Penganalisis: Kuasai Galas, Batu Sapi bukan petanda sebenar BN ‘kian kuat’

November 05, 2010
KUALA LUMPUR, 5 Nov — Penganalisis politik Profesor A. Aziz Bari berpendapat walaupun Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan berganda pada pilihan raya kecil serentak semalam, tetapi ia bukan petanda pentadbiran Najib sudah kembali diterima rakyat sepenuhnya.
“Kenyataan ialah Barisan baru menang lima daripada 13 pilihan raya kecil yang diadakan sejak Ogos 2008.
“Jika Barisan benar-benar kuat, ia sepatutnya menang di kesemua 13 pilihan raya yang telah diadakan dan tidak di kawasan pedalaman sahaja,” kata penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider.
Oleh itu kata beliau, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi bukan satu aras tanda perikatan itu kian kuat.
“Tiada yang hebat dalam kemenangan di Batu Sapi dan Galas ini.
“Kedua-dua kerusi ini adalah kerusi mereka, sebagaimana di Batang Ai, Bagan Pinang dan Hulu Selangor,” ujar beliau lagi.
Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN tidak harus mengambil mudah dengan kemenangannya pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas, sebaliknya perlu terus berusaha memastikan kejayaan serupa dicapai pada pilihan raya umum ke-13 kelak.
Muhyiddin berkata, walaupun kejayaan itu menampakkan adanya perubahan baik dan harapan kepada BN menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak, tetapi ia tidak boleh diambil mudah.
“Kita tidak boleh ukur kemenangan di Galas dan Batu Sapi. Walaupun ada perubahan besar, perubahan yang baik, tetapi BN tidak boleh ambil sikap mudah dengan perubahan dan kejayaan ini kerana kita masih ada banyak kerja yang perlu dibuat,” katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 setelah memperoleh kemenangan berganda semalam.
BN merampas kembali kerusi DUN Galas di Kelantan dengan majoriti undi 1,190 selain mengekal kerusinya di Parlimen Batu Sapi, Sabah dengan majoriti besar iaitu 6,369 undi.
Bagaimanapun A. Aziz (gambar) mengakui kemenangan Umno sepatutnya memberi isyarat penting kepada kerajaan Kelantan yang diterajui PAS sejak lebih 20 tahun lalu.
“Satu signal yang penting untuk pentadbiran negeri Kelantan.
“Jangan terlalu selesa walaupun telah melepasi tempoh 20 tahun memegang kuasa,” kata beliau.
Jelas beliau, Umno yang dikatakan kuat itu masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil seterusnya.
“Kita tengok apakah Barisan bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di (Parlimen) Batu atau dua kerusi DUN di Kedah.
“Kita tahu Barisan terkial-kial untuk mengelak pilihan raya kecil di situ,” katanya.
“Malangnya ini disahkan oleh mahkamah. Walaupun kita tidak mengatakan mahkamah bersekongkol tetapi sebagaimana dalam kes-kes lain keputusan memihak kepada Barisan meskipun di sisi undang-undang ia sukar dipertahankan,” ujarnya.
Sambil tidak menolak bahawa terdapat beberapa kelemahan pada perjenteraan PAS, A. Aziz yang juga pakar perlembagaan berkata, kemenangan BN kali ini seakan disebabkan salah guna jentera kerajaan pusat sendiri.
“Pada PRU (pilihan raya umum) tidak mudah untuk Barisan (Nasional) menggunakan agensi kerajaan seperti JHEOA umpamanya,” ujarnya.
Bercakap soal trend pengundian yang di luar jangkaan semua pihak, beliau mempunyai pandangan tersendiri.
“Dan, mungkin pengundi sengaja tidak mahu memprovokasi Barisan kerana kalau ia tewas kemungkinan ia jadi lebih ‘ganas’, itu memang ada dan agensi seperti SPR dan polis akan lebih berat sebelah,” dakwa beliau.
Disebabkan itu, beliau berkata kedua-dua pilihan raya kali ini tidaklah memberi impak berantai pada landskap politik Malaysia.
“Dalam konteks Malaysia pilihan raya kecil adalah sesuatu yang sepatutnya dimenangi oleh BN yang turut dibantu oleh SPR dan sistem yang tidak adil.
“Ini tidak semestinya memberi gambaran positif bagi pilihan raya kecil.
“Dalam pilihan raya kecil ini tidak ada perubahan, siapa pun menang kerajaan negeri dan pusat tetap sama,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman mengemukakan persoalan “apakah yang BN hendak dibanggakan dengan kemenangan ini.”
“Mereka perlu bertanya diri mereka sendiri, bermaruahkah kemenangan ini dengan segala macam penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan?
“Berselindung di sebalik jentera kerajaan untuk berdepan dengan jentera parti Pakatan Rakyat, adil dan beranikah BN?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.
Kata beliau, bagi Pakatan Rakyat, kekalahan semalam memberi makna bahawa Galas dan Batu Sapi bakal kembali dimenangi dalam pilihan raya umum akan datang sebagaimana terjadi di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan DUN Ijok dua tahun lalu.
“Kerana pilihan raya kecil bukanlah ukuran kekuatan BN melainkan sebagai ukuran kekuatan jentera kerajaan yang menggempur Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.