulama kalau pemangku Presidennya bukan ulama. Jika ia bukan ulama, maka akan berulang semula kejadian dalam tahun 70an PAS tidak dipimpin oleh ulama.

Yang membezakan PAS dengan UMNO ialah ia dipimpin oleh ulama. Adalah benar pada satu masa dulu semua orang takut kepada ulama. Tetapi sesudah ulama didaulatkan sejak 30 tahun dulu, tiada lagi orang yang takut kepada ulama. Pengundi Cina dan India kini amat yakin dengan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Bukan sekadar semua artis laki-laki dan perempuan berhajat untuk mengunjungi Tok Guru, kebanyakan tokoh dan pimpinan Cina dan India mahu bertemu dengannya. Hatta Elizerbeth Wong yang baru selesai dari tauma penyebaran gambar, mengunjung Tok guru Nik Aziz untuk menyatakan terima kasih dan mendapatkan nasihat sebelum memulakan tugasnya sebagai Exco Selangor.

Kepimpinan ulama itu sudah diterima dan PAS mendapat kedudukannya yang baik dalam politik Malaysia dewasa ini dipercayai dari lempahan dan barakah kepimpinan ulamanya.

Kita faham bahawa kesan penindasan penjajah terhadap Islam khususnya ulama oleh penjajah sejak lebih empat tahun lalu. Ada kelemahan dan rasa rendah. Tetapi PAS telah memulihkannya. Orang tidak nampak Tok Guru boleh menggantikan Dato Asri hampir 40 tahun lalu. Tetapi era kepimpinan ulama telah mengukuhkan keterampilannya hingga ia lebih disegani dari Dr. Mahathir. Dr. Mahathir itu jauhlah lebih bergeliga dari Tok guru, tetapi orang dari semua kaum lebih menghormatinya.

Sekarang PAS berada pada kedudukan yang terbaik. Berkat kepimpinan ulama. Ia akan ada pemilihan dalam Muktamar Jun ini. Maka perwakilan bersedia untuk mencalonkan pimpinan. Boleh jika pimpinan yang ada diganti dengan yang lain. Demokrasi membenarkan dan Islam serta ulama pun membenarkannya.

Tetapi perwakilan mesti serius perubahan pimpinan itu mesti jangan sampai ia mencicirkan kepimpinan ulama. Ulama tidak mendakwa mereka ulama dan menuntut mereka dikekalkan. Yang mahu ulama tetap memimpin ialah Islam. Pada Islam ulama adalah pimpinannya. Ada sesuatu yang tidak kena pada Islamnya apabila tiada ulama yang dapat diketengahkan.

Orang Islam yang taqwa tetapi bukan ulama, mungkin lebih pintar dari ulama, tetapi ketaqwaannya mesti membantu mengenegahkan ulama kedepan. Barakah kepimpinan ulama itu adalah penting. Tidak ada pada yang lain.

Mungkin munasabah Majlis Syura yang kukuh dan didaulatkan memantau siapa dan ulama mana yang wajar menjadi Presiden dan Timbalan Presiden setiap kali ada pemilihan bagi memastikan ia tidak terlepas dari konsep kepimpinan ulama.

Mungkin Majlis Syura Ulama itu sendiri membincangkan kepimpinan ulama dalam Jawatankuasa PAS Pusat itu. Ia memberi nasihat dari semasa tentang pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden. PAS bukan sekadar mahukan Presiden yang berwibawa tetapi ia juga mahukan timbalannya yang berwibawa.

PAS mahu era Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil dikembali. Di samping mereka ada sepasukan ulama yang bila-bila masa boleh mengambil alih pimpinan. Gugur dan lenyap beberapa orang tetapi masih ada yang boleh meneruskan pimpinan.

Mungkin Majlis Syura sekarang mengambil tanggungjawab baru iaitu memikir dan menentukan barisan ulama yang berwibawa yang mesti berada dalam saf pimpinan pusat bagi menjamin tradisi pimpinan ulama yang kukuh dipertahankan.

Tokoh boleh diganti, tetapi institusi ulama sebagai pimpinan mesti dipelihara. Mursyidul Am telah membuka ruang bolehnya pimpinan itu ditentukan oleh perwakilan. Memang perwakilan ada tanggungjawab itu. Tetapi seruan itu lebih sempurna dijadikan satu peranan baru Majlis Syura bagi memestikan pimpinan ulama itu terpelihara dan sentiasa berada di bawah pimpinan yang dinamik.

Bukan ia bertujuan bagi mengongkong kebebasan perwakilan menentukan haknya tetapi ia perlu memandu perwakilan bagi membuat pilihan yang tepat. Orang Ansar merasakan Ansarlah patut memimpin umat selepas Rasulullah SAW wafat. Tetapi syura sahabat yang terdekat dengan Nabi SAW belum boleh ia dibuka kepada Ansar.

Ia dibuka dulu kepada sahabat-sahabat yang lebih berwibawa terutama sepuluh orang yang dijamin syurga. Justeru pengukuhan Majlis Syura amat penting bagi membandu parti.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.