GAMBAR menunjukkan bungkusan-bungkusan yang siap untuk dihantar ke dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo di Cologne, barat Jerman semalam.
BERLIN - Jerman melanjutkan sekatan penerbangan ke atas pesawat pengangkut serta penumpang dari Yemen ekoran penemuan dua butir bom yang diisi dalam katrij dakwat dan ditemui dalam dua buah kapal terbang kargo menuju ke Amerika Syarikat (AS) pada 29 Oktober lalu.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan Jerman memberitahu negara itu telah meningkatkan langkah berjaga-jaga apabila mengetahui bahawa sebutir bom tersebut melalui bandar Cologne, barat Jerman dengan sebuah pesawat.
Jerman merupakan negara pertama yang mengumumkan pengharaman semua pesawat dari Yemen.
"Pihak berkuasa udara Jerman telah diarahkan supaya menghalang semua penerbangan dari Yemen. Ia bermakna buat masa sekarang, pesawat dari Yemen tidak dibenarkan terbang ke atau melalui wilayah yang berada di bawah kekuasaan Jerman," katanya lagi.
Jurucakap pemerintah Jerman, Steffen Seibert menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan negara-negara Eropah untuk melindungi trafik udara.
Pada Jumaat lalu, kerajaan dan pihak berkuasa penerbangan di seluruh dunia meningkatkan tahap keselamatan selepas dua buah bom ditemui di Dubai dan Britain.
Para pegawai di AS memberitahu bom tersebut dialamatkan kepada beberapa buah rumah ibadat Yahudi di Chicago.
Mereka mengesyaki pakar pembuat bom Al-Qaeda, Ibrahim Hassan al-Asiri yang lahir di Arab Saudi dan tinggal di Yemen sebagai suspek utama kes tersebut.
HANAN AL-SAMAWI (kanan) bercakap kepada pemberita selepas dia dibebaskan pihak berkuasa di San'a, Yemen semalam.
Sementara itu, pihak berkuasa Yemen semalam membebaskan seorang wanita, Hanan al-Samawi yang disyaki menghantar bom kerana dikatakan menjadi mangsa kecurian identiti.
Wanita yang juga seorang pelajar sebuah universiti itu ditahan oleh polis Yemen selepas dia berjaya menjejakinya menerusi satu nombor telefon yang ditinggalkan pada sebuah syarikat kargo. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan